Halaman

06 January 2014

YPU anjur bengkel pembangunan usahawan berprestasi tinggi

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan menganjurkan Bengkel Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi 2014 selama tiga hari bermula 9 Januari ini bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis (gambar) berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk membantu perkembangan bidang keusahawanan negara.

Menurut beliau, matlamat penganjuran bengkel berkenaan adalah untuk membantu usahawan berpotensi mencipta daya maju ke arah menjadi usahawan berprestasi tinggi menerusi kerjasama yang erat dengan memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan pelbagai agensi keusahawanan.

“Selain bertindak sebagai platform yang berkesan bagi menyampaikan maklumat dan kemudahan bantuan yang disediakan kerajaan, bengkel ini dilihat mampu mewujudkan jaringan kerjasama antara usahawan dengan pihak pengurusan tertinggi agensi keusahawanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Kelab Wartawan Terengganu, hari ini.

Che Razali berkata, bagi menambah nilai serta memperbaiki sistem penyampaian agensi keusahawanan agar segala sumber kemudahan dan bantuan yang disediakan agensi dimanfaatkan secara maksima, bengkel terbabit menjadi saluran dalam medapatkan maklumbalas dengan lebih tepat mengenai keperluan para usahawan.

Katanya, seramai 100 usahawan akan menyertai bengkel berkenaan yang akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud.

 .