Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) meneruskan tradisi menganjur Program Bicara Bersama Media yang akan berlangsung di Hotel Permai, Kuala Terengganu bermula esok (21 Januari).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil dijangka menjadi tetamu pertama bagi program berkenaan untuk tahun ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Ukom, Encik Ruslan Abd Rahman berkata, program tahunan yang memasuki edisi ketiga itu bertujuan berkongsi idea dan pendapat serta bertukar-tukar fikiran di kalangan pengamal media dengan pemimpin dalam usaha memperkasakan negeri di pelbagai portfolio dan bidang.
"Kita sasarkan untuk mengadakan program ini sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan tetamu berbeza yang diundang khas terdiri daripada exco-exco kerajaan negeri, ketua jabatan serta tokoh-tokoh ternama.
"Selari dengan hasrat kerajaan dalam ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’, saya percaya program ini mampu menjadi platform terbaik dalam penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat melalui media yang bertindak sebagai orang tengah,” ujarnya.
Katanya, di samping menyampaikan info kepada pihak media untuk disebarkan kepada rakyat melalui penerbitan masing-masing, tetamu juga dapat menjalinkan hubungan baik dan menjadi rakan strategik dengan pihak media.
Tambah beliau, melalui program itu juga akan membuka peluang dan memudahkan pengamal media terutamanya para wartawan untuk mendapatkan penjelasan secara bersemuka mengenai sesuatu perkara atau isu yang dibincangkan.
Tambah beliau, melalui program itu juga akan membuka peluang dan memudahkan pengamal media terutamanya para wartawan untuk mendapatkan penjelasan secara bersemuka mengenai sesuatu perkara atau isu yang dibincangkan.