Halaman

05 January 2014

RM200 cukup bermakna buat golongan belia

Oleh: Noraini Jusoh

Wang tunai sebanyak RM200 yang diberikan Kerajaan Terengganu kepada golongan bujang berusia 21 hingga 40 tahun melalui Program Dana Bakti Remaja cukup bermakna buat golongan belia.
Nurul Sawani, 22, dan Nurul Afizatul Atikah,22, menyifatkan pemberian dana tersebut merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan remaja seperti mereka.

“Kami bangga menjadi anak Terengganu kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa membantu rakyat termasuk golongan remaja,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Dana Bakti Remaja (Dun Kijal) yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad bin Said di Dewan Sivik Kijal, Kemaman, baru-baru ini.

Bagi Abdul Razak Husin,23, berkata, wang yang diperolehnya itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan sehariannya.

“Saya hanya bekerja ladang dan duit ini sedikit sebanyak dapat membantu saya membeli barang keperluan harian untuk saya dan ayah,” katanya.

Norhayati Abd Ghani,22, pula berkata, wang tunai RM200 itu cukup bernilai kepada dirinya.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini dan bercadang untuk menyimpan wang yang diberikan oleh kerajaan negeri,” ujarnya yang pertama kali menerima dana tersebut.

Adli Mohamad, 29, berkata, wang yang diperolehi itu akan digunakan bagi meringankan beban kedua ibu bapanya dengan membeli barang keperluan dapur.