Halaman

24 January 2014

TDM sasar peroleh pendapatan RM1 Bilion

Terengganu Development Management Bhd. (TDM), menyasarkan perolehannya mampu mencecah RM1 bilion dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi hasil pelaburan di Indonesia.

 Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Badrul Hisham Mahari berkata, ketika ini perolehan tahunan TDM sekitar RM400 hingga RM500 juta melalui dua bahagian perniagaan iaitu perladangan dan kesihatan.

 Menurutnya, bahagian peladangan merupakan perniagaan teras dengan menyumbang hampir 90 peratus kepada perolehan dan selebihnya kesihatan.

 "TDM mempunyai perancangan besar dengan meningkatkan pengeluaran kelapa sawit di Kalimantan, Indonesia meliputi kawasan ladang seluas 40,000 hektar menjelang 2018.

"Dengan peningkatan tersebut, ladang di Kalimantan akan menjadi penyumbang terbesar kepada TDM mengatasi saiz ladang di Terengganu seluas 32,500 hektar ketika ini apabila mencapai tempoh matang," katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman penerimaan sijil Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) oleh anak syarikat TDM, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TDM, Datuk Roslan Awang Chik; Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Ab. Halim Yusof dan Ketua Setiausaha RSPO, Darrel Webber.

 Badrul Hisham berkata, ketika ini seluas 12,000 hektar ladang telah ditanam dengan lebih 202 hektar daripadanya akan memberikan hasil pertama tahun ini. "Untuk permulaan, hasilnya agak sedikit, namun dalam tempoh beberapa tahun lagi hasilnya akan lebih baik dari ladang di Terengganu berikutan keadaan cuaca dan jenis tanah yang lebih baik," jelasnya.

Sementara itu, mengulas bahagian kesihatan pula, TDM telah melabur sebanyak RM400 juta untuk membina dua buah hospital baharu iaitu Kuantan Medical Centre (KMC) dan Terengganu Specialist Hospital (FTS) dengan masing-masing akan siap pada tahun ini dan 2015.

"Dua hospital baharu berkenaan akan menambah kapasiti katil sebanyak 280 buah untuk menjadikan kapasiti keseluruhan 484 buah. "Ketika ini, TDM telah memiliki dua buah hospital iaitu Kelana Jaya Medical Centre dan Taman Desa Medical Centre," jelasnya.