Halaman

21 January 2014

Libatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan-YB A. Latiff

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Seramai 39 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah menyertai program Bakti Siswa di Kampung Alur Tuman, Rhu Rendang, Marang, baru-baru ini.
Program selama empat hari itu bertujuan mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat kampung menerusi pengalaman tinggal bersama keluarga angkat dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A. Latiff Awang berkata, program itu mampu menjadi platform terbaik untuk pelajar membentuk jati diri bagi menempuh alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian nanti.

"Melalui program bakti siswa ini, para pelajar dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan penduduk setempat yang merupakan salah satu elemen penting dalam bidang pengajian mereka.

"Oleh itu, para pelajar sangat digalakkan menyertai program seumpama ini kerana pengalaman yang mereka perolehi sangat berharga dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup program berkenaan di perkarangan Surau Haji Abas, Kampung Alur Tuman, baru-baru ini.

YB A. Latiff Awang yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan berkata, dengan adanya program sebegini, para peserta juga dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kelas ke dunia sebenar.

Tambah beliau, selain bijak dalam bidang akademik, para pelajar perlu mempunyai sahsiah diri yang bagus dan pandai bergaul dengan masyarakat luar jika ingin menjadi seorang mahasiswa yang hebat dan cemerlang.