Halaman

08 January 2014

Pengunjung saran anjur kembali pameran haiwan berbisa

Oleh: Suriati Ali 

 Pameran Haiwan Berbisa 2013 anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) berjaya menarik minat kira-kira 80,000 masyarakat tempatan dan luar Terengganu.

 Pengunjung yang hadir menyarankan program sama yang diadakan pada 21 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu, bertempat di Muzium Negeri, Kuala Terengganu itu dianjurkan kembali.

 Penolong Kurator Perhubungan & Pemasaran LMNT, Encik Mohd Saberi Muda, berkata pengunjung mengakui pelbagai manfaat diperoleh selain boleh mengenali pelbagai spesies ular berbisa secara dekat.


“Rata-rata pengunjung juga teruja apabila mengetahui kebanyakan haiwan yang dipamerkan itu tidak dapat ditemui di negara ini seperti orok-orok selain spesies ular tempatan seperti ular tedung, ular senduk, ular katang tebu dan ular air.

"Kami memberi peluang pengunjung melihat spesies ini dari dekat selain mengetahui habitat serta kaedah untuk merawat jika terkena patukan atau gigitan melalui maklumat yang disediakan,” katanya.

 Katanya, melihat sambutan pengunjung di luar jangkaan, LMNT berhajat akan menganjurkannya kembali dengan menambah baik beberapa aktiviti sampingan yang bakal disediakan.

 “Pameran mungkin dibahagikan kepada beberapa segmen bermula dengan haiwan berbisa daripada jenis keluarga ular,” katanya.