Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) akan membangunkan kira-kira 4,000 rumah di negeri ini menerusi Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia (Prima) dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi KPHPB, Dato’ Seri Mohd. Nazrul Mohd. Arsad berkata, projek yang dianggarkan menelan kos RM400 juta itu akan dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi penyediaan tapak untuk memudahkan rakyat memiliki rumah.
Katanya, pada masa ini beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk dibangunkan melalui projek berkenaan antaranya di Marang, Kemaman, Dungun dan Besut.
Menurut beliau, sebagai permulaan dicadangkan sebanyak 1,000 unit di Marang manakala daerah lain seperti Besut sebanyak 800 unit, Dungun 700 unit dan Hulu Terengganu 100 unit.
“Projek yang mampu disiapkan dalam tempoh 18 bulan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kelulusan segera proses pengurusan arahan pembangunan di peringkat negeri.
“Langkah ini untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri dengan harga di bawah RM150,00 seunit,” katanya selepas Majlis Penyampaian Peralatan Sekolah Parlimen Marang yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang di Marang, baru-baru ini.
Pada majlis itu, sebanyak 800 pelajar menerima beg, peralatan alat tulis dan wang tunai sumbangan KPHPB yang berjumlah RM120,000.
Beliau berkata, program Prima digerakkan bertujuan memberi peluang dan membantu rakyat yang tidak mempunyai penyata gaji dan tidak bergaji tetap mampu membeli rumah melalui Skim Jaminan Kredit (SJK) .
Katanya, ia merupakan skim khas Kerajaan Pusat melalui KPHPB untuk memastikan rakyat di seluruh negara menikmati rumah mampu milik yang sekali gus membantu mencapai misi ‘satu keluarga satu rumah.’
Menurut beliau, dalam tempoh juga KPHPB akan membina kira-kira 20,000 unit rumah di seluruh negara kecuali di negeri pembangkang yang menolak program berkenaan dan bagi fasa pertama, sebanyak 10,000 unit dijangka siap tahun ini,” katanya.
Sementara itu A. Latiff memberitahu, kerajaan negeri menerima kira-kira 48,522 permohonan rumah daripada penduduk di negeri ini sehingga Ogos tahun lalu.
Beliau berkata, bagi menampung keperluan secara berperingkat, sejak 2008 hingga tahun lalu, sebanyak 29 projek perumahan telah dilaksanakan dengan jumlah 9,078 unit di seluruh negeri melibatkan perbelanjaan sebanyak RM792.5 juta.
“Pada tahun ini beberapa projek perumahan baru akan dilaksanakan yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM75 juta,” ujarnya.