Hanya orang yang tidak pandai menilai dan memikirkan masa depan ekonomi dan perkembangan sektor pelancongan untuk kepentingan masyarakat dan rakyat menganggap pembinaan zoo di Kemaman itu membazir, kata Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid.
Bercakap kepada warga media yang membuat kunjungan hormat kepada beliau baru-baru ini, Haji Mustafar menyatakan, pulangan hasil atau pendapatan dari punggutan tiket sahaja sejak wujudnya zoo itu kira-kira 4 tahun lebih yang lalu adalah melebih RM3 juta.
“Ini belum termasuk peluang pekerjaan, perbelanjaan yang dibuat oleh pelancong yang datang ke zoo itu dan sebagainya,” kata beliau mengulas pandangan negatif sesetengah pihak terhadap langkah kerajaan negeri mewujudkan zoo yang terbesar di Malaysia itu.
Katanya, setiap hari minggu Jumaat dan Sabtu, begitu ramai pengunjung ke zoo berkenaan, malah pada hari Ahad yang merupakan hari minggu di Pahang juga pengunjung ramai ke zoo berkenaan.
Aliran perbelanjaan itu adalah membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat peniaga di Kemaman, khususnya.
Industri perhotelan, restoran dan kedai makan juga begitu berkembang di Kemaman berikutan ramainya pelancong ke daerah itu untuk melawat zoo yang kini mempunyai pelbagai binatang unik dan baru. Malahan kata beliau, pihaknya sendiri mendapatkan bekalan makanan untuk binatang itu dari pasaran tempatan Kemaman, sekaligus membantu masyarakat peniaga dan petani di daerah itu.