Halaman

08 January 2014

BUGHAH (DERHAKA) RAHMAN BAKAR SOKONG MUFTI PERAK HARRUSSANI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Penerangan Umno Terengganu menyokong dan mempertahankan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harrussani Zakaria bahawa langkah mengadakan perhimpunan hendak mengguling kerajaan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah (penderhaka).
 Ketua Penerangannya, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar berkata, apa yang disuarakan oleh Mufti Perak itu betul dalam konteks perbuatan menderhaka kepada pemerintah.
 Bughah membawa pengertian segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah.
  Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya menggelar peserta perhimpunan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah (penderhaka) yang halal darah mereka sesuai dengan apa yang terkandung dalam ajaran Al Quran.
 Mufti Perak itu berkata, kenyataan asal beliau adalah berdasarkan demonstrasi yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi nama “guling kerajaan” telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai dan diganti dengan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).
 “Bughah atau darah halal disebut dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan.
 Mereka kata mereka benar tetapi cara mereka salah. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri".
  “Saya kaitkan dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud: Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah),” katanya seperti dilaporkan akhbar arus perdana.
  Senator Datuk Abdul Rahman Bakar hairan mengapapemimpin PAS menolak Bughah yang sebenarnya terdapat dalam hukum Islam.
 Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Dr Khairudin Aman Razali baru-baru ini berkata, kenyataan Harussani itu sangat jahil mengkategorikan peserta perhimpunan sebagai pemberontak malah lebih malang dan merbahaya apabila darah peserta pula diisytiharkan sebagai halal.
  Datuk Haji Abdul Rahman meminta hukuman setimpal kepada mereka yangdidapati bersalah melakukan huru-hara dan kemusnahan kepada negara derhaka kepada Sultan,Yang DiPertuan Agongdan kerajaan yang dipilih secara sah.
  Datuk Abdul Rahman berkata demikian kepada wartawan petang ini selepas.mempengerusikanmesyuarat pertama penerangan Umno Negeri Terengganu petang semalam (7 Januari 2014).

Pengunjung saran anjur kembali pameran haiwan berbisa

Oleh: Suriati Ali 

 Pameran Haiwan Berbisa 2013 anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) berjaya menarik minat kira-kira 80,000 masyarakat tempatan dan luar Terengganu.

 Pengunjung yang hadir menyarankan program sama yang diadakan pada 21 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu, bertempat di Muzium Negeri, Kuala Terengganu itu dianjurkan kembali.

 Penolong Kurator Perhubungan & Pemasaran LMNT, Encik Mohd Saberi Muda, berkata pengunjung mengakui pelbagai manfaat diperoleh selain boleh mengenali pelbagai spesies ular berbisa secara dekat.


“Rata-rata pengunjung juga teruja apabila mengetahui kebanyakan haiwan yang dipamerkan itu tidak dapat ditemui di negara ini seperti orok-orok selain spesies ular tempatan seperti ular tedung, ular senduk, ular katang tebu dan ular air.

"Kami memberi peluang pengunjung melihat spesies ini dari dekat selain mengetahui habitat serta kaedah untuk merawat jika terkena patukan atau gigitan melalui maklumat yang disediakan,” katanya.

 Katanya, melihat sambutan pengunjung di luar jangkaan, LMNT berhajat akan menganjurkannya kembali dengan menambah baik beberapa aktiviti sampingan yang bakal disediakan.

 “Pameran mungkin dibahagikan kepada beberapa segmen bermula dengan haiwan berbisa daripada jenis keluarga ular,” katanya.

 

07 January 2014

Bersyukur anak cacat dapat bantuan.

Ratna bersama anaknya, Fitri
Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Seorang ibu tunggal, Ratna Taib, 48, dari Kampung Tok Dor, dekat sini bersyukur kerana mendapat bantuan sebanyak RM300 dari kerajaan bagi meringankan bebanan untuk menjaga anaknya yang mengalami cacat fizikal sejak dilahirkan.

Ratna yang kematian suami tiga tahun lalu menganggap bantuan itu cukup untuk menampung perbelanjaan makan dan lampin pakai buang anaknya, Mohd Fitri Zulkfli, 12 tahun.

"Anak saya mendapat bantuan itu sejak tiga tahun lalu, terima kasihlah kepada kerajaan terutamanya JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kerana memberi bantuan itu.

"Saya belanja kira-kira RM100 untuk beli lampin pakai buang dan RM50 untuk susu anak saya itu dalam tempoh sebulan dan yang lebih tu bolehlah saya beli beberapa keperluan dapur," katanya. 

Sementara itu, Ratna berkata, dia terpaksa menjaga anak ke lapannya itu sebagaimana seorang bayi sejak dari lahir sehinggalah sekarang.

Mohd Fitri..seperti bayi.
"Anak saya tidak mampu melakukan semua perkara kerana mengalami kecacatan fizikal selepas dilahirkan. Saya menjaganya seperti menjaga seorang bayi termasuklah menyuapkan makanan dan mengangkatnya jika mahu bergerak," katanya.

Ratna berkata, sekalipun terpaksa menjaga anaknya itu seperti seorang bayi sejak 12 tahun lalu namun dia tidak pernah merungut melayani rutin harian anaknya itu malah hatinya sentiasa tenang setiap kali bersama-sama anaknya itu.

 

PM lancar program banjir di Kemaman 12 Januari


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan program penyampaian bantuan banjir di Padang Astaka Chukai, di sini, pada 12 Januari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kira-kira 14,000 keluarga mangsa banjir di sekitar Kemaman akan menerima bantuan kelengkapan rumah iaitu televisyen, peti sejuk, tilam, bantal dan set dapur yang akan diagih secara berperingkat-peringkat.

"Kita akan agih mengikut jadual tertentu kerana melibatkan logistik yang besar, di Kemaman sahaja lebih 14,000 keluarga yang layak menerima bantuan, ini gerak kerja yang rumit, secara simbolik (pada 12 Jan) selepas itu kita hantar ke kampung masing-masing," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program itu, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata program ini amat bermakna kerana mangsa banjir bulan lalu menanggung kerugian yang besar dan musibah itu mendapat perhatian daripada kerajaan, agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, kehadiran Perdana Menteri untuk melancarkan program berkenaan menunjukan perpaduan kerajaan dan rakyat dalam membantu mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.

Katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan turut mengagihkan kira-kira 30,000 unit televisyen baharu kepada setiap keluarga mangsa banjir dan 14,000 daripadanya melibatkan mangsa banjir di Kemaman.

"Bantuan ini (pemberian televisyen) sudah ada sebelum ini kepada orang miskin, Orang Asli dan etnik Sabah, Sarawak yang perlukan alat komunikasi," katanya.

Katanya selain bantuan peralatan tersebut, mangsa banjir juga akan menerima bantuan wang tunai RM500 daripada Kerajaan Pusat dan bantuan antara RM500 dan RM1,500 daripada kerajaan negeri, bergantung kepada jumlah kerugian.

Sementara itu, Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) turut memberi bantuan berupa peti sejuk, dapur, tilam dan bantal kepada mangsa banjir di Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan dan Melaka.

Presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata konvoi penghantaran barang itu akan dilakukan secara berperingkat mulai malam ini membabitkan 43 lori treler.

 

10 petani menyertai tanaman padi organik


YB Nawi Mohamad memandu jentera mencedung padi

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan Pertanian Terengganu memperkenalkan kaedah tanaman padi organik membabitkan peserta dari Kampung Durian Telor,Hulu Besut.

Projek printis membabitkan kawasan seluas 20 hektar dengan tanaman padi tanpa menggunakan racun dan bahan kimia itu akan disusuli dengan tanaman dan projek ternakan lain.

Pemilihan Kampung Durian Telor sebagai projek printis kerana kampung itu dijadikan program “My Kampung My Future” oleh Kementerian Pertanian dan In dustri Asas Tani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, merasmikan upacara mencedung padi organik pagi tadi.

Seramai 10 petani dari kampung itu menyertai projek tanaman padi organik dan mereka dijangka mendapat hasil tuaian selepas 100 hari menanamnya.

Nawi berkata, jika semua perancangan berjalan lancar semua hasil tanaman dan ternakan oleh penduduk kampung itu akan menggunakan kaedah organik.

Projek MKMF Kampung Durian Telor, adalah yang pertama di Terengganu dan kelapan di Malaysia yang dipilih oleh kementerian terbabit.

Berikutan itu,katanya, jawatankuasa penyelaras MKMF akan memohon RM1.6 juta daripada kementerian untuk menjayakan pelbagai program berasaskan pertanian dan ternakan sepanjang tahun ini.

Maidam agih barangan kepada golongan asnaf

Oleh: Suriati Ali 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan kira-kira RM6 juta setahun bagi membeli barangan keperluan dapur kepada 2,200 golongan asnaf di seluruh di negeri ini.

 Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Zakat), Encik Azmi Tengah, pihaknya kini memperkenalkan kaedah baru berkaitan pengagihan zakat, iaitu daripada bayaran wang tunai kepada bentuk barangan keperluan harian, mulai tahun ini..

 Katanya, Maidam melantik 80 peniaga kedai runcit atau pembekal bumiputera untuk mengagihkan barangan keperluan, seperti beras, minyak masak, gandum dan gula, sabun basuh dan bawang terus ke rumah penerima.

“Jumlah barangan yang di terima bergantung kepada bilangan ahli keluarga atau dianggarkan antara RM150 hingga RM300 sekeluarga .

 “Usaha itu dianggap lebih baik berbanding sumbangan wang tunai, kerana semua keluarga yang mendapat bantuan, benar-benar dapat manfaat,” katanya kepada pemberita di pejabat Maidam, semalam.

Menurutnya, pihaknya mendapat laporan, ada segelintir golongan asnaf tidak membelanjakan wang yang diperoleh kepada saluran yang betul, sedangkan anak dan isteri memerlukan makanan.

 “Sebilangan besar penerima, terurama warga emas dan ibu tunggal lebih gemar menggunakan kaedah ini kerana tidak perlu lagi bersusah payah mengambil wang di lokasi yang di tetapkan.

 “Awal bulan hanya menunggu barangan keperluan tiba di pintu rumah yang dihantar pembekal,” katanya. Encik Azmi turut memberitahu, pihaknya mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM121 juta bagi tahun ini, berbanding tahun lalu RM107 juta.

 “Sasaran berkenaan berdasarkan kesedaran umat islam di negeri ini terhadap tanggung jawab membayar zakat semakin meningkat,” katanya.

 

Kerajaan negeri tubuh Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menubuhkan Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sebagai platform penyelarasan program dan aktiviti antara pelbagai agensi keusahawanan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu Che Razali Adis (gambar) berkata, majlis sekretariat yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud itu juga bertujuan menjadikan sekretariat berkenaan sebagai platform perundingan yang lebih efektif dalam menyelaraskan hala tuju usahawan di negeri ini.

"Selain membantu kerajaan membentuk hala tuju pembangunan keusahawanan di Terengganu, sekretariat juga membantu mengumpulkan maklumat bagi memantau dan menilai pencapaian prestasi program pembangunan keusahawanan negeri di masa hadapan.

"Matlamat utama penubuhan sekretariat ini antara lainnya untuk mengoptimumkan penggunaan sumber antara agensi bagi memaksimumkan pelaksanaan program dan aktiviti ke arah meningkatkan impak program dan seterusnya meningkatkan kualiti keusahawanan di negeri ini," ujarnya pada sidang media di Pejabat Kelab Wartawan Terengganu, semalam.

Menurutnya sebanyak 18 agensi dilantik sebagai anggota jawatankuasa sekretariat tersebut, termasuk SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kraftangan Malaysia serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

"Kita juga akan mengadakan mesyuarat empat kali setahun bagi menilai pencapaian program agensi, namun jika ada isu yang timbul, sekretariat akan bersidang serta-merta dan dengan memanfaatkan penglibatan agensi-agensi ini, YPU tidak bersendirian dalam membangunkan usahawan," katanya.

Selari dengan penubuhan sekretariat ini juga, kerajaan negeri melalui YPU akan mengadakan Bengkel Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi 2014 selama tiga hari bermula 9 Januari ini di Kuala Lumpur.

Menurutnya seramai 100 usahawan berprestasi tinggi yang telah dikenal pasti akan dihimpunkan dalam bengkel ini.

 "Sempena program itu juga kita akan mengadakan memorandum persefahaman antara YPU dengan semua agensi pembangunan usahawan, sama ada agensi negeri atau pusat.

 "Surat pelantikan sebagai anggota jawatankuasa sekretariat pembangunan usahawan negeri juga akan disampaikan oleh Roslee," katanya.

Che Razali berkata pada program itu juga beberapa agensi usahawan di peringkat negeri dan pusat akan turut membentangkan matlamat hala tuju agensi masing-masing.

 

06 January 2014

Beri kerjasama kepada Pengerusi JKKK- Iskandar.

Iskandar...berpuashati.
Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Ahli Dewan Undangan Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berpuashati dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasannya dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk kampung masing-masing termasuklah dalam soal menyalurkan bantuan.

"Setakat ini, secara umumnya, boleh dikatakan semua Pengerusi JKKK (Dun Jabi) berfungsi sebagaimana yang sepatutnya. Cuma tinggal lagi di pihak masyarakat kampung itu sendiri perlu memahami tatacara pengagihan bantuan.

"Tidak semua Pengerusi JKKK boleh menyelesaikan masalah dalam satu tempoh masa. JKKK lebih berfungsi untuk menyalurkan dan membantu menyelaras agihan bantuan, yang mana agihan bantuan ini dibuat samada oleh pihak kerajaan negeri melalui Adun ataupun Ahli Parlimen." katanya.

Sehubungan itu, Iskandar mahu semua penduduk memberi kerjasama kepada Pengerusi JKKK kampung masing-masing dalam menjalankan tugas bagi memudahkan pihaknya mengagihkan segala bentuk bantuan dengana adil dan saksam kepada mereka yang layak.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, sebanyak dua zon di kawasan Dun Jabi sudah menerima wang dana sebanyak RM200 itu manakala dua zon lagi akan diberi pada 9hb dan 13hb ini di Dewan Sivik jabi.

 

Pakar Rehabilitasi HSNZ kenalpasti keperluan Nur Damia

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sepasukan pakar perubatan dari Jabatan Rehabilitasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan melakukan penilaian secara holistik bagi mengenalpasti keperluan dan kelengkapan bersesuaian dengan murid istimewa, Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 7, di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Adik Nur Damia Irsalina sedang melakukan kerja sekolah di dalam kelas.
Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohamad Omar, berkata Ketua Jabatan Rehabilitasi HSNZ, Dr Nor Aida Musa dengan dibantu pegawai perubatan, Dr Aini Hawa Ibrahim akan melihat secara terperinci keperluan Nur Damia di sekolah dan juga di rumahnya, di Kampung Lubuk Batu.


“Memandangkan kini Nur Damia sudah bersekolah, jadi pakar dari HSNZ perlu melihat sendiri apa keperluannya di sekolah supaya dia boleh berdikari semaksimum mungkin melibatkan keperluan untuk menulis, membaca dan sebagainya supaya boleh mengikuti pelajaran dengan baik.

 “Kita juga sudah membuat penilaian dari segi mentalnya dan mendapati Nur Damia juga memiliki kesihatan mental sebagaimana murid normal lain dan seelok-eloknya dia ditempatkan di sekolah yang sama di sini,” katanya kepada media selepas meninjau persekitaran persekolahan Nur Damia, di sekolahnya itu, hari ini.


Dr Mohamad berkata, pihaknya akan melakukan penilaian secara berterusan dengan melihat keperluan jangka pendek dan jangka panjang seperti menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk kegunaan makan, minum dan menulis yang lebih tahan lama.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan keperluan itu secepat yang mungkin untuk keselesaan murid itu supaya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitarannya sebagaimana murid normal yang lain.

“Keperluan dalam kelas khususnya fungsi yang boleh diubahsuai menepati keperluannya serta meja yang membolehkan Nur Damia menulis sambil duduk dan buku akan menjadi menegak berbanding sekarang terbalik. Jadi itu semua kemungkinan yang boleh dibuat berdasarkan penilaian dan pemantauan pakar-pakar kita,” katanya .


Nur Damia, anak ketiga dari empat beradik kepada pasangan suami isteri Dr Daeng Malis Ab Kahar , 43, dengan Rosnaini Mohamad, 36, lahir pada 30 Jun 2007 tanpa kaki dan tangan, mendapat liputan meluas media berikutan semangat kentalnya untuk bersekolah seperti murid normal yang lain.

Dia yang membahasakan diri sebagai 'Kak Nik' itu tidak kekok menulis, mewarna dan petah bercakap, selain tidak teragak-agak menjawab soalan yang diajukan termasuk oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, YB Rozi Mamat yang melawat sekolah itu, Rabu lalu.

Dalam kunjungan itu, YB Ghazali berkata, pihaknya akan memanggil ahli akademik dari Kolej Universiti TATi untuk membantu Nur Damia Irsalina terutama dalam menambah baik kerusi roda untuk kegunaan murid tersebut serta kemudahan lain.

Ibu Nur Damia, seorang jururawat dan bapanya pegawai perubatan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sudah melakukan pelbagai persediaan awal termasuk menyediakan kerusi roda bermotor yang ditempah khas berharga RM10,000 daripada pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron, selain bantuan pihak sekolah yang menyediakan laluan khas bagi memudahkan pergerakan anaknya itu ketika di sekolah.


YPU anjur bengkel pembangunan usahawan berprestasi tinggi

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan menganjurkan Bengkel Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi 2014 selama tiga hari bermula 9 Januari ini bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis (gambar) berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk membantu perkembangan bidang keusahawanan negara.

Menurut beliau, matlamat penganjuran bengkel berkenaan adalah untuk membantu usahawan berpotensi mencipta daya maju ke arah menjadi usahawan berprestasi tinggi menerusi kerjasama yang erat dengan memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan pelbagai agensi keusahawanan.

“Selain bertindak sebagai platform yang berkesan bagi menyampaikan maklumat dan kemudahan bantuan yang disediakan kerajaan, bengkel ini dilihat mampu mewujudkan jaringan kerjasama antara usahawan dengan pihak pengurusan tertinggi agensi keusahawanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Kelab Wartawan Terengganu, hari ini.

Che Razali berkata, bagi menambah nilai serta memperbaiki sistem penyampaian agensi keusahawanan agar segala sumber kemudahan dan bantuan yang disediakan agensi dimanfaatkan secara maksima, bengkel terbabit menjadi saluran dalam medapatkan maklumbalas dengan lebih tepat mengenai keperluan para usahawan.

Katanya, seramai 100 usahawan akan menyertai bengkel berkenaan yang akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud.

 .