Halaman

08 January 2014

Ibu tunggal diminta sertai persatuan untuk mendapatkan bantuan


YB Muhamad Pehimi menyampaikan sijil kepada peserta jahitan

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan Negeri menggalakkan ibu tunggal menyertai mana-mana persatuan dan kelab yang ditubuhkan dan dikitiraf kerajaan bagi membolehkan mereka mendapatkan pelbagai bantuan yang disalurkan pihak terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof berkata, ibu tunggal yang menyertai kelab dan persatuan yang diiktiraf mendapat banyak manfaat kerana kerajaan akan menyalurkan bantuan menerusi pertubuhan terbabit.

Katanya, ketika ini 27,000 ibu tunggal seluruh negeri sudah menjadi ahli persatuan berkenaan yang ditubuhkan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)

Menurutnya, ibu yang tunggal yang berminat menyertai persatuan atau kelab di tempat masing-masing boleh menghubungi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di tempat masing-masing untuk mendapatkan maklumat persatuan.

Sebagai contoh,katanya, ahli persatuan dan kelab yang terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia pewaris akan mendapat bantuan dari insyuran berjumlah RM15,000 selain khairat kematian RM1,500.

“YPK juga akan memberi latihan kemahiran dalam pelbagai bidang untuk membolehkan ahli dapat berdikari,” katanya, ketika menyampaikan sijil kelas jahitan komuniti Sesi 3/2013 dan penyampaian cek Jaya Diri di Bangunan UMNO Besut, semalam.

Pada majlis itu 85 peserta menerima sijil tamat kursus dan 53 daripadanya mendapat cek pinjaman jati diri.

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, berkata kerajaan negeri memperuntukan RM283,00 kepada peminjam terbabit bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi untuk meningkatkan pendapatan keluarga.