Kesedihan sepasang suami isteri bersama lapan anak yang tinggal sehelai sepinggang ekoran kebakaran rumah mereka di Kampung Seberang Takir kini terubat apabila mendapat rumah baharu menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
Mamat, bekas penarik beca yang tidak lagi mampu bekerja sejak dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis dihidapinya, berpindah ke rumah baharu dua hari lalu (18 Februari) bersama isteri dan anak-anak setelah lebih sebulan menumpang di Balai Raya kampung itu.
Menurut Mamat, rumah yang didiaminya bersama isteri dan anak-anak berusia 21 hingga 42 tahun sejak 35 tahun lalu terbakar dipercayai akibat litar pintas yang bermula dari salah sebuah bilik sebelum merebak ke bahagian lain.
Katanya, ketika kejadian pada 28 Disember lalu kira-kira jam 9.30 pagi, cuma dia bersama isteri berada di rumah dan hanya sempat menyelamatkan diri ketika api sedang marak membakar rumah separuh kayu dan simen yang banyak meninggalkan kenangan buat mereka berdua.
“Saya bersama isteri sedang menonton televisyen ketika itu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dari arah bilik. Isteri yang terlebih dahulu menyedari api semakin marak berlari meminta pertolongan daripada jiran tetapi tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk dokumen penting kerana semuanya hangus terbakar dengan begitu cepat.
“Walau bagaimanapun, saya reda dengan ujian ini dan percaya apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya,” ujar Mamat yang turut menimbang cucu baru sama dengan tarikh dia berpindah ke rumah yang bernilai RM40 ribu itu.
Meskipun tidak pasti jumlah kerugian sebenar yang dialaminya, dia tetap bersyukur kerana keprihatinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat yang segera tampil dan turun padang membantu meringankan bebanan yang dihadapi mereka sekeluarga akibat kejadian malang itu.
