Halaman

27 February 2014

Sasar 1,000 lagi sertai MR1M

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan penambahan sebanyak 1,000 lagi premis di bawah program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di seluruh negara tahun ini.

 Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah yakin jumlah itu dapat dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pengusaha kedai makan.

 Kata beliau, sehingga hari ini, sebanyak 4,367 premis termasuk 387 di Terengganu telah menyertai program itu sejak mula diperkenalkan pada 2011 yang merupakan sebahagian langkah mengurangkan bebanan pengguna.

"Daripada jumlah itu, 3,627 pengusaha MR1M termasuk 345 di Terengganu masih aktif menawarkan pakej makanan pada harga berpatutan," katanya kepada pemberita selepas melawat gerai MR1M milik Sinah Sulaiman, 61, di Kampung Losong Dato' Amar, di semalam.

 Ahmad Bashah berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap program MR1M memandangkan makanan dan minuman di premis itu dijual pada harga rendah tanpa menjejaskan keuntungan.

 Sambil merujuk kepada pendekatan diambil oleh Sinah, katanya, gerai itu sentiasa menjadi tumpuan kerana harga makanan khususnya kuih dijual serendah 20 sen selain minuman pada harga 70 sen manakala nasi dagang hanya RM1. "Pendek kata, dengan belanja RM2 saja, kita dah kenyang," katanya.

 Selain itu, katanya, sehingga hari ini, sebanyak 1,635 kedai runcit di seluruh negara termasuk 156 di Terengganu ditransformasi menerusi program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan kesemua premis itu masih aktif.

 Mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), katanya, terdapat 126 kedai itu beroperasi di seluruh negara dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 190 buah akhir tahun ini.

 Dalam kunjungan sehari ke Terengganu itu, Ahmad Bashah turut menghadiri program tinjau mesra ke premis Fir Ulik Mayang Enterprise, Hulu Terengganu serta majlis perasmian Kedai Pembekal Makanan Sejuk Beku dan Keperluan Dapur SR Food, Kuala Berang sebelum ke Dungun untuk melawat beberapa buah kedai lagi.