Halaman

23 April 2014

Felcra-Epic Jalin Kerjasama Jadikan Pelabuhan Kemaman Hab Baja Dan Produk Pertanian

Oleh: Noraini Jusoh

Felcra Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (Epic) bagi menjalin kerjasama menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama baja dan produk agrikultur dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Mou itu memberikan satu nilai tambah baharu kepada pelabuhan Kemaman.

“Pelabuhan Kemaman berkemampuan menampung keperluan pelabur untuk membawa masuk kapal yang bersaiz besar dan mempunyai peralatan mencukupi bagi tujuan tersebut.

“Dengan adanya MoU ini, segala kemudahan yang terdapat di pelabuhan Kemaman dapat digunakan Felcra bagi membawa masuk barang berasaskan baja dan produk-produk untuk pertanian terutamanya dari negara luar terutama Rusia dan negara-negara lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Epic dengan Felcra di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Moktar Radin. Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya akan manfaatkan sepenuhnya kemudahan Pelabuhan Kemaman menerusi jalinan kerjasama ini.

“Kita akan membawa pelabur-pelabur luar negara dalam bidang baja, ternakan dan bahan-bahan perikanan yang lain dan akan menggunakan kemudahan ini sebagai pusat sehenti bagi pengedaran tempatan dan juga luar negara,” katanya.