Halaman

18 April 2014

MB rasmi 'retreat' UMNO Marang.

MB berucap ketika merasmikan majlis.
Oleh: Aminudin Ismail.
Foto: Zulkifli Putra.

SERAMAI kira-kira 100 jawatankuasa UMNO Bahagian Marang menghadiri Retreat UMNO Marang 2014 yang diadakan di Gambang Resort, Pahang, malam tadi bagi mengukuhkan lagi jentera parti UMNO Bahagaian  itu terutamanya untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 nanti.

Program jati diri dan pemantapan politik itu dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said dan membabitkan semua sayap UMNO iaitu Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Marang, A.Latiff Awang, berkata dengan adanya retreat itu, beliau berharap permasalahan dan arah tuju parti dapat disempurnakan supaya UMNO Bahagian Marang akan kembali teguh dan mampu menawan semula beberapa kawasan yang tewas dalam PRU ke 13 lalu. 


Sebahagian peserta retreat yang hadir.
"Harapan saya kepada semua peserta yang menyertai retreat ini, semoga retreat kita ini dapat membuat satu rumusan yang boleh menjadi landasan kepada UMNO Marang untuk bergerak ke depan khususnya dalam usaha menawan semula kawasan yang kita tewas dalm PRU lalu.

"Retreat ini amat penting untuk kita membicarakan perkongsian dan saya mengharapkan satu idea baru, pandangan baru dan cara baru untuk kita menawan hati pengundi," katanya.

A.Latiff berkata, kini pihaknya sedang merancang beberapa stragetegi untuk menawan semula DUN Alor Limbat dan Bukit Payong yang dan satu Parlimen yang tewas dalam PRU lalu.

Latiff...yakin tawan semula Parlimen Marang.
"Insya Allah sokongan dan kerjasama yang padu semua pihak kita nampak tidak menjadi satu kepayahan untuk menang dan yang penting adalah kita semua perlu bersatupadu." katanya.

Dalam pada itu dalam ucapan perasmiannya, Menteri Besar mahu semua ahli UMNO supaya bersatupadu, bermuhasabah diri, seia sekata dan lahirkan jati diri supaya UMNO akan terus mendapat tempat di hati penduduk di negeri ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan UMNO negeri, Dato' Abdul Rahman Bakar dan beberapa pemimpin UMNO Marang.
Peserta asyik mendengar ucapan MB.

Ahmad menerima cenderahati.
Sambutan harijadi untuk MB dan Ketua Wanita Marang.
Abdul Rahman bersalaman dengan Ahmad Said sambil diperahati Latiff (kiri).

 

UMNO BAHAGIAN MARANG BERDIRI TEGUH MENYOKONG KEPIMPINAN DS HAJI AHMAD SAID SEBAGAI MENTERI BESAR DAN PENGERUSI BPUNT

Teganukita melaporkan dari Gambang Kuantan: 

 Retreat Umno Bahagian Marang Terengganu malam tadi, sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT).
  Ketua Umno Bahagaian berkenaan, YB A.Latiff Awang ketika berucap di majlis perasmian retreat itu juga menyatakan, Umno Bahagian Marang berdiri teguh di belakang Menteri Besar untuk terus membangunkan negeri dan rakyat Terengganu.
Retreat yang berlangsung di sebuah resort di Gambang Kuantan bermula semalam telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Retreat Umno Bahagian itu membabitkan semua saf kepimpinan peringkat Bahagian dan sayap-sayap termasuk jawatankuasa veteran Umno bahagian berkenaan.
 Dato’ Seri Haji Ahmad melahirkan ucapan terima kasih di atas sokongan itu dan meminta usaha memperkukuhkan parti terus dilakukan terutama bagi mengekalkan kemenangan di kawasan yang telah dimenangi BN dan mengatur strategi bagi mengambil balik kawasan yang tewas.
 Tujuan diadakan retreat di semua peringkat sebagaimana keputusan BPUNT ialah untuk mengkaji kekuatan dan kelemahan dan seterusnya mengatur strategi ke arah memperkukuhkan UMNO dan BN, terutama bagi persiapan awal menghadapi pilihan raya akan datang.


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said baru sahaja selesai merasmikan Retreat Umno Bahagian Marang di Gambang, Kuantan. - Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra.

Dato' Seri Haji Ahmad Said memberi tepukan kepada peserta Retreat Umno Marang ketika merasmikan program itu di Gambang, Kuantan, malam ini.






17 April 2014

Farhan ajak rakan bangkit

Oleh: Aida Abd Rahman

Tonggak Terengganu, Nor Farhan Mohamad , mengajak rakan sepasukan supaya bangkit semula dan menebus kegagalan lalu untuk menghasilkan kemenangan dalam perlawanan akan datang.

Menerusi status yang dikongsi di Facebook miliknya tengah malam tadi, anak kelahiran Marang itu  mengingatkan rakan seperjuangan supaya melakukan yang terbaik serta membuang jauh segala perkara negatif yang boleh merencatkan fokus ketika di padang.

`Kata-kata semangat’ Nor Farhan itu susulan kegagalan Terengganu menjinakkkan PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Selasa lalu biarpun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Perlawanan itu berkesudahan dengan Terengganu membawa pulang satu mata, selepas tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan.

 Sebelum itu, pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim mengalami kekalahan mengejut kepada Sarawak, 1-2, pada 11 April lalu, di laman sendiri.

Dalam pada itu,  Terengganu akan menentang Perak, di Kuala Terengganu pada Sabtu ini.

Nor Farhan yang turut tersenarai dalam skuad kebangsaan selepas disunting jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan untuk menghasilkan kejayaan perlu disertai dengan usaha yang bersunguh-sungguh dan bukan boleh `dibeli’ dengan wang ringgit semata-mata.

Status yang mendapat 300 `likes’ itu turut menerima mendapat pelbagai reaksi positif menerusi 25 komen peminat dan penyokong bola sepak tempatan, khususnya dari Terengganu .

 “Ayuh bangkitlah semua pemain Terengganu.Memang sukar untuk kekal konsisten..ada hari bagus, ada hari serba tidak menjadi..jadikan kekalahan semalam sebagai pembakar semangat untuk berjaya. 

 “Kita mencari dan membina kejayan bukan membeli kejayaan dan mahu berjaya memang memakan masa. Yang penting kita ikhlas dan jujur dalam tugas yang diberikan. Ambil kritikan yang membina dan usah dilayan yang negatif. Marilah kita bersatu dalam menaikkan martabat bola sepak negeri. Kejayaan pasti datang. Insha-Allah. Peteh Ganu Peteh”

 

Kilang besi RM3.4 billion beroperasi awal tahun depan- MB

Kilang besi Eastern Steel di Kemaman sedang dalam pembinaan.

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kilang besi yang membabitkan pelaburan berjumlah sebanyak RM3.4 billion sedang dalam pembinaan di Kemaman dan dijangka siap pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.
Menteri Besar, Dato'  Seri Haji Ahmad Said mendengar taklimat operasi di Stesyen Janaelektrik Sultan Ismail, Paka, Kemaman.

Kilang besi Eastern Steel yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada 1,500 orang itu adalah usahasama dengan sebuah syarikat dari China . Ia antara beberapa buah kilang besi yang akan diwujudkan di Kemaman.


"Sekarang ini kerja-kerja pembinaan kilang besi Eastern Steel dalam pertengahan siap dan mulai akhir tahun ini atau awal tahun kita akan beroperasi,” katanya ketika berucap di Majlis Lawatan Tapak Menteri Besar Terengganu di Stesyen Janaelektrik Sultan Ismai (SJSI) Paka, di Paka, hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga sedang dalam perbincangan dengan syarikat Hyundai dari Korea untuk membuka sebuah kilang besi di kemaman yang membabitkan pelaburan sebanyak 6.6 billion.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Ekskutif TNB, Dato’ Seri Azman Mohd dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta beberapa pegawai tinggi TNB Terengganu.

Sehubungan itu, dengan pertumbuhan lebih banyak kilang besi dan industri lain di negeri ini termasuklah di Kemaman, beliau mahu Tenaga Nasiona Berhad (TNB) lebih bersedia menyediakan bekalan tenaga yang mencukupi kepada kilang dan industri itu.

“Kita sedang berusaha untuk menarik pelabur-pelabur besar ke Terengganu, bila pelabur besar datang, kilang besar datang, yang untung adalah TNB juga, katanya.

“Pelabur tentunya mahu bekalan elektrik yang mencukupi sebagai syarat untuk mereka datang membuat pelaburan, membina kilang dan sebagainya.,” katanya.

Dalam ucapannya itu juga Ahmad turut memberitahu bahawa kerajaan negeri sedang berusaha terus memajukan industri pelancongan negeri ini terutamanya Tasik Kenyir sebagai sebuah destinasi pelancongan terkenal di dunia.

“Kita juga akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik bebas cukai yang pertama di dunia dan dijangka akan siap sepenuhnya pada akhir tahun depan,” katanya.

.

Menteri Besar, Dato'Seri Haji Ahmad Said melawat Stesen Jana Elektrik Sultan Ismail, Paka, Terengganu. -gambar2 oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar disambut kakitangan Stesen Jana Elektrik Sultan Ismail, Paka.









Sebarkan keindahan Terengganu ke seluruh dunia- Menteri Besar.

Ahmad Said bertanya sesuatu kepada seorang peserta luar negara ketika menyampaikan cenderahati, sambil diperhatikan Mohd Jidin.
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI kira-kira 200 peserta dalam dan luar negara Festival Mencandat Sotong Terengganu 2014 diraikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said dengan jamuan makan malam dan majlis penyampaian cenderahati di kediamannya, di Kuala Terengganu, malam tadi.

Majlis yang turut disertai beberapa exco kerajaan negeri dan beberapa jemputan khas yang lain itu turut dihidangkan dengan pelbagai juadah tempatan dan tradisional untuk peserta dan dihiburkan dengan irama tradisional melayu. 

Dalam ucapannya, Ahmad berterima kasih kepada semua yang menjayakan festival itu termasuklah pihak urusetia dan katanya, kerajaan negeri akan menjadikan Festival ini lebih hebat lagi pada masa hadapan.

Seorang peserta meminta tandatangan MB.
Ahmad berkata, jemputan beberapa wakil media cetak, elektronik dan bloger dari dalam dan luar negara adalah bertepatan untuk memastikan setiap maklumat tersebar di serata dunia.

"Perbelanjaan membiayai program seperti ini mendapat pulangan segera melalui penyebaran berita dan informasi program disamping nilai media yang mencecah jutaan ringgit.

"Saya mengharapkan peserta yang menyertai festival mencandat sotong ini supaya menyebarkan segala pengalaman indah yang mereka lalui sepanjang berada di negeri ini melalui media dan blog masing-masing supaya Terengganu akan lebih dikenali diserata dunia," katanya.

Beliau juga mengharapkan peserta akan datang kembali ke Terengganu pada festival akan datang kerana mereka akan dibawa ke beberapa lagi tempat yang menarik di negeri ini.

Di akhir ucapanya Menteri Besar sempat berpantun: "Daun Selasih Ikan Puyu, Terima Kasih Untuk You".

Turut hadir ialah Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah.

Kumpulan wartawan, jurugambar dan bloger dari dalam dan luar negara ini akan pulang hari ini selepas tiba di Kuala Terengganu 11 April lalu.

Antara jemputan khas yang hadir.
Peserta asyik mendengar ucapan MB.

Seorang bloger menerima cenderahati.

Jurugambar asyik merakam gambar MB berucap.

Durian turut dihidang.
Mohd Jidin memberi seorang peserta isi durian.

Seorang peserta luar negara mencuba durian.
Antara jemputan yang hadir.

 

16 April 2014

Lelaki mati sesak nafas di kebun terbakar/ Tenung isteri sebelum keluar ke kebun.

Rohani menunjukan IC arwah Roslan.
Oleh: Aminudin Ismail.

SEORANG pekebun kelapa sawit, Roslan Abdul Manaf, berusia 55 tahun dari Kampung Anak Ikan, Besut ditemui mati dalam keadaan sebahagian tubuhnya terdapat kesan terbakar di satu kebun kelapa sawit di Kampung Alor Serdang, Bintang, Setiu, petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Mohamed berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui kira-kira jam 7.55 petang.

"Tempat si mati djumpai didapati ada sebahagian semak yang terbakar. Adalah dipercayai mangsa mungkin mengalami sesak nafas dan terjatuh ketika berada kawasan itu dan api pembakaran menyambar badan si mati," katanya.

Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa bekenaan.

Suasana rumah arwah Roslan, hari ini.
Dalam pada itu, isteri pekebun yang meninggal dunia itu, Rohani Omar, 41, ketika ditemui di rumahnya, hari ini berkata beliau redha dengan kehilangan suaminya itu walaupun terpaksa menghadapi tugas yang berat untuk menyara enam anaknya selepas kematian suaminya itu.

"Dua tiga hari sebelum kejadian arwah suami saya agak pendiam malah pada pagi dia nak ke kebun tu, dia tenung saya agak lama seolah-olah ada sesuatu akan berlaku, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah adik ipar saya beritahu, dia meninggal di kebun.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ia adalah ketentuan ilahi walaupun selepas ini saya terpaksa menjaga sendiri anak-anak saya tanpa suami," katanya.


Portal Kerajaan Negeri, sembilan jabatan lain perolehi penarafan lima bintang

Oleh: Aida Abd Rahman

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu (MDS), Haji Sameun Salleh menerima sijil cemerlang selepas laman web dan portal MDS turut tersenarai memperolehi penarafan lima bintang
Laman web dan portal kerajaan negeri berjaya memperolehi penarafan lima bintang menerusi Penilaian Portal dan Laman Web Kerajaan (MGPWA) 2013.

Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu yang dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan itu mengekalkan kejayaan dan mendapatkan pengiktirafan berkenaan untuk tahun keempat berturut-turut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kejayaan penarafan lima bintang portal kerajaan negeri itu merupakan satu pengiktirafan kepada jabatan kerajaan negeri. Malah penarafan tertinggi itu turut dikongsi sembilan portal dan laman web jabatan kerajaan yang lain.

"Penarafan yang dilaksanakan Multimedia Development Corporation (MDeC) terhadap kira-kira-kira 1,583 portal seluruh Malaysia itu menyaksikan sepuluh laman web dan portal jabatan dan agensi kerajaan negeri memperolehi lima bintang,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini.

Sebahagian kakitangan Wisma Darul Iman mendengar amanat Setiausaha Kerajaan Negeri sempena perhimpunan bulanan
Lain-lain jabatan kerajaan yang memperolehi penafaran lima bintang, Majlis Daerah Hulu Terengganu (90 mata) di kedudukan ke 51 daripada 1,053 laman web dan portal; Majlis Daerah Marang (89); Majlis Daerah Setiu (89 ); Majlis Perbandaran Dungun (88 mata); Majlis Perbandaran Kemaman (87); Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (86); Pejabat Daerah dan Tanah Dungun (85) Majlis Daerah Besut (83) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu (83).

Sebanyak 41 laman web dan portal dari Terengganu dinilai oleh MDeC pada tahun lalu.

Daripada keseluruhan yang dinilai itu, selain 10 jabatan (lima bintang), satu jabatan (dua bintang), sembilan jabatan (tiga bintang) dan 21 jabatan mendapat empat bintang.

Susulan itu, beliau mengucapkan tahniah dengan kejayaan itu dan meminta supaya semua jabatan memperkasakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi menerusi talian bagi memberi manfaat kepada semua pengguna khususnya kakitangan dan orang ramai yang berurusan dengan agensi kerajaan.

Selain itu, beliau juga mengingatkan semua pegawai dan kakitangan supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam pengurusan seharian di jabatan masing-masing khususnya dalam penggunaan utiliti seperti air dan elektrik.

Katanya, langkah penjimatan itu juga perlu dalam pengubahsuaian ruang pejabat, penyediaan hadiah dan cenderahati dalam majlis kerajaan, penggunaan kain pemidang, banting, banner dan billboard.

“Saya memohon semua ketua jabatan dan ketua unit memantau perkara itu bagi memastikan tiada pembaziran serta mematuhi peraturan kewangan dan pekeliling yang ditetapkan,” katanya.

 

15 April 2014

Sidang DUN: Pembangkang pertikai 3 pokok kelapa sawit dapat RM150 sebulan.

Oleh: Aminudin Ismail. 

MENGUNJUNGI Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu, hari ini, (15hb April) penulis tertarik mengenai keraguan seorang wakil rakyat pembangkang yang bertanyakan mengenai apakah benar menanam tiga pohon kelapa sawit di sekitar kawasan rumah mampu memperolehi pendapatan sekitar RM150 sebulan.

Soalan itu dikemuka ketika apabila wakil BN Hulu Besut, Nawi Mohamad memberitahu bahawa dengan menanam tiga pohon pokok kelapa sawit di sekitar kawasan rumah, seseorang itu mampu memperolehi pendapatan sekitar RM150 sebulan.

Kenyataan itu dicelah oleh wakil Paka yang mempersoalkan kenyataan wakil BN itu, apakah benar penduduk mampu memperolehi pendapatan sebanyak itu dengan menanam tiga pokok kelapa sawit di kawasan rumah.

Selepas itu Wakil Rakyat Jabi, Mohd Iskandar Jaafar pula mencelah, jika mahu tahu samada kenyataan itu benar atau tidak beliau menjemput Wakil Rakyat PAS itu ke Jabi untuk melihat sendiri bagaimana menanam tiga pokok kelapa sawit kawasan rumah seseorang itu mampu memperolehi pendapatan sekitar RM150 sebulan.

Sebagai seorang Exco Pertanian, tentunya Nawi akan membuat kajian dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan kerana ia membabitkan usaha kerajaan untuk membantu rakyat. Kenyataan bahawa penduduk akan mendapat sekitar RM150 sebulan dari tiga pokok kelapa sawit itu ada juga logiknya walaupun dipertikai pembangkang.

Seorang pengurus Ladang Kelapa Sawit Sime Darby Plantation yang juga rakan penulis ketika dihubungi memberitahu bahawa tiga pokok kelapa sawit boleh memberi pendapatan sekitar RM150 sebulan kepada penanamnya.

Katanya, 10 hingga 20 pokok kelapa sawit yang matang dan musim berbuah yang baik mampu mendapat satu tan buah dan harga sekarang di Terengganu ialah sekitar RM700 satu tan.

“Secara ringkasnya, setiap pokok sawit mampu menghasilkan tiga tandan segar sepokok dan boleh dituai dalam masa sebulan. Sekiranya tiga pokok diambil kira, jumlah tandan yang diperolehi ialah sembilan. Jumlah ini akan didarabkan dengan purata berat tandan segar (ABW) iaitu 25 kg untuk setandan.

"Jadi jumlah yang diperolehi adalah 225kg. Harga pasar untuk satu tan matrik kelapa sawit terkini dalam lingkungan 750 satu tan metrik. 225kg tadi di kali dengan 0.75, penanam akan mendapat RM168 sebulan untuk tiga pokok tadi,"

Daripada kenyataan itu, jelaslah dengan usaha kerajaan mengalakan penanaman pokok kelapa sawit di kawasan rumah adalah sesuatu langkah yang baik untuk menambah pendapatan keluarga.

Jika mahu tanam tentunya orang tidak akan tanam tiga pokok malah lebih lagi dan ini akan memberi pendapatan yang lebih.

Kenyataan Nawi memang betul dan berfakta, selain itu kenyataan itu juga bertujuan untuk memberi perangsang kepada penduduk supaya menanam pokok kelapa sawit di kawasan rumah walaupun hanya tiga pokok dan dengar ceritanya beberapa rumah di Dun Jabi sudahpun melaksanakannya.