Halaman

21 January 2014

Program Trenglish di luar sekolah

Jabatan Pendidikan kini di peringkat akhir penyediaan kertas konsep bagi menjayakan Program Trenglish bagi meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris di rakyat negeri ini khususnya para pelajar mulai tahun ini.

Timbalan Pengarahnya, Hashim Mohd Zain berkata, pihaknya masih dalam proses memperhalusi draf sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan agar dapat dimulakan tidak lama lagi.

Beliau menjelaskan, program yang akan diperkenalkan atas inisiatif kerajaan negeri merupakan satu program khusus yang akan diadakan di luar waktu sekolah yang turut melibatkan ibu bapa selain guru dan pelajar.

''Ia akan dilaksanakan mengikut kesesuaian pelajar setempat kerana terdapat perbezaan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar,".

 ''Ini untuk memastikan program bagi membantu pelajar mahir menguasai bahasa Inggeris dan dapat diikuti dengan mudah,"katanya Beliau berkata, sebanyak 32 sekolah menengah yang terdiri daripada setiap sekolah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dipilih menjayakan projek perintis itu.

 Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib mengumumkan langkah memperkenalkan program Trenglish dengan menyediakan peruntukan sebagai RMN3.3 juta.

 Menurut Ghazali, program itu kelak akan diperluaskan, meliputi sekolah rendah dan pra sekolah jika berhasil dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya di Terengganu menjelang 2020 selaras hasrat kerajaan negeri melahirkan mahasiswa kelahiran negeri ini fasih berbahasa Inggeris.

 Ia sebagai salah satu langkah jangka panjang yang akan turut melibatkan peranan guru-guru berpengalaman sebagai fasilitator selain memberi pekerjaan kepada anak-anak negeri yang berkelulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

 

23 anak yatim diraikan oleh tiga JKKK


YB Muhamad Pehimi menyampaikan sumbangan kepada anak yatim

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 32 anak yatim daripada 14 keluarga kariah masjid itu dirai dan diberikan bantuan oleh Jawatankuasa Masjid  Kampung Gong Gucil, dekat Jertih, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa masjid itu, Abd. Hamid Hamzah berkata, anak-anak yatim dipilih terdiri daripada pelajar dari tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu JKKK Gong Tanah Merah, JKKK Kayu Kelat dan JKKK Gong Guchil.

Katanya, seorang individu yang enggan dikenali telah bermurah hati menyumbangkan wang untuk diberi kepada anak-anak yatim tersbetu mnakala untuk jamuan bagi mengadakan majlis Maulidur rasul itu disumbangakn oleh penduduk kampung.

 Menurutnya ini merupakan kali kedua sumbangan kepada anak yatim menerusi masjid kampung itu yang melibatkan tiga kampung berjaya diadakan dan membuktikan semangat untuk membantu golongan anak yatim masih tinggi.

 “Kita berharap menerusi sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga yang menjaga anayk yatim tersebut selain menamdakan simpati penduduk kampung kepada mereka yang kehilangan ornag tersayang, “. “Lima orang yang yatim yang disenaraikan disebabkan ibu mereka meninggal dunia kerana mengidap barah payu dara dan beberap lagi yang kehilangan ibu bapa kerana kemalangan jalan raya, “ujarnya.

Sementara itu Ahli Exco Kerajaan Negeri, Muhammad Pehimi Yusof memuji langkah pengurusan masjid itu yang melihat aspek kebajikan kepada anak mukim mendahului masjid-masjid lain di daerah ini.

Katanya, apa yang penting sekarang ialah anak yatim perlu berusaha belajar bersunguh sungguh dan tidak menjadikan kehilangan ibu bapa mereka sebagai penamat cita cita dalam hidup,

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata kerajaan menerusi agensi di bawah kerajaan negeri dan pusat tidak pernah mengabaikan nasib golongan yatim dan golongan miskin sebaliknya menyediakan peruntukan yang besar membantu golongan itu.

 “Penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) atau badan sukarela diharap dapat memastikan nasib golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim ini mendapat pembelaan dan perhatian khususnya dalam bidang pendidikan, “katanya.

Fatehah rangkul perak di pentas dunia

Pelumba trek Yayasan Sime Darby, Fatehah Mustapa mempamerkan persembahan mengagumkan untuk meraih pingat perak dalam acara keirin di siri ketiga Piala Dunia UCI yang berlangsung di Guadalajara, Mexico, kelmarin (19 Januari).



Kejayaan gemilang atlet kelahiran Hulu Terengganu berusia 24 tahun itu melakar sejarah tersendiri menjadi pelumba wanita pertama negara meraih pingat pada kejohanan itu dan pingat pertamanya sejak mula beraksi pada 2007 di Piala Dunia UCI.

Saingan membabitkan enam pelumba itu berlangsung sengit dengan pelumba sensasi Hong Kong, Lee Wai Sze berjaya meraih emas dengan Fatehah hanya ketinggalan 0.017 saat disusuli Sandie Clair dari Perancis.

“Sudah banyak kali saya melangkah ke final keirin, namun gagal meraih pingat, namun kali ini saya sangat gembira kerana berjaya melakukannya. Ia satu pencapaian yang membanggakan dengan sasaran selepas ini adalah Kejohanan Trek Dunia di Columbia bulan depan.

 “Saya tidak mengira kilauan pingat di Kejohanan Trek Dunia nanti dengan fokus kini adalah menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh dalam tempoh masa yang ada,” katanya yang turut memberikan pujian kepada Sime Darby, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta ketua jurulatih negara, John Beasley yang meningkatkan prestasinya.

Kejayaan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan rakan sepasukannya yang juga anak Terengganu, Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaannya dalam final keirin kelmarin.



Libatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan-YB A. Latiff

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Seramai 39 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah menyertai program Bakti Siswa di Kampung Alur Tuman, Rhu Rendang, Marang, baru-baru ini.
Program selama empat hari itu bertujuan mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat kampung menerusi pengalaman tinggal bersama keluarga angkat dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A. Latiff Awang berkata, program itu mampu menjadi platform terbaik untuk pelajar membentuk jati diri bagi menempuh alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian nanti.

"Melalui program bakti siswa ini, para pelajar dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan penduduk setempat yang merupakan salah satu elemen penting dalam bidang pengajian mereka.

"Oleh itu, para pelajar sangat digalakkan menyertai program seumpama ini kerana pengalaman yang mereka perolehi sangat berharga dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup program berkenaan di perkarangan Surau Haji Abas, Kampung Alur Tuman, baru-baru ini.

YB A. Latiff Awang yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan berkata, dengan adanya program sebegini, para peserta juga dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kelas ke dunia sebenar.

Tambah beliau, selain bijak dalam bidang akademik, para pelajar perlu mempunyai sahsiah diri yang bagus dan pandai bergaul dengan masyarakat luar jika ingin menjadi seorang mahasiswa yang hebat dan cemerlang.

 

Angin kencang perairan Terengganu sehingga Sabtu

Angin kencang Timur Laut yang berlaku di perairan Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor Timur, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat Kudat dan Sandakan), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, dijangka berterusan hingga Sabtu ini.

Angin berkelajuan dari 60 km sejam itu disertai ombak dengan ketinggian melebihi 5.5 meter, kata Jabatan Meteorologi dalam kenyataan semalam.

Selain itu, kawasan pantai di  Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kenaikan paras air laut, dan keadaan itu turut dijangka berterusan hingga Sabtu.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan angin kencang dan laut bergelora berkenaan berbahaya kepada semua aktiviti pantai termasuk pekerja di pelantar minyak.



100 guru ETA memulakan khidmat selama 10 bulan


Seramai 20,000 guru bahasa Inggeris sedia ada akan dilatih semula tahun ini untuk meningkatkan penguasaan bahasa mereka, kata Menteri Pendidikan Kedua, Dato' Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata untuk permulaan pada Februari ini 9,000 guru akan dilatih manakala selebihnya akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Jumlah ini meningkat berbanding 5,000 pada tahun lepas, ini supaya pendedahan yang diberikan oleh guru mudah difahami pelajar dan seterusnya penggunaan bahasa itu dapat dicapai dengan baik.

 "Ia juga bagi menyahut seruan kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright kepada 100 siswazah dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat di kementerian itu, semalam.

Dato' Seri Idris berkata perancangan tahun depan pula kementerian juga menjangkakan jumlah yang sama iaitu 20,000 guru akan dilatih.

Terdahulu mengenai program berkenaan, bakal guru dari Amerika itu akan ditugaskan selama 10 bulan di sekolah menengah dan rendah di enam negeri iaitu Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak. 

Selain membantu guru bahasa Inggeris di dalam kelas, mereka juga akan menjalankan aktiviti kurikulum yang dilaksanakan dalam bahasa Inggeris seperti program perkhemahan.

 

Sabri tinjau masalah hakisan di Sungai Payong.

TINJAU...Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor bersama Pengerusi JKKK Kampung Payong, Osman Ismail dan beberapa penduduk sedang meninjau keadaan sebuah sungai  yang terhakis teruk sehingga menghampiri sebatang jalan dan kawasan sekolah kampung itu, di Kampung Payong, Langkap, semalam.

Sungai itu yang terhakis akibat aliran air yang deras yang membadai tebing setiap kali musim tengkujuh kini menjadi semakin luas dan berkemungkinan akan menghakis jalan itu dan memasuki kawasan sekolah sekiranya tidak ditambak.

Menurut seorang penduduk,kira-kira 0.3 hingga 0.5 meter tebing akan runtuh setiap kali musim tengkujuh dan sungai itu yang dulu keluasannya kira-kira 30 meter kini melebihi 200 meter dalam tempoh tujuh tahun lalu.

Sementara itu, dalam tinjauannya, Dato' Sabri akan berusaha menyelesaikan masalah itu supaya runtuhan itu tidak merosakan jalan dan kawasan sekolah.

"Insya Allah, kita akan meminta JPS (Jabatan Parit Dan Saliran) segera mengatasi masalah ini kerana ia boleh merosakan infrastruktur jalan dan sekolah jika dibiarkan.

"Saya juga bercadang untuk menjadi kawasan ini satu mini reakrasi apabila masalah hakisan ini dapat diatasi kerana kawasan sungai ini cantik dan ia juga sering menjadi tumpuan ramai untuk berkelah ataupun berkhemah," katanya.-oleh: Aminudin Ismail.

 

20 January 2014

Iskandar cuit hati penerima Dana Bakti Remaja.

Gurau...Iskandar dengan aksinya tersendiri bersama seorang remaja.
Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berjaya mencuit hati kira-kira 690 penerima Dana Bakti Remaja Dun Permaisuri sessi 3 yang hadir menerima wang itu di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, di sini, hari ini ketika dia memanggil dua penerima naik ke pentas untuk menemubual. 

Melakukan aksi sebagaimana wartawan penyiaran, Iskandar menanyakan beberapa soalan kepada kepada kedua-dua remaja, lelaki dan perempuan itu dengan beberapa aksi dan soalan lucu sehingga mencuit hati remaja yang hadir.

Dalam pada itu, dalam ucapannya itu juga Iskandar berkata, selama 12 tahun berturut-turut remaja di negeri ini menerima Dana Bakti Remaja.

"Pada tahun ini seramai kira-kira 10,000 remaja di Dun Permaisuri menerima Dana Bakti Remaja.

"Tahun ini sahaja kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM16 Juta untuk dana ini. Duit sebanyak ini kita beri kepada orang muda kerana kita berjanji dulu dan kita teruskan janji itu.

"Inilah yang dikatakan, kita menepati janji, janji ini kita tepati untuk membantu orang-orang muda, memberi peluang kepada orang cukup syarat untuk mendapat dana ini," katanya.

Sehubungan itu, Iskandar mengingatkan semua remaja yang hadir pada hari ini supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan yang sedia ada supaya mereka akan dapat terus menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan daripada kerajaan.
Soal..Iskandar bertanyakan sesuatu kepada seorang penerima

Mesra..sedang bertanyakan sesuatu kepada penerima dana.

Iskandar bersama dua tetamu jemputan.

Sedang menyanyikan sebuah lagu patriotik.


 

Terengganu jadi hab Pusat Sains Dan Kreativiti islamik dunia

Oleh: Aida Abd Rahman


Terengganu bakal menjadi hab pembelajaran dan rujukan ilmu Sains islam apabila Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT) berkonsepkan islamik yang pertama di Malaysia dan juga dunia, beroperasi tahun depan.

PSKT dijangka siap penghujung tahun ini akan beroperasi dengan usahasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu juga akan menjadi pusat ilmu sains bagi Pantai Timur.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ciri islamik itu sejajar dengan konsep Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

 “Sebagai `Terengganu Darul Iman’, kita bukan sahaja mempunyai pusat pengajian bercirikan Islam seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Sekolah Imtiaz, maka kita bercadang untuk menjadikan PSKT ini sebagai tempat kajian mengenai Sains islamik untuk tiga negeri, di Pantai Timur.

 “Pada hari ini kita juga melihat jelas bahawa segala ilmu bidang Sains ini dipelopori oleh orang Islam. Malah amat bertepatan jika ia dibangunkan dengan acuan negeri Terengganu itu sendiri,” katanya di Seberang Takir, semalam.

Tambah beliau, pada prinsipnya Mosti bersetuju untuk menyewa sebahagian daripada PSKT. Bagaimanapun, kerajaan mahu menjalinkan usahasama dengan kementerian supaya dapat beroperasi mengikut acuan dan kehendak kerajaan negeri.

“Kita mahu bekerjasama dan terbabit dengan operasi keseluruhannya bagi memastikan apa yang dibawa bersesuaian dengan imej  negeri Terengganu,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga mahu mewujudkan Taman Tema Sains dan Balai Cerapan Astronomi di PSKT bagi mengembangkan lagi penyelidikan dan pendidikan falak astronomi serta bidang Sains agama yang berkaitan.

 Katanya, pihaknya yakin PSKT yang dibangunkan di tapak berkeluasan kira-kira 26 hektar dan sudah mencapai 80 peratus siap itu akan beroperasi pada tahun berikutnya.


ECERDC akan perluas program LKAE


Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memperluaskan program Latihan Kemahiran Akademik Empower (LKAE) ke Hulu Terengganu dan Besut mulai tahun ini.

Pengurus ECERDC Terengganu, Ahmad Hashim berkata, program yang merupakan salah satu pendekatan membangunkan modal insan itu telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan di Kemanan dan Dungun.

Katanya, program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar dan daya saing di pasaran kerja.

"Kita sedang kenal pasti beberapa sekolah rendah dan menengah di dua daerah itu untuk membantu meningkatkan mutu akademik anak-anak negeri ini," katanya pada satu majlis, baru-baru ini.

 Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud. Sempena program itu, seramai 146 pelajar cemerlang menerima wang tunai RM100 seorang dan sijil daripada pihak ECER.

Empower ECER dirintis pada tahun 2010 dan setakat ini, program itu dilaksanakan di 11 lokasi iaitu Jeli dan Bachok di Kelantan manakala Kemaman dan Dungun di Terengganu di samping Bentong, Temerloh, Raub, Kuala Lipis, Cameron Highland dan Kuala Pahang di Pahang serta Rompin, Johor.

Sehingga kini, seramai 5,901 pelajar peringkat rendah dan menengah terutama daripada keluarga miskin telah mendapat manfaat.

Sementara itu Roslee ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, program yang dilaksanakan itu unik kerana ia menggabungkan kelas pembaikan akademik dengan membina keyakinan diri pelajar melalaui pendedahan kepada bentuk dan pengalaman belajar.

 ''Saya berharap program Enpower dapat diterus dan diperluaskan di sini dan di lebih banyak kawasan di negeri ini bagi kepentingan anak negeri," ujarnya.