Halaman

08 January 2014

Beri pemahaman kepada rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu akan mengadakan satu seminar yang bertajuk Pemerkasaan Ekonomi Nasional bagi memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai isu-isu semasa yang melingkari hidup mereka.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar (gambar) berkata, seminar itu akan membincangkan tentang Bajet 2014, ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera, isu Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta isu-isu semasa yang menyentuh pelbagai aspek samada politik, pendidikan, ekonomi, agama dan lain-lain.

“Seminar berkenaan akan diadakan pada 18 Januari ini di Wisma Darul Iman melibatkan 3000 peserta yang terdiri daripada pemimpin parti, kepimpinan di peringkat jabatan, belia, pegawai kerajaan, NGO serta pemimpin masyarakat.

“Majlis itu nanti akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu dan kita turut menjemput pegawai dari Kementerian Kewangan untuk memberi penerangan dan menghuraikan isu-isu yang ditimbulkan,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Penerangan Umno Terengganu, semalam.

Dalam perkembangan lain menurut beliau, pihaknya akan mengadakan satu perjumpaan bagi memantapkan jentera parti Umno pada 15 Februari depan di Taman Tamadun Islam (TTI) yang akan melibatkan 2000 peserta.

“Tujuannya untuk menjelaskan dan memberi penerangan mengenai tugas dan tanggungjawab jentera penerangan kepada yang memimpin di semua peringkat samada negeri, bahagian, Dewan Undangan Negeri (Dun), peti undi dan cawangan dengan lebih mendalam lagi.

“Saya berharap jentera parti akan menjalankan kerja dengan jujur, amanah, cekap dan berkesan dari sekarang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti," katanya.