Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

29 September 2009

Gembira Pelajar Terengganu Cemerlang

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kerajaan negeri sanggup mengeluarkan belanja sehingga jutaan ringgit semata-mata ingin melihat pelajar di negeri ini terus menempa kejayaan sekaligus menjulang nama Terengganu di mata dunia.

Pelbagai program dan jenis bantuan diwujudkan bagi merealisasikan impian itu selain menambah dan mengubahsuai infrastruktur bertujuan memberi semangat dan keselesaan kepada pelajar.


Dato' Ahmad berbual mesra dengan dua pelajar cemerlang SPM 2008, Lau Jia Cheng dan Khairina Abdullah. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, pelajar sewajarnya bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang cakna mengenai pendidikan dengan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk sokongan moral dan kewangan.


Dato' Ahmad ketika berucap pada Majlis Jejak Gemilang Murid Terbilang di Wisma Darul Iman.

“Jika cemerlang, mereka tidak perlu risau berikutan kerajaan negeri sedia membantu sehingga ke peringkat universiti termasuk luar negara,” katanya ketika berucap di Majlis Jejak Gemilang Murid Terbilang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini (27 September).

Kira-kira 1,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa sekolah terpilih di negeri ini hadir di majlis itu bagi mendengar amanat Menteri Besar seterusnya mengikuti program motivasi.


Pelajar yang hadir pada Majlis Jejak Gemilang Murid Terbilang yang dirasmikan oleh Menteri Besar di Wisma Darul Iman.

Dato’ Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri mengakui terdapat segelintir pihak sering mencemuh pelajar Terengganu berikutan sebelum ini kurang mendapat tempat di mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Cemuhan dan kritikan itu tidak dianggap negatif sebaliknya sebagai perangsang untuk terus berusaha dengan mencari formula kejayaan.

“Berkat kesabaran dan daya usaha pihak yang dipertanggungjawab, pelajar Terengganu kini mampu membuktikan mereka lebih cemerlang berbanding pelajar di negeri lain dan berjaya memonopoli tempat di beberapa IPTA ,” katanya.

Katanya, sebagai bukti, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Terengganu berjaya menjuarai lapan tahun berturut-turut dan jika diizinkan Allah S.W.T, diharapkan kecemerlangan itu dapat diteruskan bagi tahun ini.

“Bukan itu sahaja, Sijil Tinggi Pejalaran Malaysia (STPM) turut membuktikan mereka juga boleh cemerlang dan berjaya menduduki tempat pertama bagi peperiksaan itu tahun lalu.

“Hasil kejayaan yang diusahakan bersama kakitangan dan guru itu, membuatkan kerajaan negeri semakin bersemangat untuk terus menghulurkan pelbagai bantuan,” katanya.

UKOM