Halaman

25 April 2014

“TERENGGANU TIDAK PERLU ADA PERTUKARAN MENTERI BESAR” KATA KETUA UMNO BESUT-NAWI MOHAMAD.



"Jangan Keruhkan keadaan yang sudah jernih" kata Ketua UMNO Setiu, Dato' Mat Jidin 



KESETIAAN kepada pemimpin adalah satu syarat penting untuk mencapai kejayaan.

Pucuk pimpinan negeri tidak lain dan tidak bukan adalah Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Walaupun ada pelbagai pihak yang cuba mencetuskan isu kononnya Menteri Besar itu dan beberapa orang Menteri Besar lain hendak diganti, tetapi di saat inilah sebenarnya kesetiaan terhadapnya teruji.

Ada yang berani dan lantang mempertahankan pucuk pimpinan negeri, sepertimana Ketua Umno Bahagian Marang yang telah mengambil ketetapan dalam satu retreat Umno Bahagian itu menyokong penuh Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri yang diberi kepercayaan oleh Menteri Besar berkata, Umno Bahagian Marang berdiri teguh mendokong kepimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Terbaru Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafee menegaskan, tiada keperluan untuk diperbesarkan isu pertukaran Menteri Besar Terengganu yang kini hangat diperkatakan oleh pihak tertentu.

 Terbaru Ketua Nawi merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri menyatakan sokongan penuh kepada Dato’ Seri Haji Ahmad.


Haji Nawi  berkata, beliau menyokong kewibawaan Ahmad untuk terus mengetuai pentadbiran Terengganu.

“Terengganu tidak perlu ada pertukaran Menteri Besar. Berita itu dari orang yang tidak suka dengan politik di Terengganu yang harmoni sekarang,” ujarnya.

 Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafee pula menegaskan, tiada keperluan untuk diperbesarkan isu pertukaran Menteri Besar Terengganu yang kini hangat diperkatakan oleh pihak tertentu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata, spekulasi Dato’ Seri Ahmad akan digantikan dengan Menteri Besar yang baru tidak perlu diperdebatkan.

“Jangan keruhkan keadaan yang sudah jernih,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Teganukita.







Gotong-royong bina surau Gong Jenaras.

Pelan Surau baru.
Oleh: Aminudin Ismail.

PUSAT Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi mengambil inisiatif membantu membina semula Surau Kampung Gong Jenaras, Tempinis yang berusia kira-kira hampir 40 tahun, secara gotong royong melalui wang sumbangan orang ramai bagi mengembalikan tradisi asal pembinaan surau itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, surau itu terpaksa dibina semula kerana ia tidak mampu lagi dibaikpulih berikutan terdapat banyak kerosakan dan tidak dapat digunakan dengan sempurna.

Iskandar ketika berada di tapak pembinaan surau.

"Pada asalnya surau ini dibina secara gotong royong, jadi pihak jemaah surau bersetuju untuk membina surau ini mengikut amalan tradisional dahulu iaitu membina secara gotong royong.

"Kita sudahpun melancarkan tabung sumbangan untuk membina semula surau tidak lama dulu dan Alhamdulillah sambutan daripada orang amat mengalakan dan pembinaanya sudahpun dimulakan beberapa hari lalu," katanya.

Iskandar berkata, dalam hal ini kerajaan bukan tidak mampu mengeluarkan peruntukan bagi membina semula surau ini tetapi ia adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat amal dengan menghulurkan derma bagi menyiapkan surau ini.
Kerja mengalih struktur surau lama.

 

24 April 2014

Program Khidmat Bantu Di Rumah dan mamogram untuk 100 peserta laksana tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua pusat dialisis baru, 100 wanita di setiap parlimen perlu menjalani pemeriksaan mamogram dan 100 peserta menyertai Program Khidmat bantu Di Rumah (Home Help Services) di seluruh Terengganu pada tahun ini.

Program itu antara sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menerusi portfolio kesihatan, pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat negeri sebagai menyokong satu daripada 11 Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA), iaitu Mempertingkatkan kualiti Kehidupan Rakyat.

Pengerusi jawatankuasa portfolio itu, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof berkata, sasaran yang ditetapkan menerusi SKRA jelas menjadi tunjang untuk menacapai gasasan negeri, Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

"KPI menerusi portfolio saya ini membuktikan kerajaan amat prihatin, cakna dan mementingkan kesihatan serta kebajikan rakyat khususnya golongan yang miskin dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

"Bagi menjayakan KPI ini, pegawai kerajaan memerlukan kerjasama pemimpin setempat seperti JKKK selaku jentera kerajaan di peringkat akar umbi supaya peka dengan masalah dan keperluan masyarakat sekeliling agar rakyat tidak tercicir dari mendapat kemudahan itu,” katanya kepada Teganukita.my, hari ini.

Selain tiga sasaran dalam aspek kesihatan, KPI lain bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat termasuk menetapkan 100 penerima bantuan sedia ada mampu berdikari melalui aktiviti keusahawanan menerusi Program Bantuan Kebajikan Masyarakat, 360 pasangan menyertai Program Bulan Madu Kedua dan 50 pasangan di setiap parlimen menyertai Perkahwinan Perdana 1 Terengganu (PP1T) pada 2014.

Selain KPI bagi menyokong SKRA menerusi Program Transformasi Terengganu (PTT) yang dilancarkan Menteri Besar, pada selasa lalu, YB Muhammad Pehimi berkata, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai inisiatif dan bantuan kesihatan serta kebajikan lain yang tiada di mana-mana negeri, sejak dahulu lagi.

 “Kita memperuntukkan RM77 juta bagi mengisi tabung dana khas yang bertujuan untuk pembangunan kesihatan negeri sejak 2008 sehingga tahun lalu. Malah, sejumlah RM500,000 lagi ditambah baru-baru ini untuk dana perubatan yang menjadikan keseluruhan RM2.5 juta, semata-mata meningkatkan taraf kesihatan rakyat Terengganu.

Tabung Dana Khas terbahagi kepada dua iaitu bertujuan menaiktaraf perkhidmatan perubatan (RM62 juta) dan kebajikan sosial perubatan (RM15 juta).

Selain itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu memperuntukkan RM22 juta bagi membuka pusat perubatan pakar harian, Pusat Perubatan iHeal bertempat di Midvalley, Kuala Lumpur dengan menguasai 60 peratus kepentingan sahamnya.

“Pusat Perubatan iHeal merupakan pusat perubatan pertama seumpamanya milik kerajaan negeri, dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Multislice CT Scan tercanggih yang mengandungi 640 slice berharga lebih RM8 juta, dibangunkan untuk orang ramai termasuk rakyat Terengganu yang memerlukan rawatan pakar dan segera disebabkan penyakit kronik.

 “Bukan sahaja iHeal, Kerajaan Terengganu juga mempunyai empat lagi pusat perubatan iaitu Kelana Jaya Medical Centre di Selangor, Kuantan Medical Centre di Pahang, Taman Desa di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu Specialist Hospital di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, keprihatinan kerajaan tidak terbatas kepada pesakit jantung sahaja kerana pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan menggunakan mesin hemodialisis juga diberi tumpuan apabila menyediakan 128 mesin hemodialisis bernilai RM16 juta kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu yang merawat 467 pesakit.

 

IDRIS JALA PUJI DAN UCAP TAHNIAH KEPADA MB TERENGGANU


Tidak mudah bagi seorang Menteri yang cukup berintegriti, Dato’ Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) memuji dan mengucap tahniah kepada seorang Menteri Besar.
 Namun baru-baru ini sewaktu hadir ke Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri, Datuk Seri Idris Jala menyatakan tahniah kepada kerajaan negeri Terengganu pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang telah memperkenalkan Program Transformasi Terengganu (TTP).
 Idris Jala yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan) menyifatkan apa yang dilakukan oleh Dato’ Seri Ahmad itu selaras dengan transformasi di peringkat pusat.
 Semasa menjawab soalan wartawan di sidang akhbar selepas majlis Ucaptama Negeri dan pelancaran SKRA itu, Idris berkata, harapan dan wawasan Menteri Besar Terengganu itu amatlah jelas sekali (merujuk kepada ucaptama negeri yang disampaikan oleh Dato’ Seri Ahmad) di majlis itu.
 Beliau juga merujuk secara positif kepada Memorandum Persefahaman (MoU)yang ditandatanganinya dengan kerajaan negeri yang akan memudahkan panduan dan penyelarasan transformasi yang hendak dibuat, pusat dan negeri.
 Terengganu menjadi negeri pertama yang melaksanakan usahasama dengan Pemandu, dalam mencapai KPI dan SKRA negeri.
 Oleh itu, tentulah di sini amat jelas keupayaan dan kehebatan Dato’ Seri Haji Ahmad dalam membuat kerangka pembangunan dengan penuh perancangan dan kaedah perlaksanaan yang berstrategik.
 Kalau ada pihak tertentu yang cuba memperkecilkan kebolehan Dato’ Seri Ahmad seorang pemimpin yang berpengalaman itu, ia hanyalah kerana rasa dengki, iri hati dan tidak puas hati.

JPNT Anjur Pertandingan Pidato

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Pertandingan Pidato 1 Malaysia 2014 peringkat negeri di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.

 Pemangku Pengarah Jabatan itu, Mustaffa Abd Kadir, berkata pertandingan yang akan diadakan pada 29 April itu disertai 11 peserta terdiri daripada bukan Melayu iaitu India, Cina, Iban, Melanau dan Timor.

 Lima tajuk disediakan berkaitan isu semasa iaitu Kreativiti dan Inovasi Pencetus Kecemerlangan Bangsa; Transformasi Membentuk Negara Sejahtera; Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Pemangkin Ekonomi Negara, Resionalisasi Subsidi Ke Arah Negara Yang Lebih Mampan dan Mengawal Kenaikan Harga Barangan Tanggungjawab Bersama.

Katanya, pertandingan yang dianjurkan setiap tahun bermula 2011 itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia dan memupuk serta menyuburkan semangat pepaduan dikalangan anggota masyarakat.

 “Pihak kami berharap pertandingan ini dapat memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu oleh pelbagai kaum dan kehidupan harian serta meningkatkan rasa kecintaan kepada negara.

 “Pertandingan kali ini menawarkan hadiah keseluruhan RM4500 dengan juara menerima RM1,500, kedua (RM1,000), ketiga (RM500) dan lima hadiah saguhati RM300 bagi setiap peserta,” katanya.

Pertandingan itu bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang.

 

23 April 2014

Zon Selatan Muncul Juara Bola MSSD Setiu.

KAMI JUARA...Pasukan Zon Setiu Selatan (ZSS) bergambar kenangan bersama guru mereka selepas dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Bolasepak Bawah 12 tahun MSSDS yang berlangsung di Padang SK Tayor, Setiu, hari ini.

Zon Setiu Selatan yang menampilkan beberapa pemain yang berkebolehan terpaksa bertarung sengit dengan lawanya di perlawanan akhir itu, pasukan Zon Setiu Utara (ZSU) di mana pada separuh pertama Zon Setiu Selatan hanya mampu mendapat satu gol.

Abdullah sampaikan medal kepada juara.
Bagaimana kecuaian barisan pertahanan Zon Setiu Utara menyebabkan ZSS mengambil kesempatan dengan menambah lagi satu gol sebelum ZSU membalas satu gol menjadikan kedudukan perlawanan berakhir dengan ZSS menang 2-1.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Guru Besar SK Batu 29 yang juga Naib Yang Di Pertua Majlis Guru Besar, Abdullah Awang.

"Perlawanan peringkat negeri(MMST) akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 15 Mei ini, beberapa pemain sudahpun disenaraikan untuk mewakili Daerah Setiu ke perlawanan itu nanti," kata urusetia perlawanan.- Aminudin Ismail

 

Felcra-Epic Jalin Kerjasama Jadikan Pelabuhan Kemaman Hab Baja Dan Produk Pertanian

Oleh: Noraini Jusoh

Felcra Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (Epic) bagi menjalin kerjasama menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama baja dan produk agrikultur dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Mou itu memberikan satu nilai tambah baharu kepada pelabuhan Kemaman.

“Pelabuhan Kemaman berkemampuan menampung keperluan pelabur untuk membawa masuk kapal yang bersaiz besar dan mempunyai peralatan mencukupi bagi tujuan tersebut.

“Dengan adanya MoU ini, segala kemudahan yang terdapat di pelabuhan Kemaman dapat digunakan Felcra bagi membawa masuk barang berasaskan baja dan produk-produk untuk pertanian terutamanya dari negara luar terutama Rusia dan negara-negara lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Epic dengan Felcra di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Moktar Radin. Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya akan manfaatkan sepenuhnya kemudahan Pelabuhan Kemaman menerusi jalinan kerjasama ini.

“Kita akan membawa pelabur-pelabur luar negara dalam bidang baja, ternakan dan bahan-bahan perikanan yang lain dan akan menggunakan kemudahan ini sebagai pusat sehenti bagi pengedaran tempatan dan juga luar negara,” katanya.


 

Ahmad Said tenang, kekal tiada komen berhubung tukar MB

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang terus menjadi `tumpuan’ berhubung spekulasi yang bertiup kencang di media sosial mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi negeri sejak beberapa hari lalu, tetap tenang menangkis isu itu.

“Biarlah dia (penulis blog) membuat keputusan. Saya sudah katakan bahawa Terengganu 17-15, jadi dalam keadaan begitu, mengapa kita mahu mewujudkan keadaan yang tidak stabil dan sebagainya.

"Itu sahaja. Tidak perlulah dan jika dia pandai ulas dan tukang lantik (Menteri Besar) jadi biar dia buat keputusan (pertukaran). Saya tidak tahu dan saya katakan perkara ini tidak betul, penulis blog kata betul, saya kata betul, ada yang kata tidak betul, jadi nak buat macam mana. Kita orang politik ini, macam-macam spekulasi,” katanya di sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Epic Berhad, Encik Ramli Shahul.

Susulan isu berkenaan serta beberapa fitnah mengenai peribadi serta pentadbiran negeri yang hangat di media sosial sejak dahulu lagi, menyebabkan beliau tidak lagi mempercayai kenyataan menerusi medium itu.

“Sebab itu sekarang saya tidak mempercayai Facebook dan blog serta semua sekali (media sosial). Malah, saya sudah menutup akaun Facebook saya, tetapi masih ada dua, orang yang `klon’ nama saya, satu berdaftar di Amerika Syarikat dan satu lagi Singapura.

 “(Fitnah) saya berpeluk dengan Neelofa, berkahwin dan bersandinglah. Macam-macamlah. Kalau betul tidak mengapa, kita tiada masalah,” kata beliau sambil berseloroh bagi mengulas isu berkenaan.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tersebar di laman sosial dan blog, yang mengaitkan sumber yang boleh dipercayai daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak memetik sebagai berkata, bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

YPKT Perkenal Program Renang

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bakal memperkenalkan program renang melibatkan kanak-kanak Taska Permata Keluarga (TPK) dalam tempoh terdekat sebagai usaha memperkuatkan minda dan ketahan fikizal.

 Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, program tersebut mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam menyediakan program latihan asas kepada guru-guru taska yang terlibat.

 Katanya, kursus Latihan Kejurulatihan Asas Renang (TOT) selama empat hari itu telah bermula pada 6 hingga 9 April yang lalu, melibatkan seramai 20 orang guru pembimbing TPK di negeri ini.

“Kursus itu memberi pendedahan mengenai teknik asas renang yang betul kepada guru-guru, sebelum mereka dapat membantu dan membimbing kanak-kanak agar mampu berenang dengan betul dan selamat.

 “Perlaksanaan program renang itu, sebagai satu persediaan dan kemahiran diri kanak-kanak ia juga bersesuaian dengan cabaran hari ini di mana kemudahan permainan air disediakan di serata tempat termasuk di pusat rekreasi dan peranginan,” katanya.

 Beliau berkata, kursus TOT sebelum ini telah di laksanakan di pusat Akuatik Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dengan melibatkan seramai empat orang jurulatih dari MSN.

 “Kursus selama empat hari itu juga telah dilengkapkan dengan latihan praktikal di mana pelatih turut melakukan ‘microteaching’ kepada 20 orang kanak-kanak taska dari Taska Permata Keluarga, Batu Buruk,” katanya.

 

Kadar biasiswa sekolah agama negeri dinaikkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bakal menaikkan kadar biasiswa kepada pelajar sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) seluruh Terengganu, mulai bulan depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said berkata, tambahan kadar biasiswa kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima SMKA sebanyak RM20 menjadikan jumlah RM70 sebulan berbanding RM50 sebulan sebelum ini.

“Sementara pelajar Tingkatan Enam Bawah dan Atas (SMKA) juga bertambah daripada RM70 kepada RM90 sebulan,” katanya di sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Epic Berhad, Encik Ramli Shahul Hamed.

Untuk rekod, SMKA di negeri ini adalah SMKA Durian Guling, Marang; SMKA Nurul Ittifaq dan SMKA Wataniah, Besut; SMKA Sheikh Abdul Malek serta SMKA Dato' Haji Abas (SMKA Tok Jiring), Kuala Terengganu.

Sementara itu, Dato' Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mewartakan kawasan berkeluasan lebih 100,000 hektar di Rantau Abang, Dungun yang mempunyai pokok gelam sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal di Terengganu.

“Kawasan di sepanjang Rantau Abang yang mengandungi pokok gelam, kita gazetkan sebagai hutan simpan kerana kita dimaklumkan bahawa dahulu kita diberi sebahagian, tetapi sekarang kita mahu sepenuhnya kerana ini merupakan satu lagi keunikan yang terdapat di Terengganu.

 “Sekarang ini untuk mendapatkan kawasan hutan gelam yang sangat cantik dan menarik amat sukar sebab itu kita simpan untuk masa depan,” katanya.

Menurut Menteri Besar, keputusan mewartakan kawasan hutan simpan untuk masa depan itu bertujuan sebagai kawasan tadahan air, rekreasi, pendidikan serta sebagainya.