Halaman

05 January 2014

Risda perkenal TS Online - TS 14 untuk peserta

Oleh: Mastura Jamaldin

Risda memperkenalkan `TS Online-TS 14' bagi memudahkan pekebun kecil membuat permohonan semula sebagai peserta bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan )Risda, Haji Mohamat Muda, berkata menerusi kecanggihan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) peserta boleh memohon semula menerusi talian internet walaupun berada di rumah bagi mendapat kelulusan serta merta tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti biasa.

“Pada masa yang sama, kita juga mempertingkatkan kemahiran kakitangan Risda dengan menghantar mereka menyertai kursus yang dianjurkan terutama mengenai GAP supaya lebih banyak transformasi dilakukan.

“Selain itu juga, RISDA yang ditubuhkan lebih daripada 40 tahun lalu adalah lanjutan daripada Lembaga Perusahaan Getah yang ditubuhkan pada 1953. Malah, sejak itu, pelbagai transformasi dilakukan untuk menjadikan agensi itu lebih hebat selaras dengan perkembangan semasa,” katanya ketika berucap sempena merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Tanam Semula Peringkat RISDA Negeri Terengganu di daerahHulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Risda negeri Terengganu, Rusly Yaacob dan pekebun-pekebun kecil.

Dalam pada itu, Risda memperuntukkan 2,410 hektar melibatkan perbelanjaan RM13.4 juta untuk pekebun kecil getah mengusahakan tanaman itu pada tahun ini. Jumlah itu meningkat pada tahun ini, berbanding 1,650 hektar pada tahun lalu.

“Pertambahan kawasan getah itu juga disokong dengan kempen penorehan dan penghasilan yang diperkenalkan pada tahun ini .

 “Kempen bertujuan untuk memastikan setiap kebun akan menghasilkan susu getah yang berkualiti melalui amalan pertanian yang betul dan baik,” katanya.