Halaman

05 January 2014

25 Pelajar miskin di DUN Kuala Besut dapat perhatian Menteri.


Idris menggunakan motosikal roda tiga mengunjungi rumah pelajar miskin.

Oleh: Mohammad Ishak 

Masalah membiayai kos persekolahan yang dihadapi golongan miskin di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, mendapat perhatian Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Idris Jusoh, yang turut padang menyampaikan bantuan kewangan kepada pelajar terbabit.

Seramai 25 pelajar miskin yang disenaraikan oleh pihak guru besar dan pengetua sekolah di DUN berkenaan diberi bantuan segera bagi menyelesaikan masalah dihadapi sempena pembukaan sekolah kelmarin.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut turut padang dan menyampaikan sendiri bantuan berkenaan dari rumah ke rumah dan menemui pelajar serta ibu bapa berkenaan.

Paling menarik Idris bergerak dengan menggunakan motosikal roda tiga yang turut disertai ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Pada program itu pelajar terpilih akan menerima RM500 dan RM1,000 berdasarkan keadaan kehidupan keluarga masing-masing.

Menurut Idris, kementerian tidak mahu mendengar ada laporan mengenai isu pelajar miskin yang tidak dapat belajar di sekolah negera ini.

Katanya, pemimpin terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen yang mempunyai butiran jika ada pelajar di kawasan masing-masing menghadapi masalah kemiskinan diminta menghubungi kementerian untuk diberi bantuan.

“Sehingga ini hampir 100 pelajar yang benar-benar menghadapi masalah kemiskinan untuk menyambung belajar sudah diberi bantuan di tiga DUN di Parlimen Besut,” katanya.