Halaman

08 January 2014

`Pakatan Rakyat Election News' keluarkan kenyataan tidak berasas : MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduhnya menyekat bantuan yang disampaikan oleh Sultan Terengganu kepada mangsa banjir.
Petikan pembohongan dalam
FB Pakatan Rakyat Election News.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal apabila terus menjadi mangsa tuduhan tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab selepas beliau dikatakan `menyekat’ bantuan yang disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kepada mangsa banjir di Kemaman, baru-baru ini.

Dalam kejadian terbaru, `Pakatan Rakyat Election News’ mengeluarkan kenyataan menerusi facebook pada 6 Januari lalu, mendakwa bantuan dari Sultan Mizan kepada mangsa banjir di Kemaman itu tidak diagihkan sebaliknya `dirampas’ oleh Menteri Besar menyebabkan baginda mengamuk dan memarahi Dato’ Seri Haji Ahmad ketika lawatan ke kawasan itu, bulan lalu.

Malah, kenyataan itu juga mendakwa, `adinda tuanku’ yang bertindak menyamar sebagai sukarelawan ketika misi bantuan banjir berkenaan, menyampaikan perkara itu kepada baginda, baru-baru ini.

 “Saya tidak tahu apa motif ia dibuat.Sedangkan saya sendiri berada bersama Tuanku, semasa majlis penyampaian bantuan sumbangan barang-barang hari itu di dua tempat, Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai dan Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Kemaman.

“Kedua, secara logiknya, sebab itu Islam sebut sekiranya datang kepada kamu seorang yang munafik membawa fitnah, hendaklah kamu siasat sama ada perkara itu betul ataupun tidak. Sebab apabila saya baca (kenyataan) itu selepas dimaklumkan kelmarin, maknanya tidak munasabah bayangkan apabila seseorang ke Kemaman yang memperkenalkan diri sebagai adinda Tuanku, tak kan orang Kemaman, Pegawai Daerah tidak mengenali siapa adinda Tuanku,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, susulan kenyataan tidak berasas itu juga, ramai pengguna facebook yang lain memberi komen negatif dan melemparkan pelbagai tuduhan tidak sewajarnya kepada beliau.

“Apabila adanya FB, Twitter, SMS, Instagram dan sebagaianya, sepatutnya manusia lebih bertamadun. Apatah lagi jika orang itu adalah orang Islam, sebab fitnah itu lebih dashyat dari membunuh.

“Kalau dulu fitnah seorang dari mulut ke mulut, kini dengan kecanggihan media sosial menyebabkan perkara itu tersebar dalam masa beberapa minit sahaja ke seluruh dunia, sedangkan perkara itu sebenarnya tidak betul,” katanya.

 Menteri Besar juga akan menilai dan mengkaji perkara itu dari pelbagai sudut sebelum membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.