Halaman

07 January 2014

Bersyukur anak cacat dapat bantuan.

Ratna bersama anaknya, Fitri
Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Seorang ibu tunggal, Ratna Taib, 48, dari Kampung Tok Dor, dekat sini bersyukur kerana mendapat bantuan sebanyak RM300 dari kerajaan bagi meringankan bebanan untuk menjaga anaknya yang mengalami cacat fizikal sejak dilahirkan.

Ratna yang kematian suami tiga tahun lalu menganggap bantuan itu cukup untuk menampung perbelanjaan makan dan lampin pakai buang anaknya, Mohd Fitri Zulkfli, 12 tahun.

"Anak saya mendapat bantuan itu sejak tiga tahun lalu, terima kasihlah kepada kerajaan terutamanya JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kerana memberi bantuan itu.

"Saya belanja kira-kira RM100 untuk beli lampin pakai buang dan RM50 untuk susu anak saya itu dalam tempoh sebulan dan yang lebih tu bolehlah saya beli beberapa keperluan dapur," katanya. 

Sementara itu, Ratna berkata, dia terpaksa menjaga anak ke lapannya itu sebagaimana seorang bayi sejak dari lahir sehinggalah sekarang.

Mohd Fitri..seperti bayi.
"Anak saya tidak mampu melakukan semua perkara kerana mengalami kecacatan fizikal selepas dilahirkan. Saya menjaganya seperti menjaga seorang bayi termasuklah menyuapkan makanan dan mengangkatnya jika mahu bergerak," katanya.

Ratna berkata, sekalipun terpaksa menjaga anaknya itu seperti seorang bayi sejak 12 tahun lalu namun dia tidak pernah merungut melayani rutin harian anaknya itu malah hatinya sentiasa tenang setiap kali bersama-sama anaknya itu.