Halaman

18 February 2014

Sukan, kokurikulum komponen lahir generasi cemerlang

Oleh: Amirullah Othman

Kegiatan sukan dan kokurikulum menjadi komponen penting dalam sistem pendidikan negara kita untuk melahirkan generasi pelajar yang berwibawa dan cemerlang, kata Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan,Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang.
Beliau berkata demikian di Program Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Daerah Marang bertempat di Padang Bola Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, semalam.

A Latiff berkata, program tiga hari berakhir 20 Februari ini dapat menyokong dan melengkapkan proses pendidikan seseorang pelajar.

“Oleh itu adalah penting aktiviti-aktiviti sukan dan permainan, kelab dan badan beruniform dijalankan secara bersepadu dan tidak diabaikan dalam perancangan pihak sekolah.

“Saya menyarankan kepada ibu bapa supaya memberi sokongan yang padu kepada anak-anak yang berminat ke arah aktiviti sukan kerana ia boleh dijadikan satu platform ke arah kerjaya anak-anak kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga menaruh kepercayaan yang tinggi untuk melahirkan barisan atlet yang bermutu supaya dapat mewakili Marang ke peringkat negeri nanti supaya dapat mengharumkan nama daerah ke peringkat yang lebih termasuk mewakili negeri dan negara.

Dalam pada itu, beliau juga berharap peserta-peserta kejohanan Balapan dan Padang MSSD Marang kali ke- 23 ini dapat bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan silaturahim.

Katanya, kejohanan pada kali ini juga diharap akan mencipta beberapa rekod baru yang lebih baik dan berjaya mendidik mereka menjadi insan yang mementingkan gaya hidup yang sihat.