Halaman

22 April 2014

Semua sambut baik ucaptama MB

Oleh: Aminudin Ismail.

MAJLIS Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini menyaksikan kira-kira 2,000 jemputan hadir yang terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri, wakil UMNO Dun, Pengerusi JKKK, Badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai.

Tinjauan Teganukita pada majlis yang memberi tumpuan kepada ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Said itu, rata-rata hadirin memuji ucapan itu dan menganggap Ahmad adalah pemangkin untuk terus memakmur dan memajukan negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, ucapan MB itu perlu dihayati semua penduduk di negeri ini kerana ia membabitkan soal masa rakyat dan masa depan negeri supaya terus maju dan makmur.

"KRA negeri adalah satu panduan tepat untuk memastikan pelaksanaan program-program pembangunan negeri berjalan lancar. Dengan adanya KPI sebanyak 41 yang ditetapkan ini, ia mengikat kerajaan negeri supaya tidak lari dari perancangan asal yang dirumus dengan mengambil kira keperluan semua rakyat.

"Ini adalah satu komitmen kerajaan negeri dan menunjukan kesungguhan BN dibawah pimpinan Dato' Seri Ahmad Said untuk menunaikan janji PRU 13 lalu," katanya.

Alina..ucapan yang bagus.
Bagi Nor Alina Kamaruddin daripada JKKK Masjid Haji Said Marang berkata, ucapan Menteri Besar Terengganu itu adalah untuk pembangunan negeri ini.

"Ucapan MB tadi memang bagus, ia adalah untuk pembangunan masa akan datang. Harapan saya ialah supaya semua rakyat Terengganu terus memberi sokongan supaya negeri Terengganu terus maju di masa hadapan," katanya.

Seorang kakitangan kerajaan negeri, Ibrahim Othman, berkata ucapan MB itu melihat kepada keberhasilan utama negeri yang melibatkan produk-produk yang perlu diketahui.

"Sesuai dengan tema kerajaan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan negeri maka produk yang diterjermahkan kerajaan itu nampak membuahkan hasil dan natijahnya ia memberi keuntungan kepada rakyat semua," katanya.

Mohd Zakaria Pengerusi JKKK Alor Selising, Jerteh pula menyifatkan ucapan MB itu sesuatu yang amat baik.

Zakaria..tepat.
"Ucapan MB kita tadi memang bertepatan jadi bagi saya sebagai Pengerusi JKKK jadi saya amat-amat tertarik dengan ucapan MB itu tadi kerana ia begitu membanggakan semua pihak dan boleh dikatakan kesemua ucapan MB itu memberi kegembiraan kepada rakyat," katanya.

Seorang pegawai di SUK, Kamarul Hisham Abdullah pula menyifatkan ucapan Menteri Besar itu adalah yang terbaik dan meliputi semua aspek terutamanya dalam menjana ekonomi negeri supaya lebih kukuh dan berdaya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Zahari Endut dari Marang pula, berkata ucapan Menteri Besar pagi tadi adalah yang terbaik dan sesuatu yang patut dibanggakan semua pihak.

"Saya rasa setiap kenyataan yang diberi tadi akan diterima rakyat kerana ia begitu bernas dan berkesan untuk menawan hati penduduk di negeri ini. Yang paling menarik ialah soal pelaburan yang bertujuan untuk mengemaskinikan Terengganu," katanya.

Khairul...peluang pekerjaan.
Bagi Khairul Anwar Abdul Rahman dari Rhu Rendang, berkata ucapan MB itu meliputi semua aspek terutama soal membabitkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

"Diharap pelaburan yang begitu banyak itu akan memberi lebih peluang pekerjaan kepada golongan muda dan semua pihak perlu memberi sokongan kepada MB untuk terus menerajui negeri ini," katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Pemandu, Dato’ Seri Idris Jala dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.
Kamarul Hisham...sambut baik.
Ibrahim...membuahkan hasil.
Zahari..ucapan terbaik.