Halaman

21 February 2014

Zoo Bukit Takal tarik minat 500,000 pengunjung

Oleh: Suriati Ali 

 Pelbagai spesies haiwan, termasuk singa, harimau dan tapir, yang ditempatkan di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman, berjaya menarik minat kira-kira 400,000 pengunjung, sejak dibuka awal 2009 lalu.

Zoo berkenaan kini memiliki 402 haiwan pelbagai spesies haiwan sebagai tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke zoo terbesar di Pantai Timur itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata akhir tahun lalu, pihak pengurusan zoo menerima 13 ekor singa untuk tontonan pelawat di samping dua ekor kuda padi, buaya tembaga (dua) dan seekor buaya jejulong.

Katanya, Sebelum ini, ia turut menempatkan Taman Tema Air dan dua ekor Harimau Malaya yang disumbangkan Zoo Melaka serta seekor tapir, bagi menarik lebih ramai pelawat.

 “Zoo berkenaan yang menampilkan konsep unik dengan memulihara alam sekitar dan pelbagai jenis tanaman asal kawasan tersebut.

 “Haiwan lain yang terdapat di zoo berkenaan termasuk pelbagai spesies burung, kura-kura, beruang matahari, landak, musang dan gajah,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Dato’ Mohd Jidin turut memberitahu bilangan haiwan di zoo berkenaan sentiasa ditambah dari semasa ke semasa mengikut keupayaan pihak pengurusannya.

 “Antara haiwan yang terdapat di mini zoo itu termasuk burung unta serta pelbagai spesies burun g lain, rusa, beruang, monyet, ungka, ular, buaya dan ikan naga. “Turut menjadi perhatian pengunjung zoo berkenaan “Chiko”, harimau jantan berusia tiga tahun serta pasangannya harimau betina, “Country” yang jauh lebih tua, iaitu lapan tahun,” katanya.

 Katanya, kawasan Taman Rekreasi dan Mini Zoo ini yang dulunya merupakan dusun buah-buahan, kini menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, terutama menjelang hujung minggu.

 “Taman Rekreasi dan Mni Zoo Bukit Takal berbeza dengan zoo-zoo lain kerana ia lebih menekankan konsep terbuka dan mengekalkan alam semulajadi agar haiwan lebih selesa ditempatkan di sini.

 “Lebih menarik, taman ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan beriadah untuk seiisi keluarga, taman permainan kanak-kanak, kolam renang dan gelongsong air,” katanya.

 Bukit Takal dipilih kerana ia terletak di kawasan pertengahan antara pusat bandar Kuala Terengganu dan Kuantan. Selain itu, ia juga memudahkan penduduk dari negeri lain seperti Pahang , Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk turut berkunjung bersantai bersama keluarga di situ.