Halaman

17 February 2014

118,688 terima e-book sejak 2009 sehingga Februari ini

Seramai 118,688 murid di Terengganu telah menerima buku elektronik (e-book) sejak diperkenalkan pada 2009 sehingga Februari ini.

E-Book, komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan itu diberi oleh kerajaan negeri bertujuan memudahkan proses pembelajaran dalam kelas, sekali gus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Zakaria Hussin berkata e-book yang diberikan kepada murid Tahun Empat dan Lima ini sangat berkesan dalam pembelajaran di sekolah selain murid juga didedahkan dengan penggunaan komputer.

"Kerajaan negeri sangat komited dalam memastikan pendidikan di Terengganu terus meningkat demi menghasilkan anak-anak Terengganu yang berjaya.

"Untuk tahun ini dan tahun lepas, sebanyak RM57 juta dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk tujuan ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pembahagian E-Book kepada murid Tahun Lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Kemaman, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Haji Ahmad Said.