Program Pembantu bahasa Inggeris (ETA) berjaya mengubah keyakinan guru dan pelajar khususnya dari sekolah luar bandar untuk membudayakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata program ETA yang mula dipelopori Terengganu sejak 2005, sebelum menjadi contoh kepada Kementerian Pelajaran apabila mengendalikan program berkenaan mulai 2012, berjaya mencapai matlamatnya.
“Kerajaan negeri mendapati program ETA itu menghasilkan peningkatan penguasaan BI dengan baik dan lebih lancar.
“Dalam tempoh lapan tahun program itu dijalankan peningkatan prestasi pelajar amat mengagumkan. Contoh terdekat, boleh dilihat apabila seorang pelajar yang agak ketinggalan dan `agak teruk’ dalam subjek itu, mampu berkomunikasi dengan guru ETA yang ditempatkan di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil, dengan lancar dan amat membanggakan saya,”katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan negeri sejak dulu lagi memandang ke depan, malah melaburkan nilai yang tinggi di bidang itu bagi membangunkan modal insan yang cemerlang termasuk memperkasakan subjek BI.
Katanya, program ETA umpamanya menjadi satu inisiatif yang amat berkesan bagi memastikan anak Terengganu mampu berkomunikasi dengan lancar, yakin dan baik menggunakan bahasa antarabangsa itu.
Terbaru, Menteri Pendidikan Kedua, Dato' Seri Idris Jusoh menyempurnakan Majlis Penyampaian Program ETA Fulbright kepada 100 siswazah dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat di kementeriannya, 20 Januari lalu.
Bakal guru dari Amerika itu akan ditugaskan selama 10 bulan di sekolah menengah dan rendah di enam negeri iaitu Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.
Selain membantu guru bahasa Inggeris di dalam kelas, mereka juga akan menjalankan aktiviti kurikulum yang dilaksanakan dalam bahasa Inggeris seperti program perkhemahan.