Halaman

18 February 2014

Ibu bapa contoh terbaik anak-anak : A Latiff

Oleh: Amirullah Othman

Ibu bapa haruslah menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak serta menitikberatkan pendidikan mereka supaya mampu menjadi generasi cemerlang.
Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri YB A Latiff Awang, berkata peranan ibu bapa amat mencabar dewasa ini, dalam memastikan anak-anak tidak hanyut dengan gejala sosial yang tidak sihat.

“Ibu bapa harus menjadi contoh yang baik, sentiasa menanamkan semangat dan jati diri dalam diri anak-anak supaya belajar dengan bersungguh-sungguh. Hanya dengan pelajaran dapat mengubah nasib dan kehidupan kea rah lebih baik.

“Sementara kita sebagai pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab pula menyediakan segala keperluan yang sepatutnya kepada anak-anak supaya dapat menimba ilmu dalam persekitaran yang baik dan kondusif,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan kali ke 22 Tahun 2014, hari ini.

A Latiff berkata, kerajaan bersedia memberi pelbagai pengiktirafan dan ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dengan menyediakan peruntukan yang amat besar saban tahun, berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, rakyat sepatutnya menghargai dan menyambut baik inisiatif kerajaan dengan memastikan kejayaan anak-anak di sekolah, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah dalam aktiviti luar kelas seperti kokurikulum dan sukan.