Halaman

23 February 2014

50 tahun perah keringat di laut.

GIGIH…Mohd Nor, 72, sedang bersiap untuk pergi menjala ikan di tepi sebuah pantai di Pulau Redang, semalam. Mohd Nor yang menjadi nelayan ketika berusia 12 tahun itu datang ke Pulau Redang sejak berusia 18 tahun dari Kelantan kerana berkahwin dengan gadis pulau itu.

Pada mulanya,beliau tinggal di rumah di atas air di Kampung Air Pulau Redang selama 20 tahun sebelum berpindah di Kampung Pinang selepas mendapat tanah dari kerajaan kira-kira 30 tahun lalu.

Selama lebih 50 tahun di Pulau Redang, Mohd Nor melihat pelbagai perubahan berlaku di Pulau ketiga tercantik di di dunia itu antaranya ialah kepesatan industri pelancongan dan kemajuan Pulau Redang.

Bapa kepada enam anak itu kini menghabiskan sisa hidupnya sebagai nelayan dengan menjala ikan di sekitar Pulau Redang dan tidak lagi keluar berpuluh kilometer memerah keringat mencari rezeki sebagai nelayan laut dalam.

“Sudah banyak tempat pak cik keluar mencari ikan termasuklah di beberapa kawasan yang jauh dari Pulau ini dan pergi dengan berhari-hari lamanya. Tetapi kini dengan usia pak cik yang semakin tua, pak cik hanya menjala ikan di tepi pantai di pulau ini,” katanya.- Aminudin Ismail.