Halaman

19 January 2014

Hari Keluarga WDI erat hubungan

Oleh: Noraini Jusoh

Sambutan Hari Keluarga Kelab Wisma Darul Iman (WDI) yang diadakan saban tahun mampu menjadi platform dalam mengeratkan silaturahim sesama rakan sekerja dan keluarga masing-masing.

Lebih 800 keluarga berhimpun bagi meraikan hari istimewa warga WDI yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Hajah Norliza Mahmud, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, selain bertujuan mengeratkan hubungan dan juga mengukuhkan institusi kekeluargaan antara kakitangan kerajaan itu, majlis berkenaan juga secara tidak langsung dapat memupuk semangat kerjasama antara rakan sekerja.

"Dalam menjayakan sambutan ini, semua kakitangan dibahagikan tugas masing-masing dan bertanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"Semua urusan dibuat oleh mereka sendiri. Ternyata dengan semangat berpasukan dan kerjasama yang diamalkan, sambutan hari keluarga ini berjalan lancar,” ujarnya kepada pemberita selepas selesai majlis tersebut.

Katanya, sempena sambutan hari keluarga itu, sebanyak 511 hadiah cabutan bertuah turut disediakan.

Sementara itu, sambutan hari keluarga WDI tahun ini pastinya menjadi kenangan paling manis buat pemuda dari Kampung Bukit Tunggal.

Berkhidmat selama lapan tahun dengan jabatan kerajaan ternyata memberi tuah kepada Mohd Aziman Mohamad, 32, apabila memenangi hadiah utama berupa sebuah motosikal Yamaha berharga kira-kira RM6000 sempena cabutan bertuah pada majlis berkenaan.

Lebih manis apabila kakitangan Jabatan Pengurusan Sumber Manusia itu turut mendapat sebuah dapur gas dalam cabutan biasa yang dibuat sebelum itu.

"Ini adalah kali pertama saya memenangi hadiah utama dalam sebarang cabutan bertuah. Tidak sangka, awal 2014 ini memberi tuah kepada saya dan perasaan gembira itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Pastinya, saya akan gunakan motosikal ini untuk kegunaan sendiri dan juga keluarga. Terima kasih kepada pihak penganjur terutamanya kerajaan negeri kerana tidak lupa meraikan kakitangan pada setiap tahun melalui majlis sebegini yang sememangnya cukup bermakna buat pekerja seperti saya dan rakan-rakan,” ujarnya yang pernah berkhidmat selama lima tahun di Unit Komunikasi Negeri.