Tiada pengurangan kompaun akan diberikan kepada pesalah trafik sekiranya tindakan saman dikeluarkan sepanjang tempoh Ops Sikap dijalankan pada musim perayaan ini yang bermula 13 September hingga 27 September depan.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata biar pun arahan ini kadang-kadang tidak diambil peduli oleh segelintir penguna jalan raya, apabila mereka dikenakan tindakan dan kadar pengurangan kompaun tidak diberikan pihak polis akan dipersalahkan.
Dato' Ahmad memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal pada pelancaran Ops Sikap ke 20 di Rumah Tol, Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.
“Ini lumrah sikap manusia yang mudah menyalahkan orang lain dan tidak dapat menerima hakikat kesilapan sendiri,” katanya pada majlis pelancaran Ops Sikap ke-20 Peringkat Negeri Terengganu, bertunjangkan ‘kempen selamat sampai ke destinasi’ di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu petang semalam (15 September).
Anggota polis mengagihkan beg `goodies' kepada pemandu kenderaan sempena pelancaran Ops Sikap ke 20 peringkat Negeri Terengganu di Rumah Tol Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
Turut hadir, Ketua Polis Terengganu SAC 1, Dato’ Mohd Shukri Dahlan dan Pengurus Besar Telekom Malaysia Berhad, Encik Azhar Omar.
Dato’ Ahmad berkata, objektif utama kempen ini adalah untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar dan selamat serta mensasarkan kadar kemalangan maut sebanyak 5 peratus berbanding Ops Sikap tahun lalu.
Menurutnya, dalam Ops Sikap tahun lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan 17 kes kemalangan maut dengan 19 kes kematian yang direkodkan membabitkan 614 kes kemalangan dan pengguna motosikal merupakan penyumbang tertinggi dalam kes menyebabkan kematian.
Katanya, PDRM perlu mengekalkan penguatkuasaan terhadap pesalah lalu lintas seperti memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memotong barisan serta menggunakan lorong kecemasan.
“Pengguna jalan raya tidak boleh hanya mengharapkan agensi penguatkuasa membuat pemantauan dan pemeriksaan sebaliknya sikap individu itu sendiri perlu sentiasa berhati-hati walau di mana sahaja mereka berada, sikap pemanduan berhemah perlu diamalkan dalam setiap diri pengguna jalanraya,” katanya.
Katanya, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sebanyak 49 kes tangkapan dibuat oleh PDRM terhadap kesalahan menunggang secara melulu dan sebanyak 14,341 keping saman telah dikeluarkan kepada pesalah trafik serta 2,206 jumlah motosikal telah disita kerana melakukan pelbagai kesalahan.
“Kesalahan ini kebanyakannya dilakukan oleh golongan remaja yang masih muda yang tidak pernah serik melanggar peraturan jalan raya dan berharap samseng jalanan ini lebih menghargai nyawa demi kesejahteraan diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada semua pengguna jalanraya agar sentiasa berwaspada dan merancang perjalanan mereka pada musim perayaan ini, pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
UKOM