Halaman

14 February 2014

UniSZA sasar lahir 50 usahawan tani dalam kalangan siswazah

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Keusahawanan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) menyasarkan untuk melahirkan 50 usahawan tani muda dalam kalangan siswazah terutamanya mahasiswa dari Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan (FPBSM).

 Pengarahnya, Dr Fakhrul Anwar Zainol berkata, pihaknya kini giat merancang kerjasama dengan beberapa usahawan dari dalam dan luar negara untuk menghasilkan projek pertanian dan penternakan komersil berimpak tinggi.

"Bagi mencapai sasaran ini, kita melaksanakan konsep inkubator tani yang mana ia merangkumi tiga aspek iaitu latihan, bimbingan serta melaksanakan model perniagaan untuk bakal usahawan kita.

 "Mereka juga akan dibimbing oleh mentor mereka iaitu usahawan yang telah berjaya bagi memastikan mereka mengikut jejak langkah mentor mereka sehingga berjaya memasarkan produk," katanya.

Menurut beliau, UniSZA kini turut menjalankan projek inkubator penternakan ayam daging serta penanaman ubi jepun di kawasan Agropolis UniSZA di Kampus Tembila, Besut dan hasilnya akan dieksport.

 "Bagi memastikan sasaran kita berjaya, awal Januari lalu pihak kami telah mengadakan satu siri lawatan ke beberapa ladang pertanian di Perak dan di Pulau Pinang untuk meninjau peluang keusahawanan dalam bidang agropreneur.

 "Kita turut mempelajari beberapa model pembangunan pertanian komersil yang dilaksanakan di sebuah ladang pertanian komersil untuk pasaran pertanian untuk eksport iaitu JPB Asia Pacific dan melihat serta mempelajari cara ternakan rusa dan itik di pusat ternakan di Perak," katanya.

 Beliau berkata, pihaknya juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan beberapa lagi usahawan bagi memastikan hasrat universiti untuk melahirkan 50 usahawan tani muda pada tahun ini tercapai dan dijadikan sebagai pemangkin kepada projek Agropolis UniSZA.

 

PBSNT anjur kejohanan bola sepak

Oleh: Suriati Ali

 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah-20 dalam usaha memastikan Terengganu mempunyai bakat-bakat baru pada masa depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, YB Rozi Mamat berkata kejohanan yang akan berlangsung pada 7 Mac hingga 23 Mei itu bakal merebut piala Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia.

 Katanya, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilantik selaku urusetia kejohanan dengan setiap daerah diwakili satu pasukan kecuali daerah Kuala Terengganu yang diwakili dua pasukan iaitu Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan.

“Kejohanan itu juga diharap akan menjadi pelengkap kepada struktur program pembangunan bola sepak negeri,” katanya.

 YB Rozi turut memberitahu, kerajaan negeri melihat program pembangunan bola sepak di negeri ini terbukti berjaya melahirkan bakat-bakat baharu yang berkualiti hasil beberapa inisiatif dilakukan.

 Rozi berkata ini dapat dilihat apabila 13 orang pemain telah dipilih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewakili pasukan Harimau Muda C, Harimau Muda B serta Harimau Muda A bagi tahun ini.

 Katanya sebahagian daripada mereka telahpun bersama FAM dan sebahagian lagi akan dipanggil menjalani latihan.

 

13 February 2014

SAIS juara bolajaring MSSDS.

Oleh: Aminudin Ismail.

SEKOLAH Menengah (SM)Sains Setiu (SAIS) muncul juara dalam kejohanan bolajaring bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Setiu (MSSDS) menewaskan SM Putera Jaya dalam perlawanan akhir kategori itu yang diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek, Setiu, hari ini.

Dalam kategori bawah 15 tahun pula, pasukan SM Bukit Nenas berjaya menjadi juara menewaskan pasukan SMK Pelong manakala bawah 12 tahun, tempat pertama dimenangi pasukan Zon Setiu Utara menewaskan Zon Setiu Barat.


Norasikin Simat, Pengerusi Teknik Bolajaring Sekolah Rendah Daerah Setiu, berkata prestasi perlawanan bolajaring pada kejohanan ini semakin baik dan setiap pasukan bertanding dengan penuh bersemangat.

"Kita sudahpun memilih pemain-pemain melalui kejohanan ini untuk mewakili daerah Setiu di kejohanan bolajaring MSST tidak lama lagi.

"Ramai yang berbakat untuk mewakili daerah tetapi kita hanya memilih pemain yang betul-betul berpotensi darisegi bentuk fizikal dan kemahiran," katanya.

Norasikin berkata, pasukan yang bertanding ialah sebanyak 12 pasukan bawah 18 tahun dan 12 pasukan bawah 15 tahun manakala kategori bawah 12 tahun ialah sebanyak empat pasukan.

"Kepada pasukan yang gagal menjadi juara, jangan berputus asa, tingkatlah latihan dan kemahiran selepas ini bagi menghadapi kejohanan pada tahun hadapan dan kepada pasukan yang menang dan mereka yang terpilih mewakili daerah saya ucapkan tahniah," katanya.

Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah kejohanan itu ialah wakil Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Hasmadi Nasir dan Guru Besar SK Sungai Lerek, Zanariah Jaafar.

 

50 Bantah Teresa Kok di Setiu.

BANTAH...seramai kira-kira 50 ahli Wanita, Pemuda, Putri UMNO Bahagian Setiu dan Majlis Belia Daerah Setiu hadir membuat laporan Polis membantah klip video yang dikatakan menghina Perdana Menteri dan isterinya pada sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Laporan dibuat berikutan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang didakwa terbabit dalam pembikinan klip video bertajuk 'Onederful Malaysia' sempena Tahun Baharu Cina itu dan dimuat turun dan tersebar meluas dalam laman YouTube.

Laporan dibuat di Balai Polis, Ibu Pajabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Bandar Permaisuri, Setiu antara jam 10 pagi sehingga jam 12 tengahari, hari ini.

Iskandar menunjukan dua laporan polis.
Adun Jabi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar, berkata laporan itu dibuat meminta polis bertindak terhadap pihak yang terbabit dalam mengarah dan menerbit klip video yang disifatkan boleh menggugat perpaduan dan keamanan negara ini.

"Dengan bantahan ini, membuktikan bahawa kita bersungguh-sungguh supaya kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat perpaduan dan kestabilan negara. 

"Perbuatan pemimpin pembangkang itu boleh mencetuskan masalah perkauman di negara ini dan kami meminta KDN betul-betul bertindak dan jangan memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang cuba mengugat kestabilan dan keharmonian negara ini," katanya.

Iskandar yang juga Biro Sosial Etika Pemuda UMNO Malaysia itu mahu orang ramai serta golongan muda di negara ini sedar bahawa tindakan pemimpin pembangkang itu adalah satu penghinaan secara halus.

"Semua pihak perlu kekalkan keamanan negara ini dan kumpulan majoriti tidak perlu tunduk kepada golongan minoriti yang cuba mencetuskan pelbagai isu di negara ini," katanya.

"Kami berharap Teresa Kok meminta maaf dan menarik balik klip video itu," katanya selepas hadir bersama-sama kumpulan itu membuat lapan laporan Polis di IPD Setiu, hari ini. - Aminudin.
Iskandar bersama Ketua Puteri Setiu, Norfuzilawati(duduk).

Wanita UMNO Setiu membuat kenyataan kepada Polis.

Ahli Puteri membuat bantahan.


Iskandar (kanan) mahu KDN bertindak


2379 murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus terima e-Book

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 2379 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah Parlimen Kuala Nerus menerima e-Book (komputer riba) yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, hari ini.

“Ke arah usaha mewujudkan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu, kerajaan negeri dari semasa ke semasa melakukan penambahbaikan terhadap program e-Book yang diperkenalkan sejak 2009.

“Selain isi kandungan dan perisiannya yang semakin meluas, program teks digital yang bersifat interaktif juga diperkenalkan Kementerian Pendidikan bagi lebih menarik minat pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan e.Book Murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.

Dato’ Ahmad Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, beliau yakin dengan apa yang dibuat kerajaan negeri ini akan mengubah lanskap pendidikan di Terengganu.

“Walaupun ada segelintir pihak yang tidak puas hati dan sering melemparkan persepsi negatif terhadap apa yang dilaksanakan kerajaan negeri, saya percaya apa yang kita laksanakan ini akan berjaya pada masa akan datang sekali gus memberi lonjakan hebat terhadap penggunaan teknologi maklumat di kalangan anak-anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif juga mengharapkan rakyat Terengganu berfikir secara terbuka dan sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam memartabatkan bidang pendidikan demi kecemerlangan anak-anak Terengganu.

 

LTSM sedia Wifi percuma

Oleh: Suriati Ali 

Janji kerajaan negeri dalam Pembentangan Bajet 2014, pada Disember tahun lalu, untuk menyediakan kemudahan Wifi secara percuma kepada rakyat Terengganu kini terlaksana.

Kemudahan yang membabitkan kos kira-kira RM30 juta, kini boleh di akses di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu dan akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat di 600 lokasi seluruh Terengganu.

 Dalam tempoh terdekat, beberapa kawasan tumpuan pelancong, termasuk perpustakaan, stesen bas, pasar, jeti bot, taman awam dan taman reakreasi akan turut disediakan kumudahan itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan sediakan kemudahan itu kerana menganggap sebagai satu keperluan bermakna bagi rakyat, terutama golongan muda.

“Tidak ketinggalan, perkara itu cukup penting bagi pelancong dan pelabur untuk mengakses pelbagai maklumat penting ketika berada di negara ini khususnya Terengganu, selain dapat mengetahui lokasi menarik dengan mudah,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival ICT Terengganu, di Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini.

Karnival julung kali dianjurkan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) menyediakan pelbagai aktiviti menarik, antaranya permainan interatif, pertandingan mewarna, simulator 3D dan pameran bergerak.

 Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu, orang ramai tidak perlu mempercayai sebarang berita yang disampaikan melalui akaun Facebook (FB) yang mengunakan nama beliau, kerana jelas palsu.

 Katanya, tahun lalu, dia sudah menutup akuan FB, tetapi apa yang dikesalkan masih ada yang menggunakan nama dan gambarnya,.

“Berdasarkan siasatan pihak berkuasa, pemilik akaun itu mendaftar di Singapura dan satu akaun lagi di Amerika Syarikat.

 “Oleh itu, saya ingin jelaskan sekali lagi, jangan mempercayai sebarang maklumat atau berita yang disampaikan melalui FB menggunakan nama dan gambarnya ,” katanya.

 




47 TCS bertukar jawatan baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 47 orang Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) bertukar ke jawatan baru berkuatkuasa 10 Februari lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pentadbiran negeri bersetuju melakukan pertukaran TCS serta penempatan TCS baru (kontrak) di beberapa jabatan kerajaan seluruh Terengganu . 

“Pertukaran dan penempatan semua pegawai kerajaan yang terlibat sebagai usaha penstrukturan semula setiap jabatan, bagi mengisi kekosongan jawatan dan juga dipinjamkan.

 “Daripada 47 pegawai terbabit, 24 daripada mereka merupakan TCS yang baru dilantik ke sektor perkhidmatan awam negeri,” katanya.

Dato’ Mazlan berkata, mendahului senarai pertukaran itu, Haji Tun Faisal Tun Abd Razak dari Timbalan Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (Upen) ke Timbalan Pengarah Upen; diikuti Hajah Marzialina Mohamed dari Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Kewangan) Terengganu dipinjamkan sebagai Pengurus Kanan (Kewangan) Terengganu Incorporated Sdn Bhd; Encik Mohd Zalizan Sulong, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Kemaman ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Infrastruktur) Upen.

Manakala Puan Shukriyati Saad (Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Dungun) (MPD) menggantikan tempat Hajah Marzialina sebagai Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Kewangan) Terengganu; Encik Ahmad Ridzwan Abd Rahman (Penolong Kanan Pengarah (Sosioekonomi)) Upen ditukarkan ke Ketua Penolong Pengarah (Bajet) Upen.

Lain-lain, Puan Fardiana Hashim dari Penolong Pentadbir Tanah (Penguatkuasa dan Hasil) Dungun mengisi kekosongan Penolong Kanan Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) Kuala Terengganu; Puan Hanum Isa @ Ghazali dari Penolong Pentadbir Tanah (Penguatkuasaan dan Teknikal) Kemaman mengisi kekosongan jawatan Penolong Kanan Pentadbir (Pendaftaran) Kemaman; YM Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood dari Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Majlis dan Protokol) Terengganu ke Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Kemaman.

Selain itu, Encik Muhammad Tarmizi Abdul Rahman ( Penolong Kanan Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) Kemaman) bertukar sebagai Penolong Kanan Pengarah Unit pengurusan Maklumat Negeri Terengganu; Puan Nurul Syakirah Idris dari Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Dungun ke Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Dungun; Encik Ahmad Azmi Awang dari Penolong Pentadbir Tanah (Pendaftaran) Marang ke Penolong Kanan Pentadbir Tanah (Pelupusan & Pembangunan, Tanah) Hulu Terengganu.

Sementara Encik Mohd Asrur Omar dari Penolong Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) Jabatan Kerja Raya Terengganu ke Penolong Kanan Pegawai Kewangan Negeri (Perolehan Aset) Terengganu; Encik Wan Ahmad Firdaus Wan Abdullah dari Penolong Pengarah (Pelancongan & Alam Sekitar ) Upen ke Penolong Pengarah (Pertanian dan Asas Tani) Upen; Puan Wan Noraina Mardiah Wan Chik dari Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Bajet) Terengganu ke Penolong Kanan Pegawai Kewangan Negeri (Hasil) Terengganu dan Puan Noni Syazlina Ab. Ghani ( Pegawai Tadbir (Korporat & Perhubungan Awam) MPD ke Penolong Pentadbir Tanah ( Penguatkuasaan dan Hasil) Dungun.

Encik Wan Mohd Firdaus Wan Sembak dari Penolong Pengarah Tanah dan Galian (Hasil) Terengganu ke Penolong Pesuruhjaya (Pentadbiran dan Kewangan) Maidam Terengganu; Encik Hama Hakim Wahyudi Awang dari Penolong Pengarah (Pertanian dan Asas Tani) Upen ke Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Hulu Terengganu; Encik Azrul Affandy Jusoh dari Penolong Kanan Pengarah (Pembangunan Wilayah) Upen ke Penolong Kanan Pentadbir Tanah (Pelupusan & Pembangunan Tanah) Besut; Encik Mohd Yusof Salleh dari Penolong Pentadbir Tanah (Pendaftaran) Hulu Terengganu ditukarkan kepada Setiausaha Khas Kepada Menteri Besar Terengganu; Encik Mohd Hamdan Mohd Nor dari Penolong Pentadbir Tanah (Pendaftaran) Besut pula dipinjamkan sebagai Pegawai Tadbir (Penyelenggaraan & Pengurusan Harta) Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Encik Ahmad Tasnim Mohd Noor dari Penolong Pegawai (Pembangunan Masyarakat) Kemaman dipinjamkan sebagai Penolong Kanan Pegawai Daerah (Khidmat Pengursan) Kemaman dan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Hulu Terengganu, Encik Abd Hadi Mamat mengisi kekosongan jawatan penolong Pengarah (Kemudahan Sosial & Alam Sekitar) Upen.


ILP KUBANG PARIT MARANG TAWAR LIMA BIDANG- SENATOR DATO' ABDUL RAHMAN BAKAR.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang di Kampung Kubang Parit Marang merancang untuk menawarkan lima lagi bidang kursus selain tiga kursus sedia ada dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknologi tinggi negara.

Lima kursus baharu bagi peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) itu adalah Teknologi Komputer Rangkaian, Teknologi Percetakan (Grafik), Teknologi Percetakan (Cetak), Teknologi Elektronik Industri dan Teknologi Jaminan Kualiti.

Institusi kemahiran itu sedang dalam proses mendapatkan segala keperluan peralatan bagi kursus Teknologi Komputer Rangkaian, Teknologi Percetakan (Grafik) dan Teknologi Percetakan (Cetak) yang dijangka diperolehi tahun ini sebelum mula dilaksanakan tahun depan, kata  Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ILP Marang, Senator Dato' Abdul Rahman Bakar .



Beliau memberitahu, dua lagi kursus yang bakal ditawarkan, Elektronik Industri dan Jaminan Teknologi masih belum diputuskan pelaksanaannya kerana menunggu pengesahan mengenai bekalan peralatan diperlukan

Dengan penambahan bidang pengkhususan itu bagi meningkatkan peranan ILP Marang, pengambilan pelajar akan dilakukan dengan ketetapan 20 pelajar bagi setiap kursus, katanya di ILP berkenaan 11 Februari lalu.






KEHADIRAN MB TERENGGANU KE ANTARTIKA AMAT BESAR ERTINYA KEPADA KAMI PARA PENYELIDIK DAN SAINTIS- KATA PROF DATO’ DR AZIZAN ABU SAMAH, PENGARAH NARC, UNIVERSITI MALAYA.

 Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Kehadiran pemimpin seperti Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu amat besar kepada kami para penyelidik di Antartika,” kata Pengarah National Antartic Research Center (NARC) , Prof Dato’ Dr Azizan Abu Samah. NARC beribu pejabat di Universiti Malaya.

Beliau yang telah lama terbabit dengan penyelidikan di Antartika itu berkata, sekurang-kurangnya bila adanya pemimpin datang bersama saintis melihat bagaimana penyelidikan dijalankan, mengetahui akan keperluan logistik, kos, manfaat, hasil , hala tuju, permasalahan, denyut nadi susah payahnya kami saintis mengharungi segala bahaya dan sebagainya, iaitu bagi pihak kepimpinan atau ahli politik dalam kerajaan.



Beliau menyatakan demikian kepada wartawan dalam sidang akhbar bersama Menteri Besar Terengganu sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Antartika baru-baru ini.

Sebenarnya Malaysia telah giat dalam penyelidikan Antartika selama 11 tahun dan pada Oktober 2011, Malaysia telah menjadi ahli Antartica Treaty System (ATS).

Di antara negara-negara yang bekerjasama dengan Program Penyelidikan Antartika Malaysia adalah Chile melalui Institut Penyelidikan Antartika Chile (INACH).

INACH telah menjemput khas kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang diwakili oleh Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Dr Rosli Mohamed.

 Lawatan kerja ini pula diatur oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan INACH.

YPASM disertai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nasaruddin Abdul Rahman.

Di antara tujuan lawatan adalah sebagaimana berikut:-

  i. Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara INACH dengan NARC.

  ii. Melawat beberapa stesen penyelidikan INACH di Semenanjung Antartika

  iii. Melihat dan mempelajari sama bidang penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis INACH

  iv. Mengeratkan hubungan Kerajaan Terengganu, YPASM, NARC dan INACH.

  v. Memaklum kepada INACH atas program penyelidikan Antartika Malaysia serta aktiviti Malaysia                terutama sekali dalam “Scientific Committee on Antarctic’- SCAR dan Asean Forum on Polar
     Science-AFOPS.

Apa yang pasti, Negeri Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku Ketua Kerajaan telah member sokongan padu kepada program Penyelidikan Antartika Malaysia (MARP).

KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin adalah penaung kepada YPASM yang telah ditubuhkan oleh MOSTI pada tahun 2012 untuk menyokong penyelidikan di Antartika, khusunya melalui MARP.

Lawatan ini telah membolehkan delegasi Malaysia mendapat maklumat secara terus mengenai kepentingan penyelidikan saintifik dan kerjasama antarabangsa di Antartika.

Deligasi Malaysia telah dibawa melawat beberapa stesen penyelidikan dan diberi taklimat mengenai kompleksiti dari segi logistik,persekitaran dan mobiliti yang penting dalam melaksanakan kajian di Antartika.

Delegasi yang diketuai Dato’ Seri Haji Ahmad telah dapat memahami faktor-faktor kritikal yang perlu diberi pertimbangan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber secara efisen di Antartika.



Difahamkan dalam Mou antara INACH dan NARC, pihak INACH telah menyatakan kesediaan untuk berkongsi sumber dengan penyelidik Malaysia.

Lawatan dan Mou itu telah mengeratkan jalinan hubungan kerjasama dengan INACH.

Sesungguhnya lawatan kerja Menteri Besar Terengganu dan para saintis ke Antartika ini merupakan satu lagi langkah kehadapan bagi saintis Malaysia meningkatkan penyelidikan di Antartika.

INACH telah menyatakan persetujuan untuk menyediakan akses yang lebih luas kepada saintis dari Malaysia untuk kajian di kutub selatan itu.

Sebagai susulan, penulis dimaklumkan satu seminar bersama di antara Malaysia-Chile akan diadakan pada bulan Ogos depan bersempena dengan Biennial al SCAR Open Science Confrence and Delegetes Meeting 2014.

Sesungguhnya kerjasama dengan Chile ini akan mempertingkatkan lagi kehadiran Malaysia dari sudut saintifik di benua Antartika.

Tahniah dan syabas kepada Dato’ Seri Haji Ahmad dan rombongan yang telah mencipta suatu sejarah transformasi baru ke arah peranan yang lebih besar Malaysia di benua Antartika itu. 

Sesuailah dengan Firman Allah yang bermaksud:
 
  ” Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main          (sia-sia). Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq, tetapi kebanyakan mereka tidak            mengetahui .” (QS Ad Dukhaan [44] : 38-39) .



Murid lumpuh antara penerima e-book di DUN Kuala Besut


YBM Tengku Zaihan menyerahkan e-book kepada murid lumpuh Azli 

Oleh: Mohammad Ishak 

Murid lumpuh adalah antara 636 penerima e-book di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada majlis peengagihan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, petang semalam.

Azli Mohd Afendi, 11, dari Sekolah Kebangsaan Alur Peroi,Kuala Besut yang ditemani ibunya, Azizah Mohd, 55, dengan menolak kerusi roda menjadi tetamu istimewa penerima pada majlis berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, merasmikan majlis serta menyampaikan pengagihan kepada murid yang terpilih menerima skim berkenaan. Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan.

Azli yang diserang demam panas menyebabkan lumpuh adalah antara murid berpotensi di sekolahnya untuk UPSR tahun ini gembira menerima e-book berkenaan.

Katanya, dia akan memanfaatkan kemudahan ICT itu untuk pembelajaran dan tidak akan menyalahgunakan e-book untuk aktiviti tidak berfaedah.

“Sebenarnya saya sudah lama bercita-cita untuk mendapatkan e-book dan baru sekarang tiba giliran saya mendapatnya,” katanya ketika ditemui.

Malah, ibunya, Azizah Mohd,55,turut berkongsi kegembiran kerana anaknya mendapat e-book mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang meneruskan pengagihan e-book kepada murid di negeri ini.