Halaman

25 February 2014

Kerajaan negeri rancang bina sekolah menengah rendah di Pulau Redang

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri merancang untuk bina sebuah sekolah menengah rendah di Pulau Redang bagi memudahkan anak-anak pulau itu meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, ketika ini hanya terdapat sekolah rendah sahaja di pulau itu menyebabkan murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terpaksa meneruskan persekolahan di tanah besar.

“Kalau ikutkan perancangan, sekolah yang bakal dibina berkonsepkan kompleks yang menempatkan sebuah sekolah rendah dan menengah di satu kawasan.

“Ia akan memberi kelebihan kepada pelajar tingkatan satu hingga tiga di pulau ini meneruskan pelajaran tanpa perlu bersekolah di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pemberian dana pakaian sekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, baru-baru ini.

Katanya, selain memudahkan pelajar meneruskan persekolahan, keselamatan mereka juga lebih terjamin apabila bersekolah di tempat sendiri.

Menurut Bazlan, lebih kurang 300 anak Pulau Redang sedang mengikuti pembelajaran di peringkat menengah, sekarang ini.

“70 daripadanya bersekolah di SMK Bukit Besar dan selebihnya di SMK Padang Midin, SMK Ibrahim Fikri dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Katanya, beliau mengharapkan pembinaan sekolah menengah rendah yang bakal mengubah nasib anak-anak pulau ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

 

Program menimba ikan dalam kubang meriah


YB Muhamad Pehimi beramah mesra dengan peserta.

Oleh: Mohammad Ishak

Program menimba ikan dalam kubang di Kampung Tok Motong, dekat sini, dilihat satu usaha murni untuk mengekalkan warisan kegiatan gotong royong penduduk tanpa mengira fahaman politik kerana ia disertai pelbagai lapisan masyarakat setempat.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri,Muhamad Pehimi Yusof, turut memuji usaha yang dilakukan oleh penduduk kampung terbabit yang mampu mengekalkan ciri-ciri kebudayaan lama seperti itu.

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih ketika merasmikan program itu semalam berharap dengan acara seperti itu ia dapat mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dikalangan penduduk.

Katanya, acara menimba ikan sememangnya menjadi amalan penduduk kampung yang tinggal berhampiran sawah dan setiap musim kemarau mereka bergotong royong menimba ikan darat di dalam sawah atau kubang.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Motong, itu menarik minat penduduk setempat yang hadir menyaksikan gelagat peserta ketika menimba ikan dalam lumpur.

Penduduk, Yaakob Daud, 62, berkata beliau gembira melihat kanak-kanak dan orang dewasa yang sanggup bergelumbang dengan lumpur untuk menangkap ikan darat sepewrti keli dan haruam yang banyak terdapat dalam kubang di situ.

“Kerja menangkap ikan seperti itu agak jarang dilakukan generasi sekarang berbanding pada zaman dahulu kerana ikan darat sememangnya menjadi pilihan penduduk kampung,” katanya.

Tiada Campur Tangan Kedutaan Brazil : CEO T-Team

AB. RASHID JUSOH
Oleh: Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra


T-Team menafikan kunjungan Duta Brazil di Malaysia ke negeri ini cubaan untuk campur tangan dalam kes membabitkan 'insiden torowong' di Johor Bahru awal bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, kehadiran Duta Brazil, Maria Auxiliadora Figueirado Ahad lalu bertujuan memantau perkembangan tiga rakyatnya yang berkhidmat bersama pasukan itu iaitu Evaldo Concalves dan Fabio Flor de Azivedo serta jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Majlis penyerahan tajaan kepada pasukan T-Team.
 "Beliau (Figueirado) cuma turun melawat, berbual dengan pemain dan pegawai pasukan dan berpuas hati dengan setiap penjelasan yang diberikan termasuk tahap keselamatan rakyatnya.

 "Jadi, tak ada istilah campur tangan. Dia cuma datang dan tengok sendiri keadaan rakyatnya di sini. Itu saja," katanya kepada pemberita selepas majlis T-Team bersama media di Hotel Permai, Kuala Terengganu malam tadi.

Turut diadakan sempena majlis itu ialah acara memperagakan jersi pasukan selain memperkenalkan penaja-penaja T-Team untuk musim ini.

Sementara itu, Ab. Rasid berkata, T-Team masih belum memutuskan tindakan tatatertib yang sewajarnya dikenakan terhadap Muhammad Irfan Abdul Ghani selepas pemain itu menghantar surat perletakan jawatan tempoh hari.

"Sejak dia balik (Johor), dia tak pernah hubungi kami dan kami pun tak tahu apa cerita.Perkara itu kita serah kepada jawatankuasa tatatertib (T-Team) untuk buat pertimbangan sewajarnya," katanya.

 

CALON PKR BUKIT BESI MENANG SAMAN HJ HADI RM2 JUTA- AHLI DAN PENYOKONG PAS PASTI RASA TERHINA, APAKAH PAS AKAN SOKONG PKR DI KAJANG NANTI?



Apakah agaknya perasaan penyokong Pas apabila angkara calon PKR Dewan Undangan Negeri Bukit Besi (dalam PRU 13) baru-baru ini, Mohd Shamsul Mat Amin telah menyebabkan pada 17 Februari lalu Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membayar ganti rugi RM2juta berhubung kes saman fitnah oleh Presiden Pas itu.
  Tidakkah ini suatu penghinaan dan tindakan melampau PKR terhadap ahli dan penyokong Pas kerana membabitkan maruah parti mereka apabila Presiden parti yang bernama “Islam” itu disaman RM2 juga kerana perbuatan fitnah dan bagaimana dengan sokongan Pas kepada PKR dalam Pilihanraya Kecil Dun Kajang nanti?
 Dalam penghakiman tersebut, Presiden Pas YB Dato’ Seri Hadi Awang diperintah membayar gantirugi sejumlah RM 2 juta kepada calon PKR Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin berhubung kes saman fitnah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Mahkamah turut memerintahkan Abdul Hadi membayar 5% setahun ke atas jumlah ganti rugi itu dari tarikh writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM 1,500.
  Menurut plaintif Mohd Shamsul yg juga Ketua Angkatan Muda PKR Dungun yg menfailkan saman itu bertujuan membersihkan namanya susulan ceramah Defenden Hj Hadi di Kg Alor Limbat Tebakang Marang pd PRU 13 yg mengaitkan nama plaintif dengan pil kuda, sekali gus menjatuhkan maruah dan keluarganya serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PKR juga ahli perniagaan.
Dalam pernyataan tuntutan Plaintif Mohd Shamsul mendakwa fitnah Defenden Hadi menyebabkan beliau menghadapi tekanan emosi, mental, cemuhan , penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat. Sebelum ini, kira-kira bulan Ramadhan lalu setelah sekian memendam rasa, calon PKR, bagi kerusi DUN Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, ketika pilihanraya umum yang lalu, tampil membuat kenyataan bagi menyelar Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang.
  Ia ekoran dari kenyataan bekas menteri besar Terengganu itu ketika berceramah di Tebakang Alor Limbat, Marang yang mengatakan “ada calon PKR tukang edar pil kuda dan sokong komunis’. Semasa kempen PRU-13 yang lalu, Presiden Pas itu ketika berucap dalam satu majlis ceramah mengatakan dia mendapat maklumat ada calon yang membuat kerja ‘haram’ iaitu menjual pil kuda dan mempunyai fahaman bertentangan apabila meletakkan gambar pejuang revolusi komunis di Rusia iaitu Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin di markas parti mereka. Dia turut menegaskan Pas tidak boleh menerima calon sebegitu dan tindakan itu diambil agar ‘syaitan-syaitan’ tidak boleh masuk dalam pakatan pembangkang. Ia bagi menjelaskan isu kenapa Pas terpaksa bertanding di kawasan tertentu sehingga menyebabkan pertindihan sesama sendiri.
  Menurut Shamsul disebabkan kenyataan itu juga, dia sering diejek dan diaibkan oleh masyarakat di kampungnya. Malah nama baiknya dan keluarga turut terjejas, mengalami masalah kemurungan di samping menjejaskan perniagaannya. Beliau yang tidak dapat menahan sebak, terpaksa berhenti beberapa kali ketika membacakan kenyataannya.
“Disebabkan kenyataan tersebut, ia telah menjatuhkan maruah saya, malah masyarakat (di kampung) mengangap saya adalah pengedar pil kuda.
 Tuduhan tersebut sangat berat…. (terpaksa berhenti seketika kerana sebak) dan serius. “Saya perlu membersihkan nama nama baik saya dari angkara fitnah ini. Justeru itu, saya akan failkan kes fitnah ini ke mahkamah dalam waktu terdekat dan tindakan saman malu saya ini wajar diambil kerana ia adalah fitnah dan menjurus kepada usaha merendahkan reputasi saya sebagai seorang pemimpin politik” katanya ketika sidang media beberapa bulan yang lalu. Shamsul yang ditemani oleh bapanya dan Ketua Pengarah Pilihanraya PKR, Negeri Terengganu, Yahya Zakaria turut menjelaskannya tindakan itu langsung tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ia semata-mata dilakukan bertujuan untuk membersihkan nama baik keluarganya.
 Menurut Shamsul yang juga merupakan seorang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) selain beliau dua lagi bekas calon dari PKR Terengganu akan turut mengambil tindakan yang sama dalam masa yang terdekat. Jadi ternyatalah apa yang disuarakan oleh calon PKR Bukit Besi itu bukan suatu kenyataan semata-mata, tetapi kini telah menjadi kenyataan apabila mahkamah telah membuat keputusan.
 Persoalannya, dengan perbuatan memalukan Presiden Pas itu, apakah Pas akan membantu PKR dalam PRK Dun Kajang nanti? Dan kalau membantu, apakah akan membantu dengan sepenuh hati bila hati sudah terguris dengan saman ke atas pemimpin mereka itu oleh calon PKR Bukit Besi itu?

Zoo Bukit Takal miliki 402 pelbagai spesies haiwan

Oleh: Suriati Ali

Taman Rekreasi dan Mini Zoo (TRMZ) Bukit Takal, Kemaman kini  memiliki 402 haiwan pelbagai spesies sebagai tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke zoo terbesar di Pantai Timur itu.

 Pengarah Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman Abdul Halim Mamat berkata, awal tahun ini, pihak pengurusan mini zoo ada menerima dua ekor burung Cenderawasih jantan yang dipinjam dari Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar, Sungkai, Perak; dua ekor kuda padi, buaya tembaga dan buaya jejulong.

 “Kehadiran spesies haiwan ini dijangka dapat menarik minat orang ramai untuk mengunjungi zoo ini bersama-sama keluarga mereka,” katanya dalam ucapan pada Majlis Lawatan Bersama Media ke TRMZ, semalam.

Lawatan anjuran Unit Komunikasi (UKOM) Terengganu tersebut disertai kira-kira 50 pengamal media seluruh Terengganu antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan Malaysia, Sin Chew Jit Poh dan Sinar Harian. Sebelum ini, zoo berkenaan yang turut menempatkan Taman Tema Air, turut memiliki dua ekor Harimau Malaya yang disumbangkan Zoo Melaka dan seekor tapir.

 Zoo berkenaan yang menampilkan konsep unik dengan memulihara alam sekitar dan pelbagai jenis tanaman asal kawasan itu semaki ramai dikunjungi pelawat, khususnya pada setiap hujung minggu.

 Selain itu katanya, haiwan lain yang terdapat di zoo berkenaan termasuk pelbagai spesies burung, kura-kura, beruang matahari, landak dan musang.

 “Kita sentiasa membuat penyesuaian dan penambahbaikan serta cuba melengkapkan Taman Rekreasi secara berperingkat dan kalau tidak ada aral, bulan depan zoo berkenaan akan menerima beberapa ekor gajah,” katanya.

 

Sambutan baik mesyuarat PIBG Panchor Merah.

Mohd Jidin menyampaikan hadiah kepada murid cemerlang.
Oleh: Aminudin Ismail.

KIRA-kira 150 ibubapa hadir menjayakan Mesyuarat Agung PIBG Kali ke 17 Sekolah Kebangsaan Panchor Merah, Setiu yang diadakan di dewan sekolah itu semalam.

Guru Besarnya, Mohd Suhaimi Endut berkata, kedatangan ahli PIBG tahun ini amat mengalakan dan mesyuarat ini juga akan membuat pemilihan bagi perlantikan AJK baru.

"Saya juga berterima kasih kepada guru-guru dan AJK pelaksana mesyuarat kerana menjayakan mesyuarat kali ini dan juga kepada Dato' Mohd Jidin yang sudi hadir merasmikan mesyuarat," katanya.

Sebahagian guru dan ibubapa yang hadir.
Mohd Suhaimi berkata, kehadiran ramai ibubapa ini membuktikan mereka begitu mengambil berat tentang sekolah ini terutamanya pencapaian dalam pelajaran.

"Pendidikan adalah satu pelaburan yang menjadi penanda aras kepada cemerlangan sesebuah sekolah dan sokongan serta komitmen ibubapa hadir pada mesyuarat ini menunjukan mereka juga bersama-sama mahu menjadikan sekolah cemerlang dalam bidang pendidikan," katanya.

Sementara itu, Mohd Jidin berkata, ibubpa perlu mengambil berat tentang perkembangan pelajaran anak-anak mereka dan beliau berterima kasih kepada ibubapa yang hadir kerana memberi sokongan bagi menjayakan meyuarat itu demi kepentingan pendidikan anak-anak.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said dan Pengerusi PIBG sekolah itu, Ismail Othman.

 

Sertai Dailog Perpaduan 1 Mac ini.

Oleh: Aminudin Ismail. 

ORANG ramai dijemput hadir ke majlis Dailog Perpaduan yang akan berlangsung di Dewan Teater Perbadanan Perpustakaan Awan Negeri Terengganu pada 1 Mac ini.

Program anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) itu bertujuan untuk berkongsi pendapat, pandangan dan cadangan orang ramai mengenai usaha-usaha untuk memelihara, mengekal dan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Kuala Terengganu, Ahmad Rizal Abd Razak, berkata orang ramai yang hadir boleh memberi pandangan, pendapat dan cadangan bagaimana untuk menjayakan tujuan itu.

"Semua yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu dijemput hadir bagi menjayakan majlis itu. Orang ramai boleh melontarkan apa jua pandangan ataupun cadangan yang boleh membantu kearah penyatuan Nasional. 

"Mereka yang berminat bolehlah menghubungi Jabatan Perpaduan Negara Negeri Terengganu, nombor telefon: 09-6203105/07," katanya.

 

24 February 2014

3 hari 2 malam di Pulau Redang bersama Bazlan.

AKRAB…Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM) negeri, Roslan Abdul Rahman (kanan) sedang berbincang sesuatu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman ketika dalam perjalanan menaiki bot ke Pulau Redang, Jumaat lalu.

Seramai kira-kira 80 ahli rombongan menyertai lawatan Bazlan ke Pulau Peranginan antara tersohor di dunia itu, termasuklah JKKK Dun Batu Rakit, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Batu Rakit, beberapa kakitangan Pejabat Daerah Setiu, pegawai BTN dan wartawan media massa.

Pelbagai acara diadakan sempena lawatan selama tiga hari dua malam adun itu antaranya ialah pembahagian dana remaja, bantuan pakaian sekolah, seminar BTN untuk Pemuda dan Puteri UMNO Batu Rakit dan lawatan ke beberapa rumah penduduk.

Sekumpulan wartawan bersiap untuk bertolak.
Walaupun terpaksa meredah lautan agak bergelora akibat angin Tenggara namun kesemua ahli rombongan tiba dengan selamatnya kira-kira jam 11 pagi selepas lebih sejam berada di lautan.

Dalam lawatan itu juga Bazlan sempat menyelesaikan beberapa masalah penduduk antaranya masalah koperasi dan bantuan untuk pesakit kronik serta melawat tapak projek rumah mampu milik yang sedang dalam pembinaan.

“Lawatan ini amat bermakna kepada penduduk Pulau Redang kerana beberapa masalah penduduk dapat diselesaikan serta boleh mengeratkan hubungan antara penduduk di daratan dan Pulau Redang ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dengan lawatan ini termasuklah Pejabat Daerah Setiu, BTN dan sekumpulan wartawan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya

Sesungguh lawatan YB Bazlan dan rombongan ke Pulau Redang memberi seribu makna kepada penduduk setempat semoga kehadiran semula nanti sekurang-kurangnya dalam menyelesaikan sebahagian daripada permasalah penduduk.

Rombongan selamat tiba di jeti Merang pada kira-kira jam lima petang semalam dan keadaan ombak yang semakin baik berbanding hari sebelumnya seolah-olah merestui pemergian rombongan itu ke Pulau ketiga paling popular di dunia itu .- Oleh: Aminudin Ismail.


Chalet malam pertama penginapan.

Bazlan bersama beberapa wartawan di atas bot.

Pemandu bot yang sentiasa tenang.

Lautan 'berkucoh' sedikit membimbangkan.

Pemandangan indah Redang.
Pertandingan bola tampar turut diadakan.

Anak muda Redang bermain bola pantai.


Perjumpaan tertutup Rela dengan YB.

Isteri YB turut hadir di setiap majlis.
Pemuda dan Puteri beraktiviti.
Bazlan menyelesaikan masalah penduduk.

Pemandangan pintu masuk Redang.

Penginapan malam kedua.
Pekan Redang yang mendamaikan.

Pendidik yang 'melupakan' kenikmati daratan demi untuk anak bangsa.

Wajah-wajah kanak-kanak pulau.
Bazlan sedang ditanya wartawan tentang rumah mampu milik.

Selamat tinggal Redang yang semangnya indah dan mempesonakan.

 

Panggil dan pulih akhlak pemilik `Murtad Pantai Timur'

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemilik akaun Facebook (FB)  dikenali `Murtad Pantai Timur’ perlu dipanggil segera bagi memulihkan akidahnya yang sudah jauh terpesong, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

“Sepatutnya perkara sebegitu (mencabar kuasa Allah swt), tidak berlaku di kalangan orang Islam, apabila orang Islam tidak percaya kebesaran Allah, mukjizat Allah, tidak percaya ayat Allah, mendustai Rasul, dia dianggap sudah keluar Islam dan sudah syirik.

"Kalau mengikut zaman Rasulullah s.a w.. ketika sahabat baginda Saidina Abu Bakar memerangi golongan murtad , individu terbabit perlu diberi kata dua, pertama menyeru kembali kepada jalan yang benar atau kedua, memerangi golongan itu.

“Bagaimanapun, oleh kerana individu berkenaan masih muda lagi, jabatan agama Islam negeri dia berada perlu panggil, memberi penjelasan dan juga pendidikan (pemulihan akhlak),” katanya di Majlis Penyerahan Kontrak Perkhidmatan EIO dan TSO Tahun 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin dan Pengarah Eksekutif Tesdec Sdn Bhd, Haji Rozali Salleh.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran FB `Murtad Pantai Timur’ yang menimbulkan kecaman pelbagai pihak, berikutan pos yang melampaui batas agama, termasuk mengatakan Allah s.w.t tidak wujud dan menghina Rasulullah s.a.w.

FB yang dikatakan milik seorang wanita yang pernah menjadi pelajar cemerlang di sebuah sekolah di Terengganu, memaparkan pos berunsur provakasi kepada umat Islam dengan menggunakan loghat Pantai Timur pada tulisannya.

Ghazali berkata, sekiranya tindakan segelintir individu boleh menjejaskan keharmonian, menimbulkan huru-hara dan juga perlanggaran hak agama, satu undang-undang baru yang lebih komprehensif sebagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri perlu dilaksanakan semula.

“Jika gubal dan laksana undang-undang banyak kali pun tidak akan memberi kesan sekiranya tiada penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang bersalah. Oleh itu, undang-undang serta penguatkuasaan perlu seiring dan hukuman itu perlu diuar-uarkan supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain,” katanya.


Klinik kesihatan baru akan dibina di Pulau Redang

Oleh: Noraini Jusoh

Sebuah klinik kesihatan baru bakal dibina di Pulau Redang April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pembinaan klinik kesihatan yang akan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan lebih canggih merupakan keperluan untuk penduduk di pulau itu sekaligus bertujuan meningkatkan taraf kesihatan mereka.

“Dalam mesyuarat tindakan daerah baru-baru ini, saya telah dimaklumkan oleh jurutera JKR Daerah Kuala Terengganu bahawa pembinaan klinik baru akan dilaksanakan di Pulau Redang pada April ini.

“Klinik tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang ditubuhkan sejak tahun 1977 dan beberapa kali diubah suai bagi menjaga kebajikan orang Pulau Redang supaya mendapat kemudahan kesihatan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pemberian dana pakaian sekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, baru-baru ini.

Katanya, beliau akui memang menjadi satu masalah kepada penduduk kerana kekurangan kemudahan di klinik Pulau Redang sekarang ini.

 “Dengan adanya klinik kesihatan baru itu nanti, penduduk boleh mendapatkan rawatan dengan lebih selesa berbanding dengan klinik kesihatan sedia ada yang masih belum mempunyai peralatan mencukupi untuk merawat pesakit di pulau ini,” ujarnya.

Katanya, sudah tiba masanya penduduk Pulau Redang yang berjumlah kira-kira 2000 orang menikmati kemudahan klinik kesihatan yang dilengkapi peralatan yang lebih canggih dan serba lengkap.