Halaman

18 February 2014

Noorul Shazrina: Jangan buat spekulasi terhadap kematian suami saya.


Noorul Shazrina bersama dua anaknya Wan Nor Sofia (kanan) dan Wan Iman (kiri).

Oleh: Mohammad Ishak

 “Jangan buat sebarang spekulasi terhadap punca kematian arwah suami saya”, kata Noorul Sharina Shafiee, 33, guru dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan,Marang.

Noorul Shazrina, isteri, Penolong Kanan Pentadbir Tanah, Kuala Terengganu, Allahyarham Wan Hariff Rafany Wan Muda,35, yang ditemui mati lemas di Sungai Tajin, Hulu Terengganu, kelmarin selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Beliau sedih dengan sesetengah pihak yang membuat andaian sendiri terhadap kematian arwah suami sedangkan perkara itu masih dalam siasatan polis.

Katanya, dia rasa tertekan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang membuat pelbagai andaian terhadap kes kematian arwah suami yang tersebar luas menerusi media sosial.

Ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Limbongan,Besut yang ditemani dua anaknya, Wan Nor Sofia Hana,6 , dan Wan Iman Nashrid, 4 tahun beliau kelihatan tenang walaupun perasaan sedih dan dengan kehilangan suami tersayang.

Jenazah Allahyarham Wan Hariff Rafany selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Besut selepas solat isyak malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Yang Berhormat Mohd Mahdi Musa adalah antara pemimpin yang hadir pada majlis perkebumian arwah.

“Saya berharap tidak ada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kematian arwah dan serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.