Halaman

24 February 2014

Panggil dan pulih akhlak pemilik `Murtad Pantai Timur'

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemilik akaun Facebook (FB)  dikenali `Murtad Pantai Timur’ perlu dipanggil segera bagi memulihkan akidahnya yang sudah jauh terpesong, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

“Sepatutnya perkara sebegitu (mencabar kuasa Allah swt), tidak berlaku di kalangan orang Islam, apabila orang Islam tidak percaya kebesaran Allah, mukjizat Allah, tidak percaya ayat Allah, mendustai Rasul, dia dianggap sudah keluar Islam dan sudah syirik.

"Kalau mengikut zaman Rasulullah s.a w.. ketika sahabat baginda Saidina Abu Bakar memerangi golongan murtad , individu terbabit perlu diberi kata dua, pertama menyeru kembali kepada jalan yang benar atau kedua, memerangi golongan itu.

“Bagaimanapun, oleh kerana individu berkenaan masih muda lagi, jabatan agama Islam negeri dia berada perlu panggil, memberi penjelasan dan juga pendidikan (pemulihan akhlak),” katanya di Majlis Penyerahan Kontrak Perkhidmatan EIO dan TSO Tahun 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin dan Pengarah Eksekutif Tesdec Sdn Bhd, Haji Rozali Salleh.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran FB `Murtad Pantai Timur’ yang menimbulkan kecaman pelbagai pihak, berikutan pos yang melampaui batas agama, termasuk mengatakan Allah s.w.t tidak wujud dan menghina Rasulullah s.a.w.

FB yang dikatakan milik seorang wanita yang pernah menjadi pelajar cemerlang di sebuah sekolah di Terengganu, memaparkan pos berunsur provakasi kepada umat Islam dengan menggunakan loghat Pantai Timur pada tulisannya.

Ghazali berkata, sekiranya tindakan segelintir individu boleh menjejaskan keharmonian, menimbulkan huru-hara dan juga perlanggaran hak agama, satu undang-undang baru yang lebih komprehensif sebagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri perlu dilaksanakan semula.

“Jika gubal dan laksana undang-undang banyak kali pun tidak akan memberi kesan sekiranya tiada penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang bersalah. Oleh itu, undang-undang serta penguatkuasaan perlu seiring dan hukuman itu perlu diuar-uarkan supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain,” katanya.