Halaman

19 February 2014

Program Mesra bersama DJ Terengganu FM meriah


Pasukan JKKK Gong Gucil berbalas pantun dengan DJ Terangganu FM

Oleh: Mohammad Ishak 

Peluang penduduk luar bandar untuk bertemu muka sambil beramah mesra bersama juruhebah (DJ) radio sememangnya sukar kerana agak jarang program untuk golongan berkenaan diadakan di negeri ini.

Bagaimanapun, penduduk Kampung Gong Gucil, dekat Jertih, hari ini menyifatkan mereka amat bertuah kerana impian mereka untuk mengenali D J kesayangan akhirnya menjadi kenyataan apabila Terengganu FM tanpil mengadakan program di kampung mereka.

Kehadiran mereka mengadakan rakaman program Dengarlah Sayang dan Pantun Seloka mengundang komuniti mengikuti rakaman dari awal sehingga akhir memeriahkan lagi program kerjasama RTM dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Program Seloka Pantun terbitan Rohani Hussin membariskan tiga pemantun dari DJ Terengganu FM, Suhaila Mat Daud (Kak Su), Zulkifli Yusof (Ijo) dan Norain Sulong atau Ain manakala pengerusinya, pelawak tempatan Pak Da.

Manakala mewakili JKKK Gong Gucul ialah, Zahari Mat Din (Pak Muda),Tuan Man Tuan Mat Man) dan Rosmiza Ismail (Miza).

Acara berbalas pantun itu sememangnya menarik minat orang ramai yang hadir kerana ia dipenuhi dengan pantun seloka yang menghiburkan.

Pemilihan JKKK Gong Gucil sebagai tempat rakaman berkenaan amat kena pada tempatnya kerana JKKK berkenaan sering muncul dalam pelbagai pertandingan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Timbalan Pengarah Penyiaran Terengganu, Rida Suzirawati Muda yang hadir sama berpuas hati dengan sambutan penduduk terhadap kehadiran krew Terengganu FM di kampung terbabit.