Satu sistem agihan baharu bekalan air akan dilaksanakan dengan menakung bekalan di daerah Kemaman bagi mengelakkan masalah air tidak mencukupi di daerah itu menjelang tahun 2020.
Menteri Besar, Dato' Seri haji Ahmad Said, berkata pihaknya mengambil langkah awal memandangkan pertumbuhan pesat industri di kawasan berkenaan.
"Untuk permulaan, kita akan sambung bekalan air dari kawasan Perindustrian Kerteh ke kawasan Perindustrian Teluk Kalong melibatkan bekalan dari loji petronas di Dungun dengan kos pemasangan paip sebanyak RM50 juta dan akan dilaksanakan pada tahun ini.
"Dari segi jangka masa panjang, bila beberapa lagi kilang besar akan dibina kita menjangkakan bekalan air di daerah ini tidak mencukupi sebab kita tahu bahawa pembangunan di Kemaman yang melibatkan kawasan industri dan perumahan bagaikan cendawan tumbuh.
"Untuk itu kita terpaksa mengadakan satu sistem agihan baru untuk menakung air dan ia melibatkan kos RM400 juta," katanya pada sidang media, semalam.
Menurutnya, seorang perunding telah dilantik untuk membuat kajian terperinci mengenai projek tersebut.