Halaman

16 August 2010

RM1,000 Untuk 1,835 Pelajar Tingkatan Enam

Oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Seramai 1,835 pelajar Tingkatan Enam di negeri ini yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seluruh Terengganu tahun ini menerima bantuan RM1,000.

Bantuan yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu itu diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2008 bagi tujuan meringankan beban pelajar tingkatan enam yang tidak menerima sebarang bantuan biasiswa pendidikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri telah menyampaikan bantuan itu dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (10 Ogos).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman.

Dato’ Seri Ahmad ketika berucap di majlis itu menasihati pelajar supaya menggunakan bantuan itu bagi tujuan yang bermanfaat, khususnya untuk tujuan pembelajaran mereka.

Beliau juga meminta pelajar tingkatan enam yang bakal menduduki peperiksaan STPM dalam tempoh tiga bulan lagi supaya menumpu perhatian bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

“Berkorbanlah dalam tempoh tiga bulan ini untuk kesenangan masa depan para pelajar sekalian sehingga 40 tahun yang akan datang selagi hayat dikandung badan,” katanya.

TEGANUKITA