Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said begitu sedih melihat keadaan Nurul Dahyatul Fazlinda yang cedera teruk di muka selepas disimbah asid oleh bapanya sendiri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud meluang masa melawat mangsa simbahan asid di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini (16 Ogos).
Dato’ Ahmad yang tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan semua mangsa, berkata beliau amat kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan haiwan lebih mulia kerana sayangkan anak.
Katanya, peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya seseorang individu itu mempunyai akal dan berfikiran waras.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu mangsa dengan mendapatkan rawatan sebaik mungkin dan menyediakan keperluan yang diperlukan bagi meringankan beban mereka.
“Diharapkan pihak berkuasa menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada suspek yang sememangnya tidak mempunyai hati perut dan sifat berperikemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Che Ku Zaimah Che Awang, 28, mangsa simbahan asid oleh suaminya dalam kejadian amuk di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, kira-kira jam 1.45 pagi pada 15 Ogos lalu berkata dia tidak akan maafkan suaminya (Mat Haizan Mat Yasin, 32) sampai bila-bila.
“Tindakannya menyimbah asid ke muka saya dan anak-anak akan kami kenang hingga akhir hayat. Kejadian itu membuatkan kedua-dua anak saya, Nurul Dahyatul Fazlinda dan Muhammad Irfan Firdaus dalam keadaan trauma. Mereka menangis setiap kali mengenangkan peristiwa itu,” katanya.
Dalam kejadian itu, Che Ku Zaimah melecur di muka, belakang badan dan sebahagian leher manakala anak kedua dan anak bongsunya melecur di muka dan badan. Ibu Che Ku Zaimah, Minah Omar, 56, cedera di mata sebelah kiri, akibat terkena asid yang dicurah suaminya.
Che Ku Zaimah berkata, dia sudah menjangka kejadian itu akan berlaku kerana pernah menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada suami yang mengugut akan menyimbah asid jika permintaannya tidak ditunaikan.
Katanya, ketika dia dan anak-anak sedang tidur, terdengar ketukan kuat pada pintu bilik serta teriakan suami yang inginkan duit RM30 sambil memintanya segera keluar.
“Saya tidak mengendahkan teriakan itu, kerana bimbangkan keselamatan anak-anak yang sedang tidur. Tetapi, tidak lama selepas itu saya akur dan keluar bertanyakan suami mengapa bertindak demikian.
“Pada masa sama, saya terlihat satu beg berisi air berwarna hitam yang dipegang suami, apabila teringat SMS yang dihantar, saya terus mencapai beg plastik berkenaan sebelum kandungan terpercik pada muka dan badan kedua-dua anak kami yang ketika itu berada disisi saya,” katanya.
Menurutnya, ketika bergelut, dia tidak sedar dirinya turut melecur sebelum terasa pedih di anggota badan yang terkena asid.
“Ketika itu juga, Nurul dan Irfan meraung dan menggelupur kesakitan sebelum kami berempat dikejarkan saudara ke hospital berdekatan,” katanya.
TEGANUKITA