Halaman

25 December 2013

Kempen cintai haiwan kesayangan dapat sambutan




Oleh: Mohammad Ishak

Kempen mencintai haiwan kesayangan anjuran Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Besut semalam mendapat sambutan orang ramai khusnya pemilik haiwan kesayangan.

Program sehari yang pertama kali diadakan bertujuan memberi peluang orang ramai mengenali budaya menyangi haiwan selain mendapatkan khidmat nasihat percuma dari jabatan berkenaan.

Pegawai Perkhidmatan Veterinar Besut, Nik Mohd Hafiz Ramli berkata, sempena program itu pihaknya turut mengeluarkan kad pengenalan haiwan kesayangan,klinik terbuka dan pertandingan cintai haiwan tersayang.

Selain itu, katanya, orang ramai juga berpeluang mengikuti ceramah bertajuki “Penyakit Haiwan Kesayangan Kepada Manusia” serta cara penjagaan haiwan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani,Perusahaan Perladangan, Nawi Mohamad ketika merasmikan program itu meminta masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya membuang binatang terutama kucing di jalanan, sebaliknya menyerahkan haiwan terbabit kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Hadir sama ialah Pengarah JPV Terengganu Dr Marzuki Zakaria.

Katanya, ini kerana JPV Terengganu menyediakan pusat khas untuk memelihara haiwan berkenaan.

Tindakan membuang kucing di tempat awam seperti pasar dan hospital malah kadang-kadang masjid bukan sahaja tidak wajar tetapi juga menimbulkan masalah kepada pemilik premis, katanya ketika menutup Kempen Cintai Haiwan Kesayangan di Pejabat Veterinar Besut, di sini semalam.


Beliau juga menegaskan Islam turut melarang umatnya menganiaya binatang, malah mereka wajib memastikan haiwan yang dipelihara dijaga dengan baik. 


Dalam kempen anjuran JPV Terengganu itu, lebih 50 ekor kucing diperiksa oleh pegawai veterinar yang turut menyediakan perkhidmatan memasang cip mikro secara percuma.









Kempen cintai haiwan kesayangan dapat sambutan



Kompleks Meterniti HSNZ beroperasi Februari tahun depan.

Oleh: Suriati Ali

Kompleks Materniti di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini yang sepatutnya disiapkan oleh kontraktor pada penghujung tahun 2011 dijangka mula beroperasi Februari tahun depan.

 Difahamkan kompleks berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM115 juta baharu saja diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya kepada pentadbiran hospital dan proses pengujian dan pentauliahan telah selesai dilakukan.

 Difahamkan pihak hospital melalui Kementerian Kesihatan kini dalam proses pembelian peralatan untuk membolehkan kompleks itu dapat beroperasi secara berperingkat yang sekali gus dapat mengatasi masalah kesesakan di wad kelas dua dan tiga.

 Dengan beroperasinya kompleks setinggi enam tingkat itu kelak akan memberi tambahan 312 katil dan memberikan persekitaran yang lebih melegakan terutama bagi ibu-ibu yang mengandung, bersalin serta menjalani rawatan susulan.

Pada masa yang sama, masalah tempat letak kereta yang sentiasa menjadi rungutan pelawat dapat dikurangkan ekoran kompleks berkenaan menyediakan hampir 400 petak.

Kompleks itu adalah yang pertama di Pantai Timur merupakan kompleks khas yang menjadi sebuah pusat sehenti khusus untuk ibu hamil, ibu selepas bersalin dan bayi baru lahir.

Mula dibina pada penghujung 2008, projek itu berjalan agak perlahan disebabkan pelbagai faktor.

 Baru-baru ini, kerajaan negeri melalui jawapan bertulis pada sidang Dewan Undangan Negeri memberitahu, untuk jangka masa panjang, masalah kesesakan di HSNZ akan dapat diatasi sepenuhnya dengan pembinaan Hospital Marang.

 Marang yang berdekatan dengan daerah ini merupakan satu-satunya daerah yang masih belum mempunyai hospital dan cadangan pembinaan telah dikemukakan kepada kerajaan Pusat.

Sidang DUN juga diberitahu, bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya unit hemodialisis turut diwujudkan di Maras, khusus bagi pesakit di sebelah Kuala Terengganu Utara.

Di HSNZ kini hanya terdapat 27 mesin hemodialisis dan bilangan ini sememangnya tidak mencukupi dengan peningkatan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan. Justeru, permohonan telah dihantar ke Kementerian Kesihatan pada Oktober lalu untuk tambahan tujuh lagi unit.

 

UMT mahu tingkatkan pendapatan nelayan.

Ibrahim..sedang buat kajian.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang kini sedang memfokuskan mengenai pembangunan komuniti nelayan di negeri ini bagi mempertingkat sosio-ekonomi golongan itu, kata Naib Cancelor UMT, Dato' Dr. Ibrahim Komoo.

Menurutnya, selaku sebuah universiti yang berada di pesisir pantai dan bidang pengajian utama UMT ialah ilmu kelautan dan akuatik, tumpuan dan kajian terhadap perkara itu wajar dilakukan.

"Membangunkan komuniti nelayan dilihat sebagai satu agenda penting kami di UMT. Buat masa ini, komuniti nelayan dilihat sebagai komuniti yang berpendapatan rendah dan kurang diceburi generasi muda.

"Sehubungan itu, UMT kini sedang merencanakan satu kaedah dan modul untuk tujuan mentranformasi komuniti itu bagi mempastikan kerjaya sebagai nelayan ini dapat menarik minat generasi muda dan menjadikan golongan itu mampu berdikari dan berjaya," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, UMT sentiasa berhasrat mahu mempunyai jaringan kerjasama berterusan dengan semua pihak termasuklah kerajaan, swasta, badan berkanun serta NGO.

"Kami berharap kewujudan UMT ini bukan sahaja untuk manfaat pelajarnya malah kami mahu keseluruhan penduduk di negeri Terengganu ini akan menerima impak yang positif," katanya dalam teks ucapan ketika majlis perasmian Program UMT bersama BSA di Pasir Menderu, Langkap, dekat sini, semalam.

 

Lantik badan induk pulih Lembah Limau Madu Durian Mentangau

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melantik satu badan induk dan jawatankuasa teknikal yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan serta teknikal bagi memulih dan membangunkan semula Lembah Limau Madu di Durian Mentangau, Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani Dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, YB Haji Nawi Mohamad berkata perancangan itu memerlukan persetujuan semua pelabur yang terlibat dengan projek penanaman berkenaan.

“Projek tanaman limau madu fasa 1, Durian Mentangau juga boleh diteruskan dengan mengambilkira segala cadangan dan rumusan dalam laporan Jawatankuasa Khas Projek Limau Madu.

“Segala permasalahan yang dihadapi sebelum ini hendaklah ditangani supaya kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi,” katanya sebagai menjawab soalan bertulis YB Haji Satiful Bahari Mamat (Paka-Pas), di Sidang DUN, baru-baru ini.

Dalam pada itu, YB Haji Nawi berkata, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang kos pelaburan dan hanya menyediakan tanah secara pajakan kepada pihak pelabur yang terlibat.

Katanya, khidmat nasihat teknikal kepada pelabur pula dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan tanaman itu.

Tambah beliau lagi, faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan projek limau madu berkenaan adalah masalah serangan penyakit “citrus greening” disebabkan oleh sebahagian anak benih yang ditanam tidak bebas penyakit berkenaan sekali gus mengakibatkan penyakit cepat merebak.

“Masalah kegagalan itu juga berpunca dari pengurusan dan kawalaan penyakit, tiada koordinasi dan persefahaman di dalam pengawalan jangkitan serangga vektor penyakit dan kebanyakan pengusaha pula tidak mengendalikan pengurusan pengawalan serangan vektor menyebabkan penyakit merebak dengan cepat.

“Infrastruktur seperti jalan ladang dan teres yang tidak mencukupi dan sempurna turut menyebabkan pengurusan tanaman di ladang tidak dapat dijalankan mengikut jadual. Malah, ia juga disebabkan tidak ada sistem pengairan menyebabkan pokok tidak dapat bekalan air secukupnya terutama di musim kemarau,” katanya.

 

24 December 2013

Maidam terima zakat Affin Bank Berhad berjumlah RM466,666.67

Oleh: Noraini Jusoh dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Affin Bank Berhad berjumlah RM466,666.67.
Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Zakat) Maidam, Azmi Tengah yang mewakili Maidam menerima bayaran zakat berkenaan daripada Pengurus Cawangan Affin Bank Berhad Kuala Terengganu, Mohamed Nazri Mohamed Nawi yang mewakili institusi perbankan itu.

Menurut Azmi, zakat perniagaan yang diserahkan Affin Bank Berhad adalah selepas mengambil kira keuntungan yang diperoleh pihak itu pada tahun 2012.

Mengulas lanjut, katanya, jumlah kutipan zakat oleh Maidam sepanjang tahun ini sehingga 23 Disember adalah sebanyak RM107.7 juta.

“Bagi memudahkan orang ramai, bermula 13 Disember lepas, Maidam membuka kaunter pungutan zakat tujuh hari seminggu termasuk hari cuti umum. Dan, tempoh perkhidmatan kaunter bergerak Maidam di setiap daerah juga dilanjutkan sehingga jam 8 malam," katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Affin Bank Berhad kepada Maidam di Bangunan Maidam, hari ini.

 

Persefahaman polis dan wartawan elak laporan timbul spekulasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Polis dan wartawan perlu mewujudkan persefahaman supaya masyarakat tidak menjadi mangsa akibat mendapat laporan yang tidak tepat dan boleh menimbulkan spekulasi.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Haji Jamshah Mustapa, berkata pada masa kini penggunaan media sosial yang begitu meluas turut mengakibatkan informasi yang tidak sepatutnya itu mudah tersebar sekali gus mendatangkan kesan negatif dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Tidak dapat dinafikan masyarakat memerlukan media massa, begitu juga polis khasnya dan agensi-agensi lain kerana mahu menyampaikan maklumat dan pada masa yang sama mendidik masyarakat terutama berkaitan aspek kesejahteraan rakyat.

 “Sebagai contoh, apa yang pasti menjadi pertembungan antara dua pihak ini adalah berita. Daripada pengalaman saya di Terengganu, saya dapati mungkin terdapat ketidakfahaman, kurang jelas dan kurang interaksi antara kita sehingga menyiarkan berita yang dikatakan `belum matang’ sebagai tatapan umum,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Jalinan Mesra PDRM Terengganu, media dan Hotel Permai di Hotel Permai, malam tadi.



Turut hadir, Pengerusi Hotel Permai, Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar; pengamal media dan sebahagian Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Terengganu (Kawat).

Dato’ Jamshah berkata, polis yang berpegang kepada konsep utama menjaga nyawa dan harta benda masyarakat juga tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghalang mana-mana maklumat disebarkan kepada umum.

“Ada beberapa sebab kenapa kita membenarkan. Malah, bukan kita tidak membenarkan tetapi kita melewatkan, tetapi ada juga berita yang kita tidak benarkan, contohnya berita penculikan, yang ini kita padamkan terus kerana keutamaan kita dalam apa juga penugasan kita adalah nyawa dan harta benda kerana itu konsep utama kita melainkan selepas mendapat kebenaran daripada mangsa ataupun operasi berjaya mematahkan kes-kes penculikan.

“Selain itu, kita tiada masalah memberi maklumat kepada media, cuma memerlukan masa kerana dalam keadaan tertentu kita tidak dapat beri maklumat disebabkan beberapa faktor,” katanya.

Menurutnya, faktor pertama adalah kes kematian yang memerlukan penyiasatan mengenai sebab, akibat dan punca dari pihak perubatan dan hospital sebelum didedahkan kepada media, memandangkan ia bukan bidang kuasa polis.

Manakala faktor kedua adalah sebagai menghormati keluarga mangsa dan sebelum memberikan maklumat kepada media, polis perlu terlebih dahulu memaklumkan informasi berkenaan kepada keluarga mangsa.

“Begitu juga berita yang melibatkan maklumat susulan, lazimnya kita tidak memberi maklumat lanjut kerana mahu memastikan operasi kita berjaya supaya penjenayah tidak melakukan tindakan luar jangka berdasarkan maklumat yang disebarkan menerusi media massa.

Faktor lainnya, beliau berkata polis juga perlu berhati-hati kerana tidak mahu mengaibkan mangsa dan keluarga mangsa terutama membabitkan kes rogol, pencabulan, kematian orang Islam seperti bunuh diri dan mabuk.

Selain itu, pihaknya mahu memastikan maklumat berkenaan mampu memberi pendidikan dan pengajaran berguna kepada masyarakat.

Katanya, polis juga tidak mahu menjejaskan hubungan antara negara dan juga antara agensi kerajaan kerana kesalahan jenayah yang dilakukan itu membabitkan peribadi dan individu.







Program UMT di BSA Meriah.

Acara Tarik Tali memeriahkan program.
Teks dan gambar: Aminudin Ismail

SAMBUTAN Program Sehari Bersama BSA (Besut Setiu Agropolitan) anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang disertai kira-kira seramai 500 peserta projek itu meriah dengan dengan pelbagai acara yang diadakan.

Dr.Nur Azura...wujud ukhwah.
Pangarah Pusat Jaringan Penyelidikan ECER, UMT merangkap pengarah program, Dr Nur Azura Sanusi, berkata program yang disertai kira-kira seramai 40 kakitangan dan penuntut UMT itu bertujuan mewujudkan hubungan silaturrahim dan ukhwah antara peserta BSA dengan warga UMT.

“Aktiviti kita pada hari ini ialah di bawah Pusat Kecemerlangan pembangunan sosio-ekonomi iaitu khusus kepada projek agropolitan. Hari ini kita adakan gotong royong, sukaneka, pameran dan beberapa acara lain untuk mengenali lebih dekat lagi komuniti BSA ini.

“Daripada UMT kami bawa sekarelawan siswazah iaitu pelajar diploma seramai 21 orang dan kami ada juga ada ‘staff’ seramai lebih kurang 20 orang. Juga daripada Pejabat Kesihatan Setiu yang mengadakan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, Selepas ini pihak UMT akan mengadakan beberapa lagi program untuk komuniti BSA itu , antaranya ialah program motivasi untuk pendidikan anak-anak yang akan diadakan secara berkala dalam bentuk modul dan latihan.

“Sebenarnya, program hari ini juga lebih kepada pengenalan supaya komuniti BSA ini lebih mengenali UMT lebih dekat bagi memudahkan kita menjalankan beberapa program lain selepas ini,” katanya

Nawi menyampaikan sumbangan Maidam kepada seorang anak peserta.
Nur Azura berkata, terdapat juga seramai tujuh penuntut UMT yang berasal dari luar negara menyertai program itu antaranya ialah daripada Nigeria dan Indonesia.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program itu termasuklah pihak penaja, antaranya ialah Maidam dan Primula Beach Hotel.

Program itu dirasmikan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, perusahaan, Perladangan dan Komuniti negeri, Nawi Mohamad. Turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Dato' Dr. Ibrahim Komoo dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar Program UMT di BSA, Panchur Menderu, Langkap, Setiu, hari ini:-

Hadir..antara peserta Bsa yang hadir.
Jemputan..tetamu jemputan khas.

Gelek..satu acara sukaneka yang menarik perhatian.
Marihah (staff Bsa)...teruskan program di Bsa.

Hadiah..Nawi menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pilih..pakaian yang disumbang pelajar UMT.

Bersedia..peserta acara dikir barat sempat ber'posing'.

Selingan..acara dikir barat turut diadakan.

Nur Amalina,21,(penduduk)...sambutan baik.

Dua penuntut UMT sedang mengemas pakaian untuk diderma.

Laju..acara terompah panjang turut diadakan.

Ikmal, penuntut UMT...banyak pengalaman baru.

Abdullah, 26 dari Nigeria..tertarik dengan budaya tempatan.

Terima..Nawi menyampaikan hadiah kepada pengurus BSA.


Acara memasak turut diadakan.

Bantu..Pengurus BSA, Rahim Maulud bersama seorang anak peserta.
Hadir...Nawi (dua dari kiri) bersama tetamu jemputan khas.
Naib..pemenang ke 2 tarik tali menerima hadiah.

 

Program Rioh Sekampung eratkan hubungan penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Ketiadaan tempat untuk mengadakan aktiviti riadah bukanlah menjadi penghalang kepada penduduk Kampung Alur Pisang,Kuala Besut, untuk berkumpul sambil beriadah bersama ahli keluarga.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Alur Pisang, tidak menjadikan ketiadaan tempat untuk mengadakan aktiviti berkenaan sebaliknya menggunakan kreativiti menganjurkan sukaneka untuk penduduk kampung terbabit.

Pengerusinya, Mohamed Sabri Mohamed berkata, program “Rioh Sekampung” yang dianjurkan oleh JKKK membuktikan penduduk boleh menjalankan apa sahaja aktiviti walaupun tiada padang dan tempat untuk mereka beriadah.

Katanya, dengan menggunakan sedikit ruang lapang di kawasan kebun kelapa JKKK terbabit mengadakan aktiviti untuk komuniti yang disesuaikan dengan keadaan setempat.

Menurutnya, program terbaru itu berjaya mengumpul kira-kira 200 penduduk menyertai pelbagai acara sukaneka yang dipertandingkan bagi menggalakkan penyertaan penduduk dalam aktiviti riadah dan social.

Mohamed berkata, dengan mengeluarkan sedikit peruntukan dari kewangan JKKK pihaknya menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada peserta yang berjaya dalam pertandingan yang dianjurkan oleh organisasi itu.

Antara acara yang dipertandingkan termasuklah mengail dalam paya, perlumbaan kereta sorong, tarik tali, dam dan aji dan pelbagai pertandingan acara sukan tradisional lain.

“Program tahunan ini sudah masuk tahun kelima berjaya dianjurkan oleh JKKK kampung ini,” katanya. Katanya, program itu bertujuan merapatkan hubungan mesra antara penduduk selain beriadah pada hujung minggu.

Mangsa terharu keprihatinan Sultanah Terengganu

Oleh: Suriati Ali 

Kprihatinan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah sudi mencemar duli berangkat menyampaikan sumbangan dan bergotong-royong membersih rumah mangsa banjir, di Kampung Fikri, Kemaman nyata mengembirakan golongan itu.

 Mereka yang sebelum ini bersedih kerana mengalami kerugian besar iaitu hampir RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap keluarga sedikit terubat apabila ramai pihak, termasuk Persatuan Pandu Puteri Malayisa (PPPM) cawangan Terengganu tampil membantu.

Baginda yang juga penaung persatuan itu bersama lebih 60 ahli berganding bahu menjayakan misi sambil menghulurkan sumbangan seperti dapur gas, tilam dan pelbagai barangan keperluan dapur.

 Ketua Pesuruhjaya PPPM, Puan Normala Bahrudin berkata, seramai 600 mangsa di Kg Fikri hadir menerima sumbangan pelbagai perkakas elektrik dan barangan dapur bernilai kira-kira RM40,000.

Katanya, peruntukan itu bukan saja disumbang ahli persatuan malah turut diperoleh daripada pelbagai syarikat korporat, Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) semata-mata mahu meringan penderitaan mangsa banjir.

“Setakat ini PPM telah bergerak ke lokasi banjir di Maran dan Kuantan Pahang, sebelum bersama-sama 60 ahli ke Kemaman pula,” katanya.

Mangsa banjir, Puan Aini Embong, 59, berkata dia seakan tidak percaya kerana Sultanah Terengganu bersama anakanda sudi menghulurkan bantuan kepada kami.

 “Sebelum ini, saya hanya melihat baginda di kaca televisyen, berlainan pula hari ini, boleh lihat secara dekat ketika mengambil bantuan dari baginda,” katanya.

Katanya, banjir yang melanda kampung kami dua minggu lepas memang luar biasa, tapi sudah reda dengan apa yang berlaku.

 “Kehadiran Sultanah Terengganu dan pelbagai pihak lain datang menghulurkan sumbangan memang melegakan kami yang sememangnya banyak menanggung kerugian,” katanya.

Norliana Mohd, 37, berkata terima kasih kepada Sultanah Terengganu dan PPM kerana sudi menjenguk dan mengambil cakna mengenai nasib mangsa banjir.

“Kejadian banjir sukar dilupa kerana bukan saja banyak barang rosak, malah kereta turut ditenggelami banjir,” katanya

 

23 December 2013

Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir

Oleh: Suriati Ali, Nurul Azila Saberi dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)



Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Terengganu berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Fikri, Kemaman.

Turut berkenan berangkat anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perak yang juga Naib Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Sebaik tiba, doa dibacakan, kemudiannya Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

Selepas itu, baginda bersama dua anakanda mencemar duli menyertai aktiviti gotong royong membersih rumah, Suniah Mohamad, 36 yang tinggal bersebelahan dewan.

 Pada majlis itu, seramai 600 penduduk Kg Fikri hadir menerima sumbangan berupa perkakas elektrik dan barang keperluan dapur seperti beras, minyak masak, susu pekat dan gandum.

Sumbangan berjumlah  kira-kira RM40,000 itu diperoleh daripada pelbagai sumber, termasuk ahli PPPM, pelbagai syarikat korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).