Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama peserta program. |
Gambar oleh Zulkipli Putra
Seramai 200 peserta menyertai Program Latihan Pengarah Korporat yang dianjurkan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia selama dua hari di Hotel Permai, bermula semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ianya julung kali diadakan secara dalaman yang bertujuan membantu pengarah-pengarah kumpulan syarikat TISB memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang digariskan dalam Akta Syarikat 1965.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu. |
“Kursus ini memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pengarah dalam sesebuah syarikat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup program berkenaan di Hotel Permai, hari ini.
Menurut beliau, program ini juga bertindak sebagai gerbang informasi kepada para pengarah untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai tugas fidusiari dan statutori dan melaksanakannya dengan lebih efektif dan efisyen lagi.
Katanya, pengarah syarikat juga bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju syarikat, menilai prestasi perniagaan dan memastikan perancangan dilaksanakan dan sumber hasil syarikat digunakan dengan betul serta membuat keputusan bagi kepentingan syarikat.
“Sekiranya pengarah mematuhi segala peruntukan dan undang-undang yang ada, ianya akan melicinkan perjalanan syarikat dan kejayaan syarikat akan dapat dicapai,” ujarnya.