Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata ladang seluas 25 ekar itu akan ditanam dengan baka anggur daripada Thailand.
"Kita pilih baka anggur daripada Thailand kerana ia lebih sesuai dengan iklim negeri ini berbanding baka dari United Kingdom atau Amerika (Syarikat)," katanya kepada pemberita di Majlis Hari Raya Bersama Perantau di Taman Tamadun Islam di sini pada Selasa.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Ahmad berkata setakat ini kos dan jumlah hasil yang bakal dikeluarkan oleh ladang anggur itu masih belum diketahui.
Beliau berkata ladang anggur itu bukan bertujuan untuk komersial, sebaliknya akan menjadi satu daya tarikan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Tasik Kenyir.
".. bolehlah untuk pelancong beli sekilo dua untuk makan sambil melawat-lawat kebun berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata beliau yakin kebun anggur itu akan berjaya kerana teknologi Thailand dalam bidang tanaman sudah cukup terkenal.
Beliau berkata kebun anggur itu dijangka akan mula mengeluarkan hasil dalam masa dua tahun dan kerja-kerja membangun kebun itu akan diserahkan kepada swasta.
Ahmad berkata Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mungkin akan dilantik untuk mengurus ladang itu kelak.
Majlis bersama perantau itu dihadiri seramai kira-kira 3,000 anak Terengganu yang kini bekerja di serata Malaysia.
-- BERNAMA