Halaman
25 February 2014
Program menimba ikan dalam kubang meriah
YB Muhamad Pehimi beramah mesra dengan peserta.
Oleh: Mohammad Ishak
Program menimba ikan dalam kubang di Kampung Tok Motong, dekat sini, dilihat satu usaha murni untuk mengekalkan warisan kegiatan gotong royong penduduk tanpa mengira fahaman politik kerana ia disertai pelbagai lapisan masyarakat setempat.
Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri,Muhamad Pehimi Yusof, turut memuji usaha yang dilakukan oleh penduduk kampung terbabit yang mampu mengekalkan ciri-ciri kebudayaan lama seperti itu.
Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih ketika merasmikan program itu semalam berharap dengan acara seperti itu ia dapat mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dikalangan penduduk.
Katanya, acara menimba ikan sememangnya menjadi amalan penduduk kampung yang tinggal berhampiran sawah dan setiap musim kemarau mereka bergotong royong menimba ikan darat di dalam sawah atau kubang.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Motong, itu menarik minat penduduk setempat yang hadir menyaksikan gelagat peserta ketika menimba ikan dalam lumpur.
Penduduk, Yaakob Daud, 62, berkata beliau gembira melihat kanak-kanak dan orang dewasa yang sanggup bergelumbang dengan lumpur untuk menangkap ikan darat sepewrti keli dan haruam yang banyak terdapat dalam kubang di situ.
“Kerja menangkap ikan seperti itu agak jarang dilakukan generasi sekarang berbanding pada zaman dahulu kerana ikan darat sememangnya menjadi pilihan penduduk kampung,” katanya.