Halaman

16 February 2014

Kemudahan wifi percuma secara berperingkat

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) percuma melibatkan peruntukan RM30 juta dalam pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu kepada rakyat secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Terengganu negeri pertama dilengkapi wifi percuma sepenuhnya.

“Kini, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijadikan lokasi pertama yang disediakan dengan kemudahan itu untuk kegunaan orang ramai.

“Bermula di LTSM, ia akan diperluaskan ke Bestari.com, Tasik Kenyir, perpustakaan desa dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan e-Book Murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, baru-baru ini.

Menurut Dato’ Ahmad Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, kerja-kerja pemasangan WiFi di tempat-tempat lain selain LTSM, sedang dan akan dibuat secara berperingkat.

Katanya, kemungkinan jarak liputan untuk orang ramai akses kepada kemudahan WiFi percuma ini akan ditingkatkan supaya masyarakat sekitar di kawasan yang dibekalkan kemudahan berkenaan turut mendapat manfaat.

“Sekarang ini, kawasan liputannya lebih kurang dalam jarak 100 meter dan kemungkinan selepas ini akan ditingkatkan sehingga 500 meter,” katanya.