Halaman

05 January 2014

Kerajaan negeri sokong langkah penjimatan Kerajaan Pusat


Kerajaan negeri menyokong langkah berjimat-cermat yang dilaksanakan Kerajaan Pusat dalam usaha mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata Terengganu akan turut melaksanakan langkah sebagaimana Kerajaan Pusat itu bagi menjimatkan perbelanjaan kewangan negeri.

"Malah kitapun sebelum ini telah mengamalkan jimat cermat seperti yang pernah saya sebut semasa pembentangan bajet tempoh hari," katanya di Kemaman, kelmarin.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengkaji dari semasa ke semasa perbelanjaannya berasaskan keperluan sebagaimana apa yang disarankan Kerajaan Pusat.

Katanya langkah berjimat cermat itu penting bagi mengelak sebarang pembaziran.

Sementara itu mengulas tentang pemberhentian 300 guru al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT),  Dato' Seri Haji Ahmad berkata penamatan kontrak guru itu berdasarkan prestasi mereka dan peraturan yang ada.

"Mereka yang tidak mempunyai prestasi yang bagus selain bermasalah, maka kontrak mereka tidak akan disambunglah.

"Jangan anggap kerja kontrak ini kekal sampai bila-bila. Mereka ini ada penilaian dan ukuran prestasi yang dibuat YIT. Kalau tidak boleh didik anak bangsa dengan baik, maka kontrak mereka tidak akan disambung," katanya.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata kerajaan mahu guru Kafa berwibawa yang mampu mendidik anak bangsa dengan baik.

Katanya penamatan itu disebabkan pemarkahan oleh YIT yang mempunyai syarat dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi guru berkenaan.

"Kalau dia tidak boleh didik dengan baik dan maki hamun orang, ini bukan satu contoh yang baik," katanya.