Halaman

10 January 2014

Isteri Mohd Noor kesal FB sebar kematian suami

Keluarga Mohd Noor Mat yang mencipta sejarah berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya pada September lepas, menafikan khabar bahawa beliau meninggal dunia selepas diserang sekumpulan lelaki. 

Isterinya Zamilah Abdul Latiff, 45, berkata fitnah itu yang disebar menerusi laman sosial Facebook sejak kelmarin turut disertakan dengan gambar orang ramai mengusung jenazah.

"Saya amat sedih bila ada pihak yang sanggup memutar belit kejadian itu dan membuat berita palsu," katanya, semalam.

Beliau berkata suaminya yang diserang sekumpulan lelaki berhampiran Dewan MDB Gong Kemuntong, Jerteh pada Ahad lalau, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia susulan kecederaan pada kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Selepas dirawat hampir empat hari, dia dibenar keluar pagi semalam dan sudah semakin sihat," katanya. 

Menurut Zamilah, adik iparnya juga sudah membuat laporan polis berhubung serangan terhadap Mohd Noor.

Pada 22 September lalu, Mohd Noor, 46, yang bekerja dengan Yayasan Islam Terengganu menunaikan nazar untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya susulan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut.

Beliau mengambil masa 12 hari untuk menamatkan perjalanan sejauh 600 kilometer itu.