Halaman

23 January 2014

Terengganu pusat pertumbuhan pendidikan

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu kini muncul sebuah negeri yang menjadi pusat pertumbuhan pendidikan yang subur, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tigas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

“Pada hari ini, ramai yang melihat Terengganu sebagai pusat pertumbuhan ilmu yang subur. Kalau dulu zaman keagungan Islam orang melihat kehebatan bandar Baghdad dengan perpustakaannya, pusat pengajiannya. Dan hari ini, Insha-Allah jika kita berusaha berterusan dengan fasiliti sedia ada, kemudahan tempat pengajian, kemudahan universiti yang semakin bertambah sama ada universiti kerajaan serta swasta.

“Pada masa yang sama, sekolah asrama penuh yang menjadi pusat membekalkan pelajar berkualiti seperti Imtiaz, selain Institut al-Quran Terengganu (IQT) yang sedang diusahakan menjadi sebagai kolej bertaraf universiti,” katanya di Majlis Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Hotel Permai, Kuala Terengganu, kelmarin.

Tambah YB Ghazali, kemajuan dalam bidang pendidikan itu juga memerlukan sokongan semua pihak termasuk media yang sering membuat liputan dalam program pendidikan serta keagamaan di seluruh Terengganu.

Katanya, tanpa media sudah tentu setiap aktiviti dan program di bidang itu sukar diketahui masyarakat secara menyeluruh dan berkesan.

“Hari ini kecanggihan media secara pantas, orang ramai dapat melihat perancangan dan program dalam bidang pendidikan di Terengganu serta pembinaan sahsiah serta akal budi berjalan dengan rancak.

“Sebagai contoh, setiap kali pengumuman peperiksaan awam, negeri Terengganu walaupun tidak berada di tangga pertama (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ) baru-baru ini, tetapi jumlah A kita bertambah.Sebagai negeri yang pernah bergelar juara, tidak mustahil kita diatasi negeri lain, malah kita juga akan memastikan Terengganu mampu menjuarai keputusan UPSR semula pada tahun ini,” katanya.

Beliau yang diberikan amanah memikul portfolio bidang itu, berasa bangga dengan pencapaian yang amat baik berjaya dikekalkan anak Terengganu selain mengharapkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi pelajaran Malaysia (STPM) tidak lama lagi, turut cemerlang, sebagaimana keputusan Penilaian Menengah Rendah yang lalu.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan perancangan yang drastik untuk memastikan lepasan SPM dan STPM yang akan melangkah ke universiti nanti mampu bersaing dengan kehebatan dan penampilan pelajar dari negeri lain khususnya dalam penguasaan bahasa Inggeris (BI).

Menurutnya, program terdekat yang bakal dilaksanakan adalah Tranglish, iaitu memastikan pelajar negeri ini yang akan menduduki peperiksaan awam di sekolah menengah pada 2016 tidak akan gagal dalam peperiksaan berkenaan khususnya subjek BI.