Halaman

22 January 2014

`River Cruise’ TTI dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

`River Cruise’ atau menyusuri Sungai Terengganu yang disediakan Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, semakin mendapat sambutan menggalakkan dan penyumbang kepada peningkatan pengunjung di pusat pelancongan terkenal itu.

 Sepanjang tahun lalu, seramai 566,658 pengunjung TTI direkodkan dengan 102,688 adalah pengunjung Taman Monumen, diikuti kira-kira 50,000 penumpang `River Cruise’.

 TTI menyediakan bot tradisional payang dan kolek, Sri Wan Man (bot fiber) dengan 32 muatan, selain Sri Paloh, Sri Warisan dan Sri Kristal yang menyediakan 45 muatan. Pengarah Urusan, TTI Management Sdn Bhd berkata dengan adanya program menyusuri sungai itu telah memberi impak besar kepada kedatangan dan peningkatan sektor pelancongan negeri.

“Sokongan penduduk setempat, selain tarikan pelancong tempatan serta luar negara amat memberangsangkan menyebabkan kerajaan negeri bersedia menambah jumlah bot sedia ada bagi memenuhi permintaan itu,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, pembinaan kincir air yang berukuran diameter sembilan meter bukan saja mampu menjadi tarikan terbaru malah dapat mengubah data kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke destinasi itu.

 “Kincir air yang bernilai RM6.9 juta itu adalah sumbangan kerajaan negeri yang ingin melihat TTI terus menerima kunjungan ratusan ribu pelancong pada setiap tahun.

 “Pembinaan teknologi itu merujuk kepada kincir air umat Islam lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari,” katanya.

Menurutnya, TTI juga merancang beberapa program tertentu semata-mata menambah bilangan pengunjung, antara Festival Sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dijangka berlangsung Februari ini; Kem Khalifah Muda (Mac) dan Pesta Buku & IT (Mei) dan Karnival Gempak Belia ( Jun).

Program lain, Pesta Coklat & Biskut (Jun); Terengganu International Islamic Art Festival 2014 (September); Program Kacau Bubur As-Syura (8 Nov) dan Mini Karnival Akhir Tahun TTI bakal diadakan pada Disember.