Halaman

19 February 2014

Kerajaan negeri peruntuk RM77 juta untuk Tabung Dana Khas perubatan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM77 juta untuk Tabung Dana Khas bagi pembangunan kesihatan rakyat seluruh Terengganu bermula 2007 sehingga tahun lalu.



Bagi tahun ini, sebanyak RM2.5 juta peruntukan tambahan lagi disediakan bagi membantu meningkatkan taraf kesihatan rakyat Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM500,000 setahun kepada RM2.5 juta sejak tahun lalu, berbanding RM2 juta setahun sejak 2007.

“Ini merupakan program tahunan kita kepada jabatan kesihatan negeri bagi menyerahkan dana perubatan untuk disediakan kepada pesakit yang menghadapi masalah, kurang berkemampuan, menyediakan peralatan.

“Sebelum ini, sejak 2007 kita sediakan RM2 juta setahun. Bagaimanapun, sejak tahun lalu peruntukan ini bertambah kepada RM2.5 juta setahun,”katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Dana Perubatan Kepada Jabatan Kesihatan Negeri, di Auditorium Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Haji Muhammad Pehimi Yusuf dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersedia menambah peruntukan itu pada bila-bila masa sahaja berdasarkan keperluan perubatan pesakit di negeri ini.

“Kerajaan negeri memandang serius dan komited untuk membantu meringankan bebanan rakyat negeri ini, kerana itu kita bersedia menambah jumlah sedia ada itu bergantung kepada keperluan dari semasa ke semasa.

“Apatah lagi memikirkan bagaimana mereka mampu menyediakan perbelanjaan yang begitu besar sehingga ada yang memerlukan perbelanjaan sehingga RM22,000 seorang. Bagaimana mereka mahu mencari duit jika kerajaan tidak membantu,” katanya.

Daripada RM77 juta peruntukan kepada Tabung Dana Khas (2007-2013) berkenaan, sebanyak RM62 juta dana khas bertujuan untuk menaiktaraf perkhidmatan perubatan, manakala RM15 juta untuk kebajikan sosial perubatan.

 



Program Mesra bersama DJ Terengganu FM meriah


Pasukan JKKK Gong Gucil berbalas pantun dengan DJ Terangganu FM

Oleh: Mohammad Ishak 

Peluang penduduk luar bandar untuk bertemu muka sambil beramah mesra bersama juruhebah (DJ) radio sememangnya sukar kerana agak jarang program untuk golongan berkenaan diadakan di negeri ini.

Bagaimanapun, penduduk Kampung Gong Gucil, dekat Jertih, hari ini menyifatkan mereka amat bertuah kerana impian mereka untuk mengenali D J kesayangan akhirnya menjadi kenyataan apabila Terengganu FM tanpil mengadakan program di kampung mereka.

Kehadiran mereka mengadakan rakaman program Dengarlah Sayang dan Pantun Seloka mengundang komuniti mengikuti rakaman dari awal sehingga akhir memeriahkan lagi program kerjasama RTM dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Program Seloka Pantun terbitan Rohani Hussin membariskan tiga pemantun dari DJ Terengganu FM, Suhaila Mat Daud (Kak Su), Zulkifli Yusof (Ijo) dan Norain Sulong atau Ain manakala pengerusinya, pelawak tempatan Pak Da.

Manakala mewakili JKKK Gong Gucul ialah, Zahari Mat Din (Pak Muda),Tuan Man Tuan Mat Man) dan Rosmiza Ismail (Miza).

Acara berbalas pantun itu sememangnya menarik minat orang ramai yang hadir kerana ia dipenuhi dengan pantun seloka yang menghiburkan.

Pemilihan JKKK Gong Gucil sebagai tempat rakaman berkenaan amat kena pada tempatnya kerana JKKK berkenaan sering muncul dalam pelbagai pertandingan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Timbalan Pengarah Penyiaran Terengganu, Rida Suzirawati Muda yang hadir sama berpuas hati dengan sambutan penduduk terhadap kehadiran krew Terengganu FM di kampung terbabit.

YPU peruntuk RM1 juta untuk skim bantuan pembangunan produk

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memperuntukkan RM1 juta untuk skim bantuan pembangunan produk kepada usahawan di negeri ini tahun ini.

Bantuan itu meliputi Skim Bantuan Bar Kod, Pembungkusan dan Pelabelan, Fakta Nutrisi, Brosur dan Papan Tanda Niaga.


Seramai 12 usahawan sudah menerima bantuan itu sebelum ini membabitkan peruntukan sebanyak RM38,200.

Pengerusi Lembaga Pengarah YPU Datuk Sabree Mohd Nor berkata jumlah itu meningkat hampir 100 peratus berbanding RM500,000 yang diperuntukkan kepada 645 usahawan sepanjang tahun lepas.

 "Sehingga 31 Disember lepas, 1,684 produk memperoleh manfaat skim ini yang berjaya melonjakkan jualan usahawan yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Cakna Bersama Usahawan YPU, baru-baru ini.

 Seramai 150 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh negeri hadir pada perjumpaan itu yang turut disertai pelbagai agensi kerajaan berkaitan keusahawanan termasuk Mara, SME Corporation dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ia bertujuan mendekatkan usahawan dengan agensi terbabit sebagai pemudah cara untuk mereka meluaskan lagi empayar perniagaan dan mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan pembiayaan, bantuan geran serta kursus dan bengkel kemahiran perniagaan.

Datuk Sabree berkata, YPU juga akan melaksanakan pelan tindakan strategi lima tahun pembangunan keusahawanan di negeri itu dengan memberi fokus kepada lima teras utama termasuk peningkatan akses kepada dana usahawan IKS dan akses kepada kemudahan infrastruktur premis perniagaan.

 "Ia melibatkan peruntukan dana hampir RM137 juta sehingga tahun 2017 untuk meningkatkan pasaran, menambah jaringan komuniti dan budaya keusahawanan untuk memperkasakan kebolehan usahawan Terengganu," katanya.

 

IMTIAZ KIJAL KEMAMAN, MB MENERUSKAN APA YANG BAIK UNTUK RAKYAT DAN NEGERI

Oleh: Ruslan AR

Perkara yang baik diteruskan, demikian Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said meneruskan sistem pendidikan Imtiaz yang diasaskan oleh Menteri Besar sebelum ini, termasuklah di Kemaman.



Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman yang mula dibina dengan kos RM60 juta awal bulan lalu di Kijal (Beris Meraga) bakal siap hujung tahun ini (2013) mampu menampung 1,000 orang pelajar.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh itu bagi menampung permohonan kemasukan yang meningkat saban tahun.

Teganukita difahamkan tahun ini, SMI menerima hampir 2,000 permohonan termasuk 600 dari luar Terengganu bagi mengisi 480 tempat tingkatan satu di lima cawangan iaitu SMI Besut, SMI Kuala Terengganu, SMI Dungun dan SMI Kuala Berang di Hulu Terengganu.

"Satu lagi cawangan iaitu Imtiaz telah beroperasi sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang menempatkan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.

“Dua lagi sekolah yang sama akan dibina di Setiu dan Marang bagi menjadikan setiap daerah mempunyai sekolah yang bersepadu antara kebolehan akademik dengan pengetahuan agama yang tinggi termasuk mampu menghafaz al-Quran " katanya di Kemaman baru-baru ini.

Beliau telah membuat lawatan tidak rasmi ke tempat pembinaan bangunan Imtiaz di Beris Meraga, Kijal bagi memastikan perjalanan pembinaannya mengikut jadual.








Adik beradik johan hafazan peringkat negeri

Oleh: Noraini Jusoh
Pertandingan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2014/1435 Hijrah kali ini menyaksikan pasangan adik beradik yang menuntut ilmu di Institut al-Quran Terengganu (IQT) muncul johan lelaki dan perempuan bagi tahap pertama (1 hingga 10 juzuk).

Kelancaran dan ketepatan Mohd Rayyan Abdullah, 17, dan kakaknya Asma Abdullah,18, memperdengarkan bacaan hafazan al-Quran berjaya memikat juri untuk dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama untuk kategori masing-masing.

Kemenangan anak kedua dan pertama yang berasal dari Kedah itu membolehkan kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM3,000 dan sijil penyertaan.

Johan bagi tahap dua (satu hingga 20 juzuk) kategori lelaki dan perempuan pula menjadi milik Syed Ahmad Hisyam Engku Taufik yang merupakan pelajar IQT dan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, Nurul Izzatie Zuraimi.

Kedua-duanya berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000 dan sijil penyertaan.

Manakala juara tahap tiga (satu hingga 30 juzuk) bagi kategori wanita milik calon persendirian yang berasal dari Marang, Nurul Syaabaniah Yahaya, 21 yang juga merupakan bekas pelajar IQT.

Cahaya mata kepada pasangan Yahaya Mohd Din, 52, dan Zainab Marzuki,44, itu terpilih untuk bergelar johan selepas menjadi peserta tunggal wanita yang berjaya ke peringkat akhir bagi tahap itu kali ini.

Dengan kemenganan tersebut, Nurul Syaabaniah yang merupakan anak pertama daripada tujuh beradik berjaya membawa pulang wang tunai RM7,000 dan juga sijil penyertaan.

Sementara, juara tahap tiga (satu hingga 30 juzuk) bagi kategori lelaki milik Mohd Izzat Mat Nor dan berjaya membawa pulang wang tunai dengan jumlah yang sama dan sijil penyertaan.

Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib.

Seramai 21 peserta layak menyertai Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu selepas 107 penyertaan diterima di peringkat saringan pada 9 hingga 10 Februari lalu.

Kesemua johan akan mewakili Terengganu ke Majlis Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan pada Mac depan.

 

Enam pelumba TSG sahut cabaran LTDL

Oleh: Suriati Ali

Pasukan profesional Terengganu Cycling Team (TSG) menyandar harapan kepada enam pelumba berpengalaman dalam menghadapi cabaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang bermula Khamis ini.

 Ketua Pegawai Eksekutif TSG Rozali Salleh berkata enam pelumba tempatan itu diketuai pelumba sensasi Anuar Manan. Pelumba lain terdiri daripada Muhammad Adiq Hussaini Othman, Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saudi Mat Senan yang masing-masing mempunyai kelebihan sama ada dalam mendaki bukit, memecut dan di jalan landai.

 "Kami tidak menggunakan khidmat pelumba import tetapi menggunakan pelumba tempatan yang dirasai mampu membuat kejutan pada kejohanan kali ini," katanya.

LTdL 2014 bermula dari 27 Feb hingga 8 Mac sejauh 1,506.5 km meliputi 10 peringkat yang bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Terengganu. Rozali berkata para pelumba baru selesai menjalani latihan selama seminggu di laluan sebenar LTdL.

 Beliau juga berkata TSG telah menemui jurulatih baharu bagi menggantikan Sebastian Duclos dari Itali yang telah tamat kontraknya.

 Sementara menunggu ketibaan jurulatih itu yang berasal dari England iaitu Julian John Winn, tugas melatih skuad dikendalikan bekas pelumba berbasikal kebangsaan Mohd Jasmin Othman, katanya.

 Beliau juga berkata TSG menyenarai lima pelumba termasuk dua pelumba import untuk menyertai Tour de Taiwan yang akan berlangsung dari 9 hingga 13 Mac.

 Mereka ialah Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, Mohd Saiful Anuar Aziz, Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Muradjan Halmuretov (Uzbekistan) dan Maarten de Jonge (Belanda).

 Kedua-dua pelumba import itu merupakan anggota baharu TSG bagi menggantikan pelumba import Shinichi Fukushima (Jepun), Chan Jang Joe dan Kim Do Hyong (Korea Selatan).

 

JBPM terima 2,685 panggilan kebakaran

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 2,685 panggilan membabitkan kebakaran hutan, belukar dan lalang di seluruh negara dalam tempoh 16 hari sehingga semalam.

 Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan) JBPM Datuk Amer Yusof berkata Selangor mencatatkan bilangan kes kebakaran hutan tertinggi iaitu 71 kes diikuti Perak (62 kes) dan Johor (55 kes).

 "Manakala di Terengganu pula sebanyak 20 kes kebakaran melibatkan hutan paya gambut telah direkodkan namun kesemuanya dalam keadaan terkawal setakat ini," katanya

 Beliau berkata JBPM mempunyai kekuatan yang cukup untuk digerakkan bagi mengawal kebakaran hutan sepanjang musim kemarau ini.

Pengarah JBPM Terengganu Md Salleh Sarbini yang turut hadir pada majlis itu berkata kira-kira 10 kawasan paya gambut di seluruh negeri dikesan berisiko berlaku kebakaran berdasarkan faktor pernah berlaku kebakaran pada musim kemarau sebelum ini.

 Antara kawasan itu ialah di Lembah Bidong, Setiu, Besut, Dungun dan Marang serta beberapa lagi kawasan yang lain, katanya.

 Mengenai kebakaran kawasan paya gambut di Kampung Tok Kah di Dungun, beliau berkata kebakaran membabitkan kawasan lebih 400 hektar itu dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa satu hingga dua minggu lagi.

 

SIASAT SYED AZMAN SALAH GUNA SURAT SPRM ?

Mengadakan temujanji, membuat laporan dan sebagainya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana-mana sahaja bukanlah perkara yang asing dan pelik.

  Bahkan bagi SPRM itu adalah prosedur biasa, termasuk membuka pusat informasinya kepada orang ramai untuk memudahkan urusan tersebut.
  Menurut Pengarah SPRM Terengganu,Tuan Zainal Adam di samping peranan media pihaknya juga telah membuka kaunter informasi di Pejabat Derah Besut dan Hulu Terengganu setiap hari Isnin dan Selasa, secara selang seli.
  Katanya, untuk berhubung dengan pegawai di pusat Informasi SPRM Besut disediakan talian 013 3837100 manakala Hulu Terengganu (019 3137400).
 Beliau memberitahu demikian kepada media Terengganu dalam satu majlis SPRM bersama Media di Hotel Permai Inn baru lalu.
 Oleh yang demikian, apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr. Syed Azman Nawawi mendedahkan SPRM sudah bersetuju untuk mengadakan temujanji untuk bincang rasuah di Terengganu, ia bukanlah bermakna berlaku rasuah kerana SPRM terbuka menerima aduan kepada semua pihak dan setiap aduan akan disiasat kebenarannya.
  Jadi tidaklah wajar hanya sekadar hendak laporkan sahaja sudah riuh hanya semata-mata untuk mengaburi mata rakyat Terengganu tentang dakwaan berlakunya rasuah oleh pimpinan Terengganu.
  Tindakan Dr Syed Azman menggunakan nama dan surat Ketua Pengarah SPRM itu di sidang akhbarnya itu perlu disiasat kerana cuba menjejaskan reputasi pegawai tinggi berkenaan dengan cara halus, sedangkan SPRM bersedia menerima sesiapa sahaja untuk membuat aduan dan berjumpa dengan para pegawainya.
  Dr Syed Azman berkata, pihaknya telah menerima surat balasan yang menyatakan persetujuan daripada SPRM yang bertarikh 10 Februari lalu.
  “Saya telah menerima surat daripada SPRM yang bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan temu janji dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. “...untuk bincang soal rasuah di Terengganu, Jumaat ini pada jam 3 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, baru-baru ini..

 Sedangkan sebelum ini, dalam pertemuan dengan media massa di Terengganu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Terengganu (SPRM), Tuan Zainal Adam berkata, pada tahun 2013 hanya 21 kes yang dibuka kertas siasatan, manakala dari jumlah tersebut hanya 11 tangkapan sahaja dibuat. Dari jumlah itu membabitkan lima penjawat awam, tiga orang awam dan tiga warga asing.

 Untuk rujukan (berita Teganukita berkaitan penjelasan Pengarah SPRM Terengganu mengenai indek rasuah Terengganu):

27 Januari 2014


KES RASUAH DI TERENGGANU HANYALAH 21, KATA PENGARAH SPRM TERENGGANU.


Teks oleh Ruslan Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra
Video oleh Mohd Yahya Muda

Tahniah kepada kepemimpinan Terengganu kerana dilaporkan kedudukan indek kesalahan rasuah di negeri ini tidak bertambah.

Pengarah SPRM Terengganu, Tuan Zainal Adam ketika mengadakan sidang akhbar kepada wartawan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Terengganu (SPRM), Tuan Zainal Adam berkata, pada tahun 2013 hanya 21 kes yang dibuka kertas siasatan, manakala dari jumlah tersebut hanya 11 tangkapan sahaja dibuat. Dari jumlah itu membabitkan lima penjawat awam, tiga orang awam dan tiga warga asing.


Beliau berkata, SPRM amat memerlukan sokongan semua pihak bagi memberi kesedaran atau mendidik masyarakat tentang perlunya menjauhi perbuatan tersebut.


Sehubungan itu, di samping peranan media pihaknya juga telah membuka kaunter informasi di Pejabat Derah Besut dan Hulu Terengganu setiap hari Isnin dan Selasa, secara selang seli.

Untuk berhubung dengan pegawai di pusat Informasi SPRM Besut disediakan talian 013 3837100 manakala Hulu Terengganu (019 3137400).


Tuan Zainal dengan wujudnya kaunter informasi itu semua bahagian di negeri ini mempunyai kemudahan tersebut, di Selatan SPRM mempunyai cawangan di Kemaman, di Kuala Terengganu boleh terus ke ibu pejabat, manakala kini pula di buka kaunter di utara dan tengah (Hulu Terengganu).
Seramai kira-kira 30 wartawan dan pengamal media massa dan media baru hadir sama dalam perjumpaan mesra media dengan SPRM di Hotel Permai Inn hari ini (27 Januari). 

Graduan UiTM bisnes sos.

GIGIH…seorang pemegang ijazah jurusan Pengurusan Pejabat dari Universiti Teknologi Mara (Uitm), Jengka, Rosnanisah Mat Shah, 25, sedang meletakan penutup –penutup botol pelbagai jenis sos yang siap untuk diedarkan, di bengkel milik ibunya, di Kampung Langkap, Setiu, baru-baru ini.

Rosnanisah yang kini menjadi pembantu kepada ibunya, seorang ibu tunggal, Ramlah Ali, 55, mengusahakan pelbagi produk sos, kicap dan cuka itu sejak lebih dua tahun lalu dan bengkelnya yang mendapat bimbingan dari Risda itu mampu mengeluarkan kira-kira 600 botol produk itu sehari.

Ibu Rosnanisah, Ramlah (kanan) sedang mengacau kicap.
"Ketika mula beroperasi, bengkel ini mengeluarkan sekitar 300 botol sehari dan edaranya sekitar Terengganu sahaja tetapi kini ia melebihi 600 botol sehari manakala edaranya sekarang sehingga ke Kuantan, Pahang,” katanya.

Antara jenama Seri Langkap keluaran RA Famili itu ialah cuka makan, kicap manis, sos pencicah, sos cili, sos tomato dan rojak buah

"Saya bercadang untuk menambah lagi beberapa produk baru syarikat ini antaranya ialah sos tiram dan kicap masin dan akan
meluaskan pasaranya," katanya
Rosnanisah meminati bidang perniagaan itu sejak dibangku sekolah lagi kerana ketika itu dia sering membantu ibunya berniaga bersama sebuah syarikat lain menjalankan perniagaan yang sama.- Aminudin Ismail.

 

18 February 2014

Terengganu tiada masalah air walaupun kemarau

Oleh: Noraini Jusoh

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, rakyat Terengganu tidak perlu bimbang kerana negeri ini tidak mengalami masalah bekalan air sekalipun musim kemarau melanda.

Malah, menurut Dato’ Ahmad Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, mengikut kajian yang dibuat oleh penyelidik salah sebuah universiti di negeri ini, air di Terengganu berlebihan.

“Dengan adanya punca-punca air yang banyak, rakyat tidak perlu bimbang sekalipun musim kemarau melanda beberapa negeri termasuk Terengganu sekarang ini.

“Kemarau di Terengganu tidak ada masalah sebab sebelum ini kita belum pernah menghadapi tahap yang mencemaskan. Sumber-sumber air kita masih mencukupi cuma masalahnya dari segi penggunaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai musim kemarau yang melanda sekarang pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan e-Book Murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, baru-baru ini.

Menurut beliau, bagi mengurangkan pembaziran, kempen kesedaran dibuat untuk menyedarkan rakyat Terengganu supaya mengamalkan langkah penjimatan air dan menjaga alam sekitar.

Tambah beliau, sebagai langkah mencegah perkara-perkara yang tidak diingini pada musim kemarau ini, orang ramai dinasihatkan supaya mengawal pengunaan air, jangan melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa berwaspada apabila mengunakan bahan api.