Halaman

23 February 2014

Kemuka Rayuan Jika Tidak Terima BR1M


Mana-mana ketua isi rumah dan individu bujang yang telah mendapat surat memaklumkan mereka tidak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 boleh mengemukakan rayuan dengan segera.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, rayuan boleh dikemukakan dengan menulis surat rayuan dan pergi ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat.

Menurutnya, kerajaan melakukan semakan di pelbagai jabatan berkaitan bagi memastikan BR1M hanya diberikan kepada yang benar-benar layak, namun terdapat kes yang mana permohonan yang layak turut ditolak atas sebab tertentu.


“Contohnya pada tahun lalu, permohonan BR1M oleh seorang bapa ditolak kerana dia baharu membeli sebuah kereta Proton Perdana.

“Namun, dia yang membuat rayuan menjelaskan bahawa kereta tersebut adalah milik anaknya dan dengan penambahan maklumat tersebut, permohonannya diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Dewan Seri Perdana Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Goh dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Shahruddin Ahmad.

BR1M 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober tahun lalu merupakan pemberian one-off atau sekali kepada semua isi rumah warganegara Malaysia bagi membantu meringankan kenaikan kos hidup.

Ahmad berkata, tempoh rayuan BR1M kali ini akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan individu bujang yang telah berkahwin untuk mengemas kini status mereka untuk melayakkan diri sebagai pencarum i-BR1M iaitu Caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia bagi mendapat faedah tertentu. – Utusan Malaysia.